07/10/2026
WANG YANG TIDAK PULANG: SIAPA BERTANGGUNGJAWAB?
Dalam perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat tadi, saya membangkitkan persoalan wang kerajaan yang masih belum diterima dan pinjaman yang tidak dibayar balik.
Angka yang dibentangkan amat membimbangkan. Akaun Belum Terima mencecah RM102.032 bilion. Pada 2025, sebanyak RM1.220 bilion dihapus kira, dengan 75 peratus daripadanya berusia lebih enam tahun.
Apabila tunggakan dibiarkan bertahun-tahun, kemudian akhirnya dihapus kira, rakyat berhak bertanya: apakah usaha kutipan yang telah dibuat, dan siapa yang bertanggungjawab terhadap kelemahan tersebut?
Tunggakan pinjaman yang boleh dituntut p**a berjumlah RM8.084 bilion, tetapi kutipan setahun hanya RM465 juta. Lebih membimbangkan, 66 pinjaman bernilai RM4.637 bilion tidak pernah dibayar balik!
Antara yang saya bangkitkan ialah hutang Indah Water sebanyak RM3.338 bilion dan KTMB sebanyak RM867.76 juta. National Feedlot Corporation p**a tidak membuat sebarang bayaran sejak 2014.
Penstrukturan semula pinjaman juga berulang sehingga lima kali, sedangkan garis panduan membenarkan tidak lebih dua kali. Tempoh pembayaran p**a dilanjutkan sehingga 40 tahun.
Sampai bila hutang ini hendak ditangguhkan?
Saya faham penstrukturan semula boleh membantu peminjam yang menghadapi kesukaran. Namun, kelonggaran mesti disertai sasaran bayaran yang jelas, pemantauan ketat dan tindakan apabila syarat gagal dipenuhi.
Saya mendesak kerajaan:
• Membentangkan pelan kutipan dengan sasaran dan tempoh yang jelas.
• Menjelaskan sebab 66 pinjaman tersebut tidak pernah dibayar balik.
• Menjelaskan asas kelulusan penstrukturan semula yang melebihi had garis panduan.
• Mengambil tindakan sewajarnya terhadap peminjam yang ingkar, mengikut perjanjian dan undang-undang.
• Melaporkan kemajuan kutipan secara berkala kepada Parlimen.
Wang yang sepatutnya kembali kepada kerajaan boleh digunakan untuk membaiki jalan, meningkatkan kemudahan sekolah, memperkukuh perkhidmatan kesihatan dan membantu rakyat.
Amanah mengurus wang rakyat mesti disertai pertanggungjawaban. Teguran audit mesti diterjemahkan kepada tindakan, dan tindakan mesti menghasilkan kutipan.
YB Muhammad Ismi bin Mat Taib
Ahli Parlimen Parit