20/03/2026
Salam Aidilfitri 1447H
PAS Kawasan Setiawangsa mengucapkan
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin
kepada seluruh Muslimin dan warga Setiawangsa.
Semoga hari kemenangan ini membawa keberkatan,
menguatkan ukhuwah, serta menyatukan hati-hati kita dalam iman dan taqwa.
تَقَبَّلَ ٱللَّٰهُ مِنَّا وَمِنكُمْ
“ Semoga Allah menerima (amalan) daripada kami dan daripada kamu.”
06/03/2026
Salam Nuzul Al Quran 1447H
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Surah Al-Baqarah : 185)
22/02/2026
Ucapan Tahniah & Doa Sempena Pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional Baharu
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada YAB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar atas pelantikan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional yang baharu.
Malaysia pada ketika ini amat memerlukan sosok kepimpinan baharu sebagai pemain utama dalam landskap politik negara, seorang tokoh yang mampu memberikan nafas segar, membawa pendekatan yang matang serta memacu hala tuju negara dalam era yang sangat mencabar dan penuh ketidaktentuan.
Kami yakin pelantikan ini hadir tepat pada masanya, selari dengan keperluan rakyat terhadap kepimpinan yang berwibawa, berprinsip dan berpaksikan nilai integriti.
Kami mendoakan agar YAB Dr. Ahmad Samsuri dikurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan kecekalan dalam mengemudi Perikatan Nasional dengan penuh amanah. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kepimpinan, mengurniakan hikmah dalam setiap keputusan, serta memelihara perpaduan saf perjuangan demi kepentingan rakyat dan kesejahteraan negara.
Semoga kepimpinan baharu ini mampu menyuntik semangat baharu, memperkukuh muafakat politik serta memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih stabil, adil dan sejahtera.
Sekian, terima kasih.
Dr Zuraini Mohd Engsa
Yang Dipertua,
PAS Kawasan Setiawangsa
03/02/2026
KENYATAAN MEDIA PENGERUSI JAWATANKUASA KERAJAAN TEMPATAN, PERUMAHAN, KESIHATAN DAN ALAM SEKITAR NEGERI KELANTAN
ISU PERSEMBAHAN DAN TARIAN PENONTON SEMASA KONSERT DI PROGRAM MAKAR FEST XL
1. Semalam telah tular satu video berdurasi selama 40 saat menunjukkan sekumpulan pengunjung menari sambil melompat-lompat semasa menonton persembahan pentas di program Makar Fest XL. Program berbentuk ekspo jualan & makanan selama 3 hari bermula 29-31 Januari, 2026 (Khamis-Sabtu) bertempat di tapak parking Mydin Mall Tunjung ini turut diselitkan dengan beberapa persembahan hiburan melibatkan beberapa artis tempatan.
2. Penganjuran festival makanan ini yang bermatlamat untuk menjadi medium perniagaan kepada usahawan kecil, peniaga tempatan serta penggiat seni dan juga sebagai titik temu dikalangan peminat seni, keluarga dan komuniti berkongsi idea dan membina jenama ini telah mendapat kelulusan hiburan daripada MPKB-BRI di bawah Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 namun penganjur perlu mematuhi Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025 sepanjang ianya berlangsung.
3. Hasil pemantauan sepanjang berlangsungnya festival, semua artis jemputan seperti Sabri Yunus, Wan Hanafi Su, Zack Budak Kacamata, Budak Nakal Hujung Simpang dan Wargaswara serta artis dikir berjaya mematuhi enakmen dan garis panduan yang ditetapkan.
4. Namun perlanggaran kepada syarat dan garis panduan telah berlaku semasa persembahan oleh Kugiran Masdo yang berlangsung pada konsert penutup pada malam 31 Januari, 2026 lebih kurang jam 10.30 malam. Walau pun pihak penguatkuasa telah berjaya mengeluarkan beberapa orang penonton yang membuat provokasi serta kumpulan penonton yang didapati telah melanggar garis panduan hiburan namun keadaan tidak berjaya dikawal oleh penganjur serta masih berulang. Penganjur didapati telah cuai/gagal/enggan untuk menghentikan persembahan untuk mengawal keadaan. Turut dikesan adalah berlakunya percampuran antara pengunjung lelaki dan wanita tanpa ditempatkan petugas keselamatan secukupnya sebagaimana disyaratkan.
5. Oleh yang demikian, setelah meneliti laporan bertulis daripada Pengarah Bahagian Perlesenan & Kawalan Perniagaan dan juga menonton video-video yang diviralkan, maka Pegawai Pelesen telah mendapati penganjur telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 serta gagal mematuhi syarat lesen serta Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025. Oleh itu wang cagaran penganjur berjumlah RM8,000.00 telah dirampas. Penganjur juga boleh dikenakan penalti maksimum sehingga RM30,000.00. Nama penganjur juga boleh disenaraihitamkan jika gagal membayar kompaun yang dikenakan.
6. Kerajaan Negeri amat memahami dan meraikan keperluan rakyat untuk berhibur bahkan amat menyokong sebarang penganjuran program atau festival makanan yang dapat menjana pendapatan kepada peniaga kecil disamping turut mempromosikan negeri Kelantan sebagai lokasi pelancongan bertemakan “Food, Family, Festival”. Namun Kerajaan Negeri juga amat konsisten dalam memastikan bahawa adab, budaya dan akhlak khususnya generasi muda mesti dijaga dan dipelihara. Kerajaan Negeri akan terus menyokong sebarang penganjuran festival makanan oleh mana-mana penganjur pada masa hadapan dengan pematuhan kepada peraturan dan garis panduan hiburan yang diterima pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negeri Kelantan
Kenyataan media oleh;
YB Hilmi Abdullah
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan
Bertarikh: 15 Syaaban 1447H/3 Februari 2026
02/02/2026
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN SIFATKAN CADANGAN PILIHAN RAYA DATUK BANDAR KL SEBAGAI AGENDA POLITIK DAP/PH TUTUP KEGAGALAN JANJI MANIFESTO
PAS Wilayah Persekutuan membantah sekeras-kerasnya cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengkaji kebolehlaksanaan pilihan raya bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur, yang jelas memperlihatkan agenda politik DAP dan Pakatan Harapan (PH), bukannya keutamaan sebenar rakyat ibu negara.
PAS Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa cadangan ini bukan isu baharu, malah pernah menjadi janji manifesto Pakatan Harapan sejak sebelum mereka membentuk kerajaan. Namun sehingga hari ini, selepas diberi mandat mentadbir, janji tersebut gagal dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten, sebaliknya kini dibangkitkan semula dalam bentuk “kajian” yang bersifat retorik politik semata-mata.
Persoalan besar yang timbul ialah:
Mengapa DAP/PH terus bermain dengan isu pilihan raya kerajaan tempatan, sedangkan mereka sendiri gagal membuktikan keupayaan mentadbir dengan berkesan melalui sistem sedia ada? Kegagalan mengawal kos sara hidup, isu perumahan mampu milik, kesesakan lalu lintas, kebersihan bandar dan keselamatan awam di Kuala Lumpur jelas menunjukkan masalah sebenar bukan pada sistem, tetapi pada prestasi kerajaan PH sendiri.
PAS Wilayah Persekutuan berpandangan bahawa usaha mengadakan pilihan raya Datuk Bandar hanyalah cubaan mencari talian hayat politik dan mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan menunaikan janji manifesto terdahulu. Lebih membimbangkan, cadangan ini membuka ruang kepada penguasaan politik DAP/PH di peringkat kerajaan tempatan, menjadikan DBKL medan perebutan kuasa dan bukannya institusi perkhidmatan awam yang profesional.
PAS Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa jawatan Datuk Bandar adalah jawatan pentadbiran profesional, bukan jawatan politik untuk memuaskan agenda kepartian. Jika pilihan raya Datuk Bandar dilaksanakan, ia berisiko mencetuskan politik wang, populisme dan konflik kepentingan yang akhirnya akan membebankan rakyat Kuala Lumpur.
PAS Wilayah Persekutuan juga ingin mengingatkan bahawa rakyat tidak lupa janji-janji lama PH, termasuk komitmen terhadap pilihan raya kerajaan tempatan yang dicanang sebelum ini, namun gagal dilaksanakan apabila berdepan realiti pemerintahan. Kini, isu sama diulang semula sekadar untuk mencipta persepsi reformasi, sedangkan hakikatnya tiada penyelesaian konkrit kepada masalah rakyat.
PAS Wilayah Persekutuan menggesa Kerajaan Persekutuan agar berhenti menjadikan Kuala Lumpur sebagai makmal eksperimen politik DAP/PH, dan sebaliknya fokus menyelesaikan masalah sebenar rakyat yang semakin terhimpit.
PAS Wilayah Persekutuan akan terus konsisten menentang sebarang agenda politik yang menyamar atas nama reformasi tetapi hakikatnya hanya menguntungkan parti pemerintah.
“Tunaikan Janji, Bukan Ulang Retorik”
“DBKL Untuk Rakyat, Bukan Parti”
USTAZ HAJI AZHAR BIN YAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan
01/02/2026
Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2026.
Wilayah Persekutuan bukan sekadar pusat pentadbiran negara, tetapi tempat rakyat menaruh harapan. Semoga urus tadbir yang adil dan berintegriti terus menjadi keutamaan demi kesejahteraan semua.
PAS Kawasan Setiawangsa
11/01/2026
10 Januari 2026 ~
KENYATAAN MEDIA D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah mengambil maklum dan memandang serius keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini, sebelum dipindahkan ke kawasan Bukit Tagar pada tahun 2030 di atas tanah seluas kira-kira 202 hektar.
Berikutan daripada keputusan ini, Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan berkenaan, khususnya apabila ada kemungkinan ia melibatkan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.
Secara prinsipnya, Baginda akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal, demi untuk memenuhi keperluan sumber makanan rakyat l berbangsa Cina dan bukan Islam di negeri Selangor. Namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya adalah populasi orang Melayu Islam.
Baginda juga menzahirkan kebimbangan memandangkan kawasan Kuala Langat didiami oleh ramai penduduk Melayu, dan sehingga ke hari ini, masalah berkaitan penternakan babi di kawasan tersebut masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak tahun 2010. Penduduk sekitar telah lama menanggung pelbagai kesan negatif termasuk bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai, serta masalah lalat yang tidak berkesudahan, yang menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan awam.
Baginda berkenan memetik beberapa Firman Allah Subhanahu Wata’ala, antaranya dalam Surah Al-An’aam ayat 145 yang menyebut bahawa daging babi adalah najis/kotor, bermaksud :-
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor".
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ingin menegaskan bahawa kediaman Baginda, Istana Pantai Bahagia juga terletak di kawasan Kuala Langat, dan Baginda sendiri merasai serta menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi di kawasan tersebut. Justeru, adalah tidak munasabah untuk isu yang berlarutan lebih sedekad ini dibiarkan berulang dalam skala yang lebih besar.
Untuk itu, Baginda mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat serta menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti yang dialami oleh penduduk sekitar.
Atas sebab itu juga, Baginda tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan kawasan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi sebelum berpindah ke Bukit Tagar kerana bimbang masalah pencemaran yang telah berlarutan di kawasan itu sejak 16 tahun lalu akan menjadi lebih buruk.
Justeru, Baginda mempersoalkan dengan serius sama ada perancangan projek penternakan babi berskala besar ini ada melibatkan kepentingan kelompok ahli politik dan ahli perniagaan tertentu, serta menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus dalam proses perancangan dan kelulusan projek berkenaan.
Baginda turut berkenan mengimbas kembali inisiatif Kerajaan Negeri yang pernah menghantar wakil ke luar negara untuk mendapatkan informasi tentang penternakan babi secara moden. Namun, dikhabarkan bahawa kos pemodenan itu menelan belanja yang sangat tinggi dan tidak sanggup untuk ditanggung oleh pengusaha ternakan. Jadi, Baginda mempersoalkan cadangan terbaharu ini sama ada ia akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, sedangkan peruntukan itu lebih bermanfaat disalurkan untuk pembangunan kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan hospital.
Baginda menegaskan bahawa Baginda tidak membantah sepenuhnya cadangan projek berkenaan, namun kajian pasaran harus dibuat dengan teliti dan rasional sebelum ketetapan muktamad dibuat. Ini kerana pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.
Kerajaan Negeri hendaklah bertindak dengan amanah, telus dan bertanggungjawab, serta mengutamakan kepentingan rakyat melebihi segala kepentingan lain.
“PERTAHAN DAN SETIA KEPADA AGAMA ISLAM”
”BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT DAN NEGARA”
💫
ISTANA ALAM SHAH
10 Januari 2026
01/01/2026
Sekitar acara Perasmian Program Back to School anjuran Dewan Pemuda Pas Kawasan Setiawangsa di Dewan Surau Nurul Huda PPR Sg.Bonus.
Alhamdulillah semoga program ini berjalan dengan lancar.
02/12/2025
PAS menang 1 kerusi ja di Sabah tapi kenapa seluruh pimpinan dan jentera bersorak gembira?
Ramai hairan bila PAS seolah-olah 'overeact' dengan kemenangan terutama cytro blok kerajaan yang perlekehkan fenomena ni. Let me tell you a story.
Semuanya bermula dengan 1 kerusi.
Perlis: 1 kerusi (1995) ➡️ 14/15 kerusi
Kedah: 1 kerusi (1982) ➡️ 21/36
Pulau Pinang: 1 kerusi (1999) ➡️ 7/40 kerusi
Perak: 1 kerusi (1955) ➡️ 18/59 kerusi
Selangor: 1 kerusi (1969) ➡️ 10/56 kerusi
Pahang: 1 kerusi (1955) ➡️ 17/42 kerusi
Terkini, Sabah: 1 kerusi (2025)
Bila PAS menang 1 kerusi di mana2 negeri, dia akan merebak dan bilangan tu akan meningkat saban tahun. Ada lambat, ada cepat.
Cuma menariknya bagi PAS ni cepat atau lambat bukan parameter utama. Kalau 100 tahun pun tak kisah.
PAS Perlis dan Kedah makan masa lebih 20 tahun untuk jadi kerajaan. Alhamdulillah hasilnya tak mengecewakan rakyat negeri tersebut. Strategi yang dirangka 40-60 tahun lepas tetap diguna pakai sampai menang.
Tapi PAS kan parti lebai tunggang agama yang s**a laga2kan kaum majmuk di Malaysia yang aman sejahtera bawah madani?
Kalau anda jenis s**a nganga mulut makan apa saja dedak yang ditaburkan oleh pengelola propaganda, ya itulah yang anda akan nampak.
In the end, hasilnya tetap boleh dilihat dalam setiap pilihanraya. Undian rakyat tak boleh dilakonkan. Kalau tak menang sesuatu kerusi sekalipun, tengok pada kenaikan % undian terhadap calon PAS.
Saya yakin Dr Ali Akbar akan jadi benchmark penting masa depan politik Sabah. Ramai figura hebat tewas dalam PRN kali ni menjadi dalil rakyat Sabah tak kisahkan parti tapi individu.
Maka Dr Ali Akbar akan jadi tumpuan rakyat Sabah untuk menilai adakah betul PAS ni boleh pakai atau ini kali terakhir PAS diangkat jadi ADUN.
Satu resepi PAS yang tak pernah expired dan dibuat copy ori oleh parti lain: Istiqamah.
Bermula dengan 1 kerusi.
Hamizan Zulkifli
10 Jamadil Akhir 1447H
29/11/2025
Terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pengundi N.16 Karambunai.
Terima kasih kerana memberikan undi kepada saya. Undi anda adalah bukti kepercayaan, pengorbanan masa dan rantai harapan anda kepada saya.
Dengan rasa rendah hati, saya dan pas**an akan melakukan sedaya upaya kami dalam membina Karambunai yang lebih baik.
YB Datuk Dr. Aliakbar