25/09/2026
JIWA MERDEKA, TANGGUNGJAWAB DIJUNJUNG, KEDAULATAN DIPERTAHANKAN
Sungai Besi, 25 September 2026 β Markas Briged Artileri Roket telah menganjurkan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia Tahun 2026 pada 23 dan 24 September 2026 bertempat di Markas Briged Artileri Roket, Kem Perdana Sungai Besi. Program ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotisme serta memperkukuh penghayatan warga Markas terhadap erti kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.
Program selama dua hari ini ini telah dirasmikan oleh Ketua Staf Markas Briged Artileri Roket, Lt Kol Raja Amizan bin Raja Ibrahim dan dimulakan dengan sesi bergambar bersama warga Markas di Dataran Lembing 8 sebelum diteruskan dengan Bengkel Penghayatan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang disampaikan oleh Pegawai Staf 2 Operasi, Mej Siti Nurashikin binti Tahir.
Semangat kebersamaan dan kesatuan turut dizahirkan melalui Pertandingan Futsal Antara Cawangan/Sel dengan Sel Logistik muncul sebagai Johan, manakala Gabungan Sel Latih, Ordnans dan JLJ sebagai Naib Johan. Aktiviti ini turut memperkukuh kerjasama dan esprit de corps dalam kalangan warga Markas.
Sambutan kemudiannya diserikan dengan persembahan kreatif daripada setiap cawangan/sel yang bertemakan Penghayatan Erti Kemerdekaan yang mengetengahkan kisah perjuangan, pengorbanan, perpaduan dan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara. Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi menginsafi pengorbanan terdahulu serta menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia yang sentiasa menjunjung kesetiaan kepada Raja dan Negara.
Panglima Briged Artileri Roket berharapan agar program seumpama ini diteruskan pada masa akan datang dan dijadikan sebagai medium dalam menyemai semangat patriotisme, memperkukuhkan kebersamaan serta memastikan penghayatan terhadap sejarah dan erti kemerdekaan agar ianya terus diwarisi oleh generasi Briged Artileri Roket yang akan datang.
JIWA MERDEKA, NEGARA BERDAULAT, MALAYSIA SEJAHTERA