06/04/2026
Sambutan Hari Ulang Tahun 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW) Ke-49
CYBERJAYA, 01 April 2026 : 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW) telah meraikan Hari Ulang Tahun Pasukan Ke-49 dengan sesi ramah mesra serta jamuan Hari Raya Aidilfitri di Multimedia University (MMU) Cyberjaya.
Penganjuran aktiviti seperti ini bukan sahaja sebagai simbolik meraikan ulang tahun penubuhan pasukan, malah turut merapatkan ukhwah sesama pegawai dan anggota pasukan.
Acara turut meraikan penyertaan 30 pelapis baru anggota pasukan dari IPTA dan IPTS bagi menyertai ketumbukan Pakar Telekom.
Turut hadir adalah Pegawai Memerintah 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW), Lt Kol Ts. Mohamad Ansahari bin Abdul Kudus, Mantan Penolong Pegawai Memerintah, Lt Kol Mohd Faizal Hamdy bin Hj Hussin, Para Pegawai serta Anggota Pasukan.
13/03/2026
AMANAT KESELAMATAN SEMPENA AIDILFITRI SERTA PEMERIKSAAN LESEN MEMANDU DAN CUKAI JALAN WARGA 56 RSPT (AW)
KUALA LUMPUR, 13 Mac 2026 – Pemangku Penolong Pegawai Memerintah 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW), Mej Mohd Nizar bin Hj Adnan telah mengadakan sesi perjumpaan bersama pegawai dan anggota pasukan bagi menyampaikan amanat serta pesanan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Dalam amanat tersebut, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga pasukan serta menyampaikan salam kepada ahli keluarga warga Rejimen. Beliau turut menasihatkan agar semua anggota sentiasa mengutamakan aspek keselamatan diri dan keluarga, khususnya ketika memandu pulang ke kampung halaman sepanjang musim perayaan.
Beliau juga menekankan agar setiap anggota sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Selepas sesi amanat, acara diteruskan dengan pemeriksaan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan persendirian anggota pasukan yang dilaksanakan di kawasan parkir Jabatan RSD 2. Pemeriksaan ini dilaksanakan bagi memastikan setiap anggota mematuhi peraturan yang ditetapkan serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan jalan raya.
Program seperti ini diharapkan dapat terus memupuk budaya disiplin serta meningkatkan tahap keprihatinan anggota terhadap keselamatan diri, keluarga dan rakan seperjuangan sepanjang musim perayaan.
07/03/2026
LAWATAN KETUA PEGAWAI SEMBOYAN PERKUKUH HUBUNGAN STRATEGIK BERSAMA 56 RSPT (AW)
Lawatan rasmi Ketua Pegawai Semboyan ke TM Campus, Cyberjaya memperkukuhkan hubungan strategik serta membuka ruang kerjasama antara Rejimen Semboyan Diraja dan 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom (Askar Wataniah) dalam memperkasa keupayaan komunikasi Tentera Darat Malaysia.
CYBERJAYA, 5 Mac 2026 : Ketua Pegawai Semboyan, Brig Jen Dato' Dr. Adnan bin Ajis bersama Brig Jen Dato' Basri bin Kasban (Bersara), Pengerusi KORSEM, Koperasi Rejimen Semboyan Diraja Semenanjung Malaysia Berhad telah mengadakan lawatan ke TM Campus, Cyberjaya bagi mengadakan sesi perbincangan bersama GCEO Telekom Malaysia selaku Komander 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW), Kol (Kehormat) Amar Huzaimi bin Md Deris.
Sesi perjumpaan tersebut memberi tumpuan kepada perbincangan berkaitan hala tuju Rejimen Semboyan Diraja di samping meneroka peluang kerjasama strategik melibatkan pelaksanaan program, latihan dan kursus yang berpotensi dilaksanakan secara kolaborasi bersama 56 RSPT (AW). Turut dikongsikan dalam sesi berkenaan adalah penerangan ringkas berkaitan inisiatif Angkatan Masa Hadapan (AMH) yang sedang dilaksanakan oleh Tentera Darat Malaysia bagi memperkasa keupayaan angkatan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Lawatan tersebut diakhiri dengan sesi menandatangani buku lawatan serta penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan.
Program kemudiannya diteruskan dengan Majlis Berbuka Puasa bersama warga 56 RSPT (AW) yang berlangsung di ruang legar TM Campus, Cyberjaya. Majlis turut disusuli dengan pelaksanaan solat Maghrib, Isya' dan Tarawih di Surau Al-Falah, TM Campus sebelum diakhiri dengan jamuan moreh serta sesi bergambar.
17/02/2026
KUALA LUMPUR, 13 Feb 26: Ujian Kecergasan Asas (UKA) Penggal 1/2026 56 Rejimen Semboyan Pakar Tekekom (AW) telah dilaksanakan di Gelanggang Serbaguna Jab Arah Semboyan 2.
Pelaksanaan UKA ini telah dimulakan dengan sesi Taklimat dan pemanasan badan oleh Jurulatih Jasmani. Terdapat tiga komponen ujian yang dilaksanakan iaitu Larian 2.4KM, Bangkit Tubi dan Tekan Tubi.
Objektif utama pelaksanaan UKA ini adalah untuk menguji dan menilai tahap kecergasan fizikal seluruh warga pasukan agar sentiasa pada tahap terbaik seperti mana kehendak perkhidmatan.
17/02/2026
KUALA LUMPUR, 12 Feb 26: 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW) telah menganjurkan Ceramah Ambang Ramadhan bertempat di Bilik Mesyuarat Pasukan. Program yang diadakan ini telah dihadiri oleh Pemangku Penolong Pegawai Memerintah, Mej Mohd Nizar bin Hj. Adenan.
Ceramah ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Al-Fadhil Ustaz PW 1 Mohd Noor bin Zainon Abidin, Penasihat Agama Markas Tentera Darat. Tajuk ceramah yang disampaikan adalah “Tips Menyambut Ramadhan: Menuju Kesempurnaan”.
Majlis ini diakhiri dengan penyerahan cenderahati kepada penceramah jemputan serta acara bergambar.
Turut hadir bagi aktiviti ceramah ini adalah Pemangku Ajutan, SMR serta warga 56 RSPT (AW).
13/02/2026
KUALA LUMPUR, 11 Feb 26: Pemangku Penolong Pegawai Memerintah 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW) iaitu Mej Mohd Nizar bin Hj Adenan telah menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Sarjan Mejar Rejimen 56 RSPT (AW) di antara Pemangku SMR SSjn Norazman bin Ahmad dan SMR baharu PW1 Mohd Sofi bin Hasim di Bilik Mesyuarat 56 RSPT (AW), Kem Kementah.
Majlis dimulakan dengan acara menandatangani Nota Serah Terima Tugas, disusuli dengan penyerahan tongkat kuasa. Acara diteruskan dengan Pemakaian Pangkat dari LKpl ke Pemangku Kpl iaitu Pemangku Kpl Jeffson ak Kalana, seterusnya upacara lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang dipimpin oleh Pemangku Ajutan Pasukan, Lt Mohd Huzaifi bin Yahya. Acara diakhiri dengan bacaan doa dan bergambar.
Turut hadir, SMR Kor Rejimen Semboyan Diraja PW 1 Mohamad bin Bahari, PTTK Serta PTTR 56 RSPT (AW).
Seluruh warga 56 RSPT (AW) mengucapkan selamat datang kepada Encik SMR, PW1 Mohd Sofi bin Hasim ke 56 RSPT (AW).
30/01/2026
SERAH TERIMA TUGAS PENOLONG PEGAWAI MEMERINTAH 56 REJIMEN SEMBOYAN PAKAR TELEKOM (AW)
KUALA LUMPUR, 30 Jan 2026: Majlis Serah Terima Tugas Penolong Pegawai Memerintah 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW) telah berlangsung diantara Lt Kol Faizal Hamdy bin Hj Hussin dan Mej Mohd Nizar bin Hj Adnan.
Acara serah terima tugas yang diadakan di Pejabat Penolong Pegawai Memerintah ini telah disaksikan oleh Ketua Pegawai Semboyan, Brig Jen Dato’ Dr. Adnan bin Ajis serta turut dihadiri oleh Kol Mohammed Rizal bin Zakaria (Pengarah Sumber Manusia), Pegawai-pegawai serta warga 56 RSPT (AW).
Seluruh warga 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW) merakamkan ucapan terima kasih dan selamat bersara kepada Lt Kol Faizal Hamdy bin Hj Hussin.
Lt Kol Faizal Hamdy bin Hj Hussin bukan sekadar Pegawai yang bersara, tetapi sebagai ikon pejuang yang telah membentuk kekuatan dan jati diri warga 56 RSPT (AW) merangkumi anggota tetap dan sukarela. Jasa ini bukan hanya terpahat dalam sejarah pasukan Pakar Telekom, bahkan akan terus mengalir sebagai semangat perjuangan kepada warga yang masih berkhidmat.
30/01/2026
SERAH TERIMA TUGAS PENGERUSI BAKAT 56 REJIMEN SEMBOYAN PAKAR TELEKOM (AW)
Kuala Lumpur, 30 Jan 2026: Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Badan Amal Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW) telah disempurnakan di Pejabat Penolong Pegawai Memerintah 56 RSPT (AW).
Majlis Serah Terima Tugas ini telah dilaksanakan diantara Puan Iszuana binti Ismail dan Puan Norsuziati binti Abu Bakar selaku Pemangku Pengerusi BAKAT 56 RSPT (AW) yang telah disaksikan oleh Penolong Pegawai Memerintah 56 RSPT (AW), Lt Kol Faizal Hamdy bin Hj Hussin.
Majlis Serah Terima Tugas ini turut dihadiri ahli BAKAT pasukan. Seluruh warga BAKAT 56 RSPT (AW) mengucapkan jutaan terima kasih kepada Puan Iszuana binti Ismail diatas segala khidmat bakti sepanjang menerajui BAKAT 56 RSPT (AW).
30/01/2026
Selangkah Pergi, Seribu Kenangan Menanti
Kuala Lumpur: 28 Jan 2026, Majlis Meraikan Penolong Pegawai Memerintah 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW), Lt Kol Faizal Hamdy bin Hj Hussin yang bakal menamatkan perkhidmatan.
Acara dimulakan dengan perjumpaan Penolong Pegawai Memerintah bersama warga 56 RSPT (AW) yang diadakan di bilik mesyuarat pasukan. Beberapa amanat dan nasihat telah disampaikan sebelum beliau menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada pengganti.
Acara diteruskan dengan Majlis Jamuan Perpisahan yang diadakan di Restaurant Cozy Cafe dan diakhiri dengan penyampaian cendera kenangan oleh Pegawai Logistik Pasukan, Mej Mohd Nizar bin Hj Adenan kepada Penolong Pegawai Memerintah, Lt Kol Faizal Hamdy bin Hj Hussin sebagai penghargaan diatas jasa sepanjang menerajui pasukan.
Segala bakti, keringat dan pengorbanan beliau meninggalkan kesan yang mendalam kepada pasukan. Melalui kepimpinan, ketegasan, kebijaksanaan dan keberanian yang ditunjukkan sepanjang perkhidmatan, beliau telah menjadi tunjang kepada kesiapsiagaan, moral, serta hala tuju pembangunan pasukan Pakar Telekom. Jasa beliau bukan hanya terpahat dalam sejarah pasukan ini, bahkan terus mengalir sebagai semangat perjuangan kepada warga yang masih berkhidmat.
26/01/2026
LEMBAGA KENAIKAN PANGKAT PEGAWAI SUKARELA 56 RSPT (AW) SIRI 1/26.
KUALA LUMPUR, 23 jan 26: Seramai 7 Pegawai Sukarela dan 4 Anggota Lain-lain Pangkat (LLP) Sukarela telah menghadiri Lembaga Kenaikan Pangkat Pegawai Sukarela Siri 1/26 di TM Annex 2, Kuala Lumpur, manakala seramai 2 Pegawai Sukarela dan 1 Anggota Lain-lain Pangkat (LLP) Sukarela telah menyertai Lembaga Kenaikan Pangkat Pegawai Sukarela Siri 1/26 secara maya.
Lembaga Pemillihan tersebut diadakan bagi memilih calon-calon yang kompeten dan berwibawa untuk dinaikkan pangkat bagi mengisi kekosongan perjawatan di 56 RSPT (AW).
Calon dipilih yang telah disenaraikan pendek dan seterusnya layak menjalani Lembaga Akhir di peringkat pasukan yang dipengerusikan oleh Pengarah Pegawai Memerintah, Lt Kol Ts. Mohamad Ansahari bin Abdul Kudus.
Turut serta sebagai ahli panel ialah Penolong Pegawai Memerintah, Pegawai Logistik merangkap Pegawai Latih, Ajutan merangkap Pen Peg Latih dan Ketua-Ketua Skuadron 56 RSPT (AW).