10/05/2026
KUNJUNGAN HORMAT JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA NEGERI KEDAH KE JMGKPP
π
23 APRIL 2026
π JMG KEDAH/PERLIS/PULAU PINANG, ALOR SETAR
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah/Perlis/Pulau Pinang (JMGKPP) telah menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kedah ke pejabat JMGKPP di Alor Setar.
Kunjungan tersebut telah disambut oleh Pengarah JMGKPP bersama pegawai-pegawai jabatan dalam suasana mesra dan penuh profesionalisme.
Sesi ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk saling mengenali fungsi dan peranan jabatan masing-masing, di samping mengukuhkan hubungan kerjasama antara agensi kerajaan di peringkat negeri.
Antara perkara yang turut dibincangkan ialah isu berkaitan pendataan pengeluaran bahan mineral dan komoditi daripada sektor lombong dan kuari, serta perkongsian pandangan berkaitan pengurusan maklumat dan statistik yang berkaitan.
Kunjungan ini diharap dapat membuka ruang kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua jabatan dalam menyokong pengurusan data dan penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif pada masa hadapan.
10/05/2026
JMGKPP TERIMA KUNJUNGAN JABATAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN (JKKP) PERLIS
π
20 APRIL 2026
π PEJABAT JMG KEDAH/PERLIS/PULAU PINANG, ALOR SETAR
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah/Perlis/Pulau Pinang (JMGKPP) telah menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Perlis ke Pejabat Pengarah JMGKPP di Alor Setar.
Delegasi JKKP Perlis telah diketuai oleh Ts. Mohd Fiqri bin Mohd Hanafi, Timbalan Pengarah Khidmat Teknik. Turut hadir ialah Ir. Khushaida binti Ahmad Khiri, Ketua Seksyen Siasatan dan Pendakwaan bersama pegawai-pegawai JKKP Perlis.
Kunjungan tersebut telah disambut oleh Pengarah JMGKPP, Tuan Azizan bin Ali bersama pegawai-pegawai jabatan.
Sesi perbincangan memberi fokus kepada isu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam sektor kuari dan lombong, termasuk aspek standard operasi, pematuhan peraturan serta bidang kuasa penguatkuasaan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan berkaitan pelaksanaan amalan KKP di tempat kerja bagi memastikan tahap keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja sentiasa berada pada tahap terbaik.
Kunjungan ini diharap dapat memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara JKKP Perlis dan JMGKPP dalam mempertingkat keberkesanan pengurusan serta penguatkuasaan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya dalam industri kuari dan perlombongan.
10/05/2026
JMGKPP SERTAI SAMBUTAN HARI AIR SEDUNIA 2026 PERINGKAT NEGERI KEDAH
π
30 APRIL 2026
π DATARAN CHENANG, LANGKAWI
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah/Perlis/Pulau Pinang (JMGKPP) telah menyertai Sambutan Hari Air Sedunia 2026 Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung meriah di Dataran Chenang, Langkawi.
JMGKPP dijemput sebagai salah satu agensi teknikal Persekutuan yang memainkan peranan penting dalam bidang pemetaan geologi dan kepakaran hidrogeologi, khususnya berkaitan pengurusan sumber air bawah tanah.
Melalui reruai pameran, JMGKPP mengetengahkan pelbagai bahan berkaitan hidrogeologi antaranya:
π§ Model telaga tiub air tanah
πΊοΈ Carta alir pewujudan telaga tiub pemantauan
π± Penerangan berkaitan sumber air bawah tanah dan kepentingannya
π Bahan pendidikan dan infografik geosains
Pameran ini mendapat sambutan baik daripada para pengunjung yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai peranan geosains dalam pengurusan sumber air secara mampan.
Program turut diserikan dengan kehadiran Datoβ Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah serta YAB Menteri Besar Kedah, bersama pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Penyertaan JMGKPP dalam program ini mencerminkan komitmen jabatan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan sumber air dan pengurusan alam sekitar secara lestari.
14/04/2026
KERJA LAPANGAN SEMAKAN GEOLOGI DI PULAU KENDI DAN PULAU RIMAU, PULAU PINANG
Pulau Pinang, 14 April 2026 β Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah/Perlis/Pulau Pinang (JMGKPP) telah menjalankan kerja lapangan semakan geologi di Pulau Kendi dan Pulau Rimau bagi tujuan pengemaskinian data geologi negeri Pulau Pinang.
Kerja lapangan ini telah diketuai oleh Pengarah JMGKPP, P.Geol. Azizan bin Ali yang turut turun padang bersama pasukan teknikal, iaitu:
π€ P. Geol. Fakhruddin Afif bin Fauzi β Ketua Unit Pengurusan Maklumat
π€ P. Geol. Atilia binti Bashardin β Pegawai Geosains (Pemetaan Geologi)
π€ En. Saiful Azwan bin Kassim β Pembantu Geosains (Sumber Mineral)
π€ En. Muhammad Izham bin Azhar β Pembantu Geosains (Geologi Kejuruteraan)
Tujuan utama kerja lapangan ini adalah untuk menyemak dan mengesahkan maklumat geologi, meliputi aspek litologi, stratigrafi dan struktur geologi yang terdapat di kawasan tersebut, sebagai usaha mengemaskini peta geologi Negeri Pulau Pinang.
Sepanjang kerja lapangan, pelbagai fitur geologi menarik telah dikenal pasti, antaranya tafoni (bentuk luluhawa berongga) dan lineasi yang mencerminkan sejarah deformasi batuan. Di Pulau Kendi, turut ditemui kehadiran syis berbiotit yang signifikan dari sudut petrologi, manakala di Pulau Rimau, diperhatikan variasi granit porfiritik dengan feldspar alkali dominan, menunjukkan kepelbagaian litologi granitik di kawasan tersebut.
Keadaan cuaca pada awalnya adalah baik dan memudahkan aktiviti pemetaan dijalankan. Namun, menjelang penghujung sesi, keadaan bertukar apabila awan menjadi gelap diikuti hujan serta keadaan laut yang semakin berombak, menuntut pasukan untuk menamatkan kerja lapangan dengan lebih berhati-hati.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan JMGKPP dalam memastikan data geologi negara sentiasa tepat, terkini dan berkualiti bagi menyokong pembangunan serta pengurusan sumber bumi secara mampan.
14/04/2026
MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN JMGKPP BIL. 3/2026 BERTEMAKAN HARI RAYA AIDILFITRI
Alor Setar, 9 April 2026 β Majlis Perhimpunan Bulanan Bil. 3/2026 Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah/Perlis/Pulau Pinang (JMGKPP) telah berlangsung dalam suasana meriah dengan tema Hari Raya Aidilfitri.
Perhimpunan kali ini tampil istimewa apabila para pegawai dan kakitangan hadir segak berbusana baju raya, menambahkan kemeriahan dan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga jabatan.
Dalam majlis tersebut, Tuan Pengarah JMGKPP telah menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, di samping berkongsi perkembangan semasa berkaitan pengurusan jabatan serta pelaksanaan projek pembangunan. Turut disentuh ialah pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) berikutan konflik Asia Barat yang dijadual bermula pada 15 April 2026, sebagai langkah kesiapsiagaan organisasi.
Usai perhimpunan, warga jabatan turut mengambil peluang untuk mengadakan sesi bergambar kenangan, sebelum diakhiri dengan jamuan makan tengah hari dalam suasana penuh muhibah.
Majlis ini bukan sahaja menjadi platform penyampaian maklumat, malah memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga JMGKPP.
14/04/2026
JMGKPP MERIAHKAN MINGGU STEM SMK PEDU DENGAN PAMERAN GEOSAINS
Pedu, 6 April 2026 β Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah/Perlis/Pulau Pinang (JMGKPP) telah dijemput untuk membuka reruai pameran sempena Minggu STEM SMK Pedu, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar.
Pameran kali ini menampilkan pelbagai bahan menarik seperti model sumber mineral, infografik geologi am Negeri Kedah, serta koleksi fosil, yang berjaya mencuri perhatian dan meningkatkan minat pelajar terhadap bidang geosains.
Sesi pameran ini dikendalikan oleh pegawai geosains, penolong juruukur serta pelajar-pelajar Latihan Industri JMGKPP, yang komited dalam memberi penerangan dan melayan pertanyaan pengunjung dengan penuh dedikasi.
Bagi menambah keterujaan, pelbagai hadiah dan cenderamata turut disediakan kepada para pelajar yang menyertai aktiviti di reruai, sekali gus menjadikan suasana lebih interaktif dan menyeronokkan.
Program ini diharap dapat terus menyemai minat generasi muda terhadap bidang sains, khususnya geosains, serta merapatkan jurang pendedahan STEM antara pelajar bandar dan luar bandar.