04/08/2025
SELAMAT BERSARA DR. HJH. SHAHRUM
Petang tanggal 3 Ogos 2025, di sebalik sinar keemasan lampu restoran De.Wan 1958 by Chef Wan di The Linc Kuala Lumpur, satu majlis kecil telah berlangsung, sederhana pada zahirnya, namun sarat dengan makna yang hanya mampu ditafsir oleh hati yang pernah disentuh dengan penuh kasih seorang pemimpin.
Majlis itu adalah untuk Dr. Hajah Shahrum Binti Ismail, Timbalan Pengarah (Perubatan) I, Hospital Kuala Lumpur, yang bakal bersara pada 8 Ogos ini. Enam orang Ahli Jawatankuasa tertinggi PUSPANITA Cawangan Kecil Hospital Kuala Lumpur, termasuk Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Hospital Kuala Lumpur, Dr. Ros Suzanna Ahmad Bustamam turut hadir bagi mewakili ahli yang lain yang pernah dibimbing, diinspirasi dan disentuh oleh kehadiran beliau.
Tidak ada bunga rampai gah. Tiada karpet merah. Tetapi ada tawa kecil, air mata yang cuba disembunyikan dan cerita-cerita lama yang diceritakan kembali dengan rasa rindu yang mula berputik walau belum berpisah.
Bermula pada 1 September 1992, di Hospital Pulau Pinang sebagai Pegawai Perubatan Latihan Siswazah, Dr. Shahrum bukan sekadar memulakan kerjaya tetapi beliau memulakan sebuah perjalanan yang panjang dan bermakna. Dari satu hospital ke hospital yang lain, dari hospital ke kementerian, beliau bukan sekadar menyusun prosedur atau merancang pembangunan profesion, beliau juga menyusun kehidupan dan membangunkan semangat petugas-petugas perubatan.
Pengalaman beliau di Kementerian Kesihatan Malaysia, khususnya di Cawangan Pembangunan Profesion Perubatan, membentuk beliau bukan hanya sebagai seorang penjawat awam, tetapi sebagai seorang arkitek yang menyusun masa depan perkhidmatan kesihatan negara.
Dan akhirnya, beliau “kembali ke medan” yakni di Hospital Kuala Lumpur pada 21 Julai 2021.
Tidak ramai yang tahu, dalam kesibukan mentadbir hal-hal perubatan, Dr. Shahrum juga menjadi tiang utama PUSPANITA Cawangan Kecil Hospital Kuala Lumpur. Beliau bukan hanya hadir, tetapi turut menyokong program-program kami, memberi dorongan kepada ahli-ahli dan menyuntik rasa kekeluargaan dalam struktur yang sering dibalut dengan formaliti.
Walaupun majlis ini kecil, tetapi ianya adalah sebuah catatan jiwa. Tiada ucapan panjang, hanya pujian yang ikhlas juga tiada hadiah mahal, hanya pelukan yang berat untuk dilepaskan.
Selamat bersara, Dr. Hjh. Shahrum.
11/05/2025
Ibu akan mengajar kita segalanya, kecuali bagaimana untuk teruskan kehidupan tanpa dia.
Hargai ibu.
Selamat hari ibu.
31/03/2025
Assalamualaikum dan Salam Aidilfitri.
تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ
Taqabballahu minna wa minka
Sebaik-baiknya manusia adalah mereka yang berbesar hati memberikan maaf yang tulus kepada sesamanya. Bersama untaian kata-kata ini semoga kita mampu saling memaafkan. Baik atas segala salah kata mahu pun perbuatan yang pernah dilakukan.
Maaf Zahir dan Batin
27/03/2025
Sekump**an pelancong melawat pusat ternakan buaya. Mereka berdiri di pelantar di tengah-tengah kolam. Tuan ternakan ini membuat tawaran, "Siapa yang sanggup terjun kolam dan berenang ke daratan saya akan hadiahkan RM80,000".
Suasana bertukar senyap.
Pluppp! Tiba-tiba sahaja terdengar bunyi dan seorang lelaki telah terjun ke dalam kolam. Dia dikejar oleh buaya-buaya tersebut. Akan tetapi nasibnya baik. Dia berenang selaju motorbot dan akhirnya sampai ke daratan dengan selamat.
Setelah menerima hadiah duit RM80,000, di bilik hotel dia memberitahu isterinya, "Sebenarnya bukan abang sengaja terjun tadi, tapi ada orang yang tolak". Isterinya tersenyum dan berkata, "Sayang lah yang tolak tadi, kan dah untung besar kita!!".
Pengajaran daripada cerita ini ialah, "Di sebalik kejayaan setiap lelaki, ada isteri di belakangnya yang memberikan sedikit tolakan".
Hargailah isteri anda 😍
26/03/2025
USAHA PENJANAAN DANA PUSPANITA CAWANGAN KECIL HOSPITAL KUALA LUMPUR
Dalam usaha membantu ahli yang diuji dengan masalah kewangan terutama mereka yang bergelar ibu tunggal yang berpendapatan kecil ini dan terpaksa berusaha seorang diri dalam kelangsungan hidup dan membesarkan anak-anak dan pelbagai masalah yang lain, kami telah merancang pelbagai cara untuk menambahkan pendapatan PCKHKL bagi membantu menambah dan menyalurkan dana bagi meringankan beban mereka.
Apa yang kita lihat tidak sama dengan apa yang mereka rasai. Keperitan dalam meneruskan kehidupan hanya mereka dapat rasai dan dengan sedikit sumbangan mungkin akan memberikan mereka semangat untuk teruskan kehidupan. Mungkin anak-anak kita dapat menikmati sajian yang enak dan lazat di hari raya tetapi ada kalangan anak mereka belum tentu ada makanan di hadapan mereka. Bukan sahaja mereka yang diuji tetapi kita juga diuji. Sanggupkah kita semua yang merasai nikmat kehidupan ini untuk bersama-sama berganding bahu membantu mereka yang dalam kesusahan ini atau kita hanya wujud untuk sekadar melihat?
Tradisi kita untuk menghulurkan duit raya kepada kanak-kanak telah kita amalkan sekian lama. Kami keluarkan sampul wang khas untuk dijual bagi mengumpulkan dana PUSPAHATI PCKHKL dan keuntungan jualan ini akan dikembalikan kepada mereka yang memerlukan. Dengan menghulurkan duit raya kepada kanak-kanak, setiap keping sampul yang digunakan juga mampu memberi manfaat kepada keluarga lain yang ditimpa kesusahan ini.
Dengan sepaket sampul wang yang mengandungi 6 keping sampul dijual dengan harga RM 5.00 sahaja. PCKHKL bukanlah badan korporat atau syarikat perniagaan yang mampu berikan secara percuma sampul-sampul duit kepada masyarakat, tetapi usaha jualan kami ini adalah untuk mendekatkan masyarakat dengan mereka yang memerlukan.
Hanya tingggal 210 paket sahaja lagi untuk dihabiskan, dan semoga pembelian dan sokongan dari rakan-rakan sekalian sedikit sebanyak dapat membantu rakan-rakan yang lain yang dalam kesusahan. Sementara Ramadan masih belum meninggalkan kita lagi, inilah wadah untuk kita sama-sama membeli sambil melakukan kebajikan.
Hubungi Puan Azliha Minai Rajab di talian 012-225 6314 untuk dapatkan sampul wang edisi khas dan terhad ini.
Belian untuk kebajikan.
26/03/2025
PROGRAM PUSPAHATI RAMADAN
Seramai 13 orang ahli PUSPANITA Cawangan Kecil Hospital Kuala Lumpur telah dipilih untuk menerima sumbangan PUSPAHATI RAMADAN bagi meringankan beban mereka untuk menyambut Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi.
Sumbangan tunai ini disampaikan oleh Pengerusi PCKHKL, YBrs. Dr. Ros Suzanna Ahmad Bustamam kepada 11 orang menerima dan 2 orang penerima tidak dapat hadir kerana bercuti. Turut hadir di dalam majlis ini Setiausaha PCKHKL, Puan Suhaila Abdul Rashid dan Penolong Setiausaha PCKHKL, Puan Azliha Minai Rajab.
Mereka yang dipilih untuk menerima sumbangan ini merupakan ahli-ahli yang menghadapi pelbagai masalah kewangan dan terdiri dari ibu tunggal, diperdaya oleh bekas suami, mempunyai masalah kesihatan dan sebagainya.
Dengan sumbangan kecil ini, diharap dapat membantu meringankan beban mereka untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
24/03/2025
Assalamualaikum | Selamat Pagi
21/03/2025
Assalamualaikum | Salam Jumaat | Good Morning.
18/03/2025
Salam Nuzul al Quran 17 Ramadan 1446H
Al-Quran, kitab suci yang penuh hikmah dan petunjuk. Semoga kita sentiasa diberikan kesempatan untuk membaca dan mempelajarinya serta menghayati setiap maksud yang terkandung di dalamnya. Selamat Menyambut Nuzul Quran!
17/03/2025
Assalamualaikum dan Salam Ramadan,
Syawal semakin menghampiri dan Ramadan p**a semakin meninggalkan kita. PUSPANITA Cawangan Kecil Hospital Kuala Lumpur akan mengadakan program PUSPAHATI RAMADAN iaitu satu program serahan sumbangan tunai kepada ahli-ahli PCKHKL yang terdiri dari warga kerja wanita berjawatan rendah yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal atau mereka yang mengalami masalah kewangan akibat diperdaya dan sebagainya.
Sumbangan ini adalah untuk meringankan beban mereka bagi menyambut Aidilfitri yang semakin hampir.
PUSPAHATI merupakan program kebajikan PCKHKL iaitu gabungan nama PUSPANITA PRIHATIN dan nama ini akan digunakan untuk program-program kebajikan kami.
Oleh yang demikian, kami sedang mengumpulkan maklumat ahli/warga kerja wanita yang kurang bernasib baik ini untuk disenaraikan sebagai penerima sumbangan dan direkodkan untuk program-program PUSPAHATI akan datang. Kepada rakan-rakan yang mempunyai maklumat, bolehlah PM kami atau whatsapp 012-225 6314 (Jangan hantar maklumat melalui ruangan comment) maklumat-maklumat seperti nama, jawatan, bahagian bertugas dan masalah yang dihadapi kepada kami. Semua maklumat akan dirahsiakan.
Setiap maklumat akan ditapis terlebih dahulu dan tidak semua maklumat yang diterima akan tersenarai untuk menerima sumbangan pada kali ini. Untuk PUSPAHATI RAMADAN, sumbangan hanya terhad kepada 10 penerima yang memenuhi syarat serta mengikut maklumat-maklumat yang diterima sahaja.
Terima kasih.