21/09/2026
📚 Kitab Baru
Sebelum cuti baru ini, para pelajar telah pun selesai pengajian dan hafalan mereka daripada kitab Matan Munsya‘ib, kitab kedua dalam pengajian ilmu Sorof yang mereka pelajari setelah Miftah al-Syaraf.
Hari ini, mereka sudah pun memulakan pengajian bagi kitab baru bagi pengajian Sorof iaitu ‘Ilmu al-Sighah, karang seorang ulama besar dari India bernama Mufti ‘Inayat Ahmad al-Kakurawi rahimahullah.
Kitab ini asalnya ditulis di dalam bahasa Farsi oleh beliau di dalam penjara di kepulauan Andaman, beliau dipenjarakan gara-gara menentang penjajahan British di India.
Di dalam penjara tersebut, terdapat seorang doktor yang ingin mempelajari bahasa Arab, lantas beliau pun mengarang kitab ini hanya berpandukan ingatan beliau sahaja.
Kitab ini kemudiannya dialih ke bahasa Urdu oleh Mufti Rafi al-Usmani, mufti besar Pakistan yang telah meninggal dunia beberapa tahun lepas. Kemudian telah dialih ke dalam bahasa Arab oleh Maulana Wali Khan al-Muzaffar, tokoh penggerak Bahasa Arab di Pakistan.
Pengajian dari India kini tersebar hingga ke Bukit Kuching. Moga-moga para pelajar dapat menekuni dan memahami kitab ini dengan baik, terlebih lagi Sorof ialah satu komponen penting di dalam bahasa Arab di samping ilmu Nahu.
Yang penting semangat dan tekad mesti kuat, bak kata pepatah Arab:
همة الرجال تهدم الجبال...
“Semangat seseorang itu boleh menghancurkan gunung!”
💪💪💪