22/11/2021
KENYATAAN
DEWAN TERTINGGI BARISAN NASIONAL
Dewan Tertinggi Barisan Nasional mengucapkan terima kasih kepada rakyat Negeri Melaka yang telah melaksanakan tanggungjawab pengundian dalam kerangka demokrasi berparlimen Malaysia dalam pilihanraya Negeri Melaka pada 20hb November 2021.
Justeru dengan penuh kerendahan jiwa dan kesedaran dhamir, Barisan Nasional mengucapkan kesyukuran kepada Tuhan dan terima kasih kepada rakyat Negeri Melaka atas sokongan padu yang diberikan.
Tahniah diucapkan kepada calon-calon Barisan Nasional yang memenangi 21 kerusi dari keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka.
Dewan Tertinggi Barisan Nasional juga merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas komitmen memastikan PRN Melaka berjalan dengan aman dan sempurna.
Dewan Tertinggi Barisan Nasional turut mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Pengarah Pilihanraya BN Melaka, Dato Seri Utama Hj Mohamad Hassan atas kemantapan menggerakkan pasukan dan usaha gigih sebelum dan semasa proses pilihanraya.
Terima kasih kepada Penasihat Barisan Nasional, Dato Seri Mohd Najib Tun Razak, Barisan Nasional Negeri Melaka dan Negeri-Negeri angkat yang bekerja keras dan bersama dalam satu wadah bagi mengorak kemenangan BN yang bersejarah kali ini.
Dewan Tertinggi BN turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan barisan hadapan, SPR, dan pasukan beruniform yang berusaha memastikan kelancaran perjalanan proses pilihanraya dalam suasana pandemik Covid 19.
Pilihanraya Negeri Melaka menjadi penanda aras penting untuk proses muhasabah, menginsafi kelemahan, menilai kemampuan dan melakukan perekayasaan BN secara konstruktif.
Barisan Nasional memberi komitmen untuk meneruskan langkah pembaharuan selaras dengan perkembangan dan perubahan lanskap politik dan pertambahan demografi pengundi.
Kemenangan ini menambahkan semangat kepada Barisan Nasional untuk memperkukuh langkah ke hadapan demi mewujudkan kestabilan dan kemakmuran yang diimpikan oleh rakyat Malaysia.
BARISAN NASIONAL
KESTABILAN DEMI KEMAKMURAN
Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Pengerusi Barisan Nasional
21hb November 2021