08/07/2026
PEMUDA PAS KAMPAR SELAR AHLI PARLIMEN KAMPAR BAWA ISU RAKYAT KAMPAR KE PARLIMEN, BUKAN ISU NEGERI LAIN !
08 Julai 2026
AHLI PARLIMEN DAP KAMPAR: BANGKITKAN ISU RAKYAT KAMPAR, BUKAN MERATIB NEGERI KELANTAN
Kampar - Kami mengambil serius akan berkaitan hal yang dibangkitkan di Parlimen oleh Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin (DAP-PH) yang dilihat sengaja untuk memburukkan Negeri Kelantan dengan isu Pencerobohan Tanah Orang Asli dan Jenayah Seksual Kanak-Kanak dan HIV di Kelantan sedangkan di Kampar banyak isu rakyat yang belum diselesaikannya seperti pembinaan Hospital Kampar, masalah banjir kilat apabila hujan lebat di jalan-jalan utama, masalah Infrastruktur, masalah haiwan ternakan berkeliaran dan lain-lain masalah rakyat di Kampar.
Ahli Parlimen Kampar ini lebih gemar dengan Negeri Kelantan berbanding Negeri Perak dan kami mencadangkan agar Ahli Parlimen Kampar ini bertanding di Kelantan pada PRU akan datang.
Seperti yang saya telah maklumkan sebelum ini, sehingga ke hari ini tidak ada sebarang usaha konkrit daripada Ahli Parlimen Kampar untuk menyelesaikan banyak isu-isu melibatkan kebajikan dan kepentingan rakyat di Kampar antaranya:
1. Status pembinaan Hospital Kampar yang baru yang masih gagal ditunaikan oleh Chong Zhemin.
2. Keadaan infrastruktur yang usang dan ketiadaan akses jalan raya yang baik di kebanyakkan kawasan Kampung-Kampung Tradisional Melayu dan Kampung-Kampung Baru Cina.
3. Ketiadaan pelan jangka panjang dalam menangani masalah bencana alam terutamanya banjir kilat di kebanyakkan kawasan di parlimen Kampar.
4. Berlakunya dakwaan pencerobohan tanah orang asli yang didakwa oleh sesetengah pihak telah diceroboh di Kg Air Terjun Batu Berangkai sehingga menyebabkan berlakunya banjir lumpur yang berlaku tempoh hari di kawasan tersebut sehingga terjejas penduduk kawasan sekitar, yang dikatakan masih belum selesai sehingga ke hari ini???
Sekali lagi peringatan Kepada Chong Zhemin, kami ingin mengingatkan bahawa mandat rakyat bukan tiket untuk berpolitik siang malam, bukan tiket untuk mencari salah tempat lain tetapi tempat sendiri pun tidak dijaga dengan baik. Gunakanlah kedudukan di Parlimen untuk menyuarakan isu-isu setempat bukannya untuk beraksi sembereno demi kepentingan politik DAP yang tidak untungkan rakyat Kampar.
Parlimen bukan gelanggang hiburan tetapi tempat untuk membawa suara rakyat. Jangan jadikan parlimen sebagai medan sarkas politik yang mempermainkan mandat rakyat Kampar.
Jika dianjurkan debat, pemuda PAS Kampar menyokong untuk dianjurkan debat diantara YB Ust Fadhli Saari dengan YB Chong Zhemin dan penganjurannya melalui pihak ketiga seperti Sinar Harian.
ABDUL HADI AZMAN
KETUA PEMUDA PAS KAMPAR
PENYELARAS PARLIMEN KAMPAR
PAS KAWASAN KAMPAR