17/04/2026
MAJLIS PENYERAHAN BENDERA PASUKAN KEPADA TIM SUKAN BATALION PERTAMA REJIMEN RENJER DIRAJA (ISTIADAT)
KUALA LUMPUR, 17 April 2026 – Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) telah melaksanakan Majlis Penyerahan Bendera Pasukan kepada Tim Bola Sepak, Bola Keranjang, Bola Tampar dan Hoki 1 RRD yang bertempat di Gelanggang Serbaguna 1 RRD.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai Memerintah 1 RRD, Lt Kol Salrafeehasleizad bin Salih. Penyerahan bendera pasukan telah disampaikan kepada ketua-ketua tim sebagai simbol amanah dan tanggungjawab dalam menggalas cabaran serta membawa nama baik pasukan ke persada pertandingan.
Tim Bola Sepak diketuai oleh Kapt Muhamad Nur Addeen bin Mustaza, Tim Bola Keranjang oleh Lt Lingesri Rao a/l Jeyarajan, Tim Bola Tampar oleh Lt Perancis anak Unong dan Tim Hoki oleh Lt Luqman Hakim bin Abd Khar.
Dalam ucapan beliau, Pegawai Memerintah menekankan kepentingan menjaga disiplin serta nama baik pasukan sepanjang pertandingan berlangsung. Beliau turut menyeru agar setiap anggota berusaha sedaya upaya untuk mencapai kejayaan. Walaupun bukan suatu tugas yang mudah, namun kejayaan bukanlah sesuatu yang mustahil untuk diraih.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa serta sesi bergambar melibatkan Pegawai Memerintah, para pegawai serta semua tim yang terlibat.
SARAWAK RANGERS
AGI IDUP AGI NGELABAN
16/04/2026
KAWALAN KEHORMATAN SETEMPAT (KKS) SEMPENA LAWATAN PERDANA MENTERI AUSTRALIA KE MALAYSIA
KUALA LUMPUR, 15 April 2026 – Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) telah melaksanakan Kawalan Kehormatan Setempat (KKS) sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese ke Malaysia.
Istiadat tersebut telah diadakan di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, sebagai tanda penghormatan rasmi kepada tetamu kenamaan negara.
Kawalan kehormatan ini terdiri daripada 2 pegawai dan 26 anggota LLP. Kawalan diketuai oleh Kapt Muhamad Thabrani bin Mohamad Sharudin selaku Ketua Kawalan, manakala Lt M Muhammad Faris bin Jauhari bertindak sebagai Sabaltan Kawalan.
Pelaksanaan KKS ini mencerminkan tahap profesionalisme yang tinggi serta keupayaan pasukan dalam melaksanakan istiadat ketenteraan mengikut protokol yang telah ditetapkan, di samping memperkukuh imej Angkatan Tentera Malaysia di mata antarabangsa.
SARAWAK RANGERS
AGI IDUP AGI NGELABAN
16/04/2026
PELAKSANAAN UJIAN JALAN LAJU (UJL) 8 KM BATALION PERTAMA REJIMEN RENJER DIRAJA (ISTIADAT)
KUALA LUMPUR, 13 April 2026 – Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) telah melaksanakan Ujian Jalan Laju (UJL) sejauh 8 kilometer di sekitar Kem Wardieburn sebagai sebahagian daripada program peningkatan tahap kesiagaan fizikal pasukan.
Latihan ini bertujuan menilai serta mengekalkan tahap ketahanan fizikal dan mental pegawai serta anggota Lain-Lain Pangkat (LLP), di samping memperkukuh disiplin, daya tahan dan semangat setiakawan dalam kalangan warga pasukan.
Sebelum pelaksanaan, taklimat pergerakan dan keselamatan telah disampaikan oleh Jurulatih Jasmani merangkumi laluan, kawalan pergerakan, tindakan kecemasan serta langkah mitigasi risiko. Pergerakan dilaksanakan secara berkumpulan mengikut formasi yang telah ditetapkan.
Sepanjang pelaksanaan, kawalan keselamatan dilaksanakan secara berterusan dengan pemantauan oleh pegawai bertanggungjawab bagi memastikan latihan berjalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Latihan ini telah dilaksanakan dengan teratur dan mencapai objektif yang ditetapkan, sekali gus meningkatkan tahap kesiagaan serta keupayaan operasi anggota.
SARAWAK RANGERS
AGI IDUP AGI NGELABAN
08/04/2026
LATIHAN RANCANGAN KONTIJENSI (RANKON) SIAP SIAGA PASUKAN & UJIAN SARINGAN AIR KENCING BATALION PERTAMA REJIMEN RENJER DIRAJA (ISTIADAT)
KUALA LUMPUR, 6 April 2026 – Pelaksanaan Latihan Rancangan Kontijensi (RANKON) oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) telah dilaksanakan dengan jayanya di Padang Kawad 1 RRD, Kem Wardieburn.
Latihan ini melibatkan keseluruhan kekuatan pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dengan pencapaian kehadiran 100% dalam tempoh 2 jam, melibatkan seramai 25 Pegawai dan 316 LLP. Turut hadir menyaksikan pelaksanaan latihan ialah Pegawai Memerintah 1 RRD, Lt Kol Salrafeehasleizad bin Salih.
Tujuan utama pelaksanaan RANKON ini adalah untuk menguji tahap kesiagaan anggota dalam menghadapi situasi kecemasan melalui simulasi aturgerak yang pantas dan tersusun. Selain itu, latihan ini juga bertujuan meningkatkan tahap kecekapan, disiplin serta keupayaan anggota dan aset pasukan agar sentiasa bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa dan tempat apabila diperlukan.
Seiring dengan pelaksanaan latihan tersebut, Ujian Saringan Air Kencing turut dijalankan sebagai langkah pemantauan, pencegahan dan penguatkuasaan bagi memastikan pasukan sentiasa bebas daripada penyalahgunaan najis dadah. Ujian ini dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan tahap integriti, disiplin serta kesiapsiagaan anggota sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Gabungan pelaksanaan RANKON dan ujian saringan ini mencerminkan komitmen berterusan pasukan dalam memastikan kesiagaan operasi serta pembentukan sahsiah anggota yang berdisiplin, berintegriti dan bebas daripada sebarang unsur negatif yang boleh menjejaskan imej serta kesiapsiagaan pasukan.
SARAWAK RANGERS
AGI IDUP AGI NGELABAN
04/04/2026
PERTANDINGAN ROAD RELAY DAN ACARA PEMAKAIAN PANGKAT PEGAWAI BATALION PERTAMA REJIMEN RENJER DIRAJA (ISTIADAT) TAHUN 2026
KUALA LUMPUR, 3 April 2026 - Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) telah melaksanakan pertandingan Road Relay peringkat pasukan. Pertandingan ini dilaksanakan pada 3 April 2026 bertempat di Kem Wardieburn melibatkan seramai 10 Pegawai dan 40 anggota Lain-Lain Pangkat telah bertanding mewakili kompeni masing-masing. Pertandingan ini melibatkan 6 disiplin iaitu larian 1 km, mendirikan khemah, membuka tong peluru, mengisi air dalam jerry can, menukul paku dan memotong ayam, membawa bebanan sejauh 1 km dan menolak kenderaan tentera 3 Ton.
Objektif utama pertandingan adalah bertujuan menilai tahap ketahanan fizikal dan mental disamping meningkatkan esprit de corps dikalangan warga Sarawak Rangers.
Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Lt Kol Salrafeehazleizad bin Salih, Pegawai Memerintah 1 RRD melalui simbolik pelepasan bagi disiplin pertama. Johan bagi pertandingan ini dimenangi oleh Kompeni C, Naib Johan ialah Kompeni Btn dan Tempat Ketiga disandang oleh Kompeni Mks.
Acara diteruskan dengan pemakaian pangkat P/Mej Khairul Azmi bin Jamingon selaku Ketua Kompeni A yang dinaikkan pangkat dari Kapten ke Pemangku Mejar. Acara pemakaian pangkat ini telah disempurnakan oleh Lt Kol Salrafeehazleizad bin Salih, Pegawai Memerintah 1 RRD dan disaksikan oleh seluruh warga Sarawak Rangers dan ahli keluarga.
AGI IDUP AGI NGELABAN
SARAWAK RANGERS
04/04/2026
PERTANDINGAN BOLA KERANJANG INTER-COMPANY BATALION PERTAMA REJIMEN RENJER DIRAJA (ISTIADAT) TAHUN 2026
KUALA LUMPUR, 2 April 2026 - Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) telah melaksanakan Pertandingan Bola Keranjang Inter-Company Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) bertempat di Gelanggang Bola Keranjang, Kem Wardieburn yang telah dianjurkan oleh Kompeni Markas.
Penganjuran pertandingan ini bertujuan memupuk semangat kerjasama berpasukan yang tinggi di samping menjadi medium bagi medan persaingan sihat melibatkan semua kompeni serta mencungkil bakat-bakat baharu di dalam persiapan menghadapi Pertandingan Bola Keranjang Peringkat Kor RRD bagi Tahun 2026.
Pertandingan Bola Keranjang ini telah dijuarai oleh Kompeni Markas manakala tempat kedua dan ketiga disandang oleh Kompeni Alpha dan Kompeni Bantuan.
Acara penutup pertandingan ini telah disempurnakan oleh Pegawai Memerintah 1 RRD, Lt Kol Salrafeehasleizad bin Salih. Pegawai Memerintah juga menyampaikan hadiah kepada Kompeni-kompeni yang menang. Pegawai Memerintah juga menyampaikan beberapa amanat penting kepada semua anggota agar sentiasa menjaga disiplin dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan nama baik perkhidmatan.
SARAWAK RANGERS
AGI IDUP AGI NGELABAN
22/03/2026
AKTIVITI PEMBAHAGIAN BEG RAYA KEPADA ANGGOTA BERTUGAS
KUALA LUMPUR, 21 Mac 2026 - Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) telah melaksanakan pembahagian Beg Raya kepada Anggota yang bertugas pada musim perayaan.
Objektif aktiviti ini diadakan adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota yang bertugas pada musim perayaan.
Pembahagian Beg Raya kepada anggota yang bertugas di Rumah Perkasa ini telah disempurnakan oleh Ketua Kompeni Charlie, Kapten Muhamad Nur Addeen bin Mustaza selaku Pegawai Medan Bertugas. Beliau mewakili Pegawai Memerintah menyampaikan amanat dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota yang bertugas kerana mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dan berkhidmat demi pasukan.
Hari Raya Aidilfitri ini adalah merupakan satu peluang kepada pasukan untuk berkongsi nikmat dan mengeratkan silaturrahim sesama manusia tidak mengira bangsa dan kaum.
SARAWAK RANGERS
AGI IDUP AGI NGELABAN
16/03/2026
PEMERIKSAAN KENDERAAN PERINGKAT BATALION PERTAMA REJIMEN RENJER DIRAJA (ISTIADAT)
KUALA LUMPUR, 16 Mac 26 - Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) telah melaksanakan Pemeriksaan Kenderaan Peringkat Pasukan di Padang Kawad 1 RRD.
Pemeriksaan ini merupakan salah satu inisiatif tindakan pencegahan awal bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku semasa musim perayaan yang bakal menjelma. Hasil pemeriksaan kenderaan menunjukkan tiada masalah yang kritikal serta berisiko tinggi yang membimbangkan pada setiap kenderaan.
Acara ini diakhiri dengan ucapan Pegawai Memerintah 1 RRD, Lt Kol Salrafeehasleizad bin Salih. Dalam ucapan, beliau menekankan kepentingan disiplin pemanduan dan pengurusan diri sepanjang musim perayaan ini. Beliau turut mengingatkan seluruh warga pasukan agar mengutamakan keselamatan di jalan raya demi keluarga tersayang dan sentiasa menjaga imej pasukan.
Selain itu, beliau turut menyentuh aspek kebajikan dengan mengingatkan anggota agar berbelanja secara berhemah dan tidak keterlaluan. Beliau mengakhiri ucapan dengan penghargaan kepada anggota yang bertugas serta ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga Sarawak Rangers.
SARAWAK RANGERS
AGI IDUP AGI NGELABAN
16/03/2026
MAJLIS BERBUKA PUASA WISMA PERWIRA BATALION PERTAMA REJIMEN RENJER DIRAJA (ISTIADAT) TAHUN 2026
KUALA LUMPUR, 14 Mac 2026 - Wisma Perwira 1 RRD telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Pegawai 1 RRD di Rot Thai Steamboat & Grill, Setapak.
Majlis ini dimulakan dengan jamuan makan dan disusuli dengan ucapan daripada Pegawai Memerintah. Dalam kesempatan yang sama, majlis diteruskan dengan penyampaian duit raya oleh Pegawai Memerintah 1 RRD, Lt Kol Salrafeehasleizad bin Salih kepada anak-anak para pegawai yang hadir serta Pengerusi BAKAT Puan Nor Farihan binti Hassan juga turut memberi sumbangan kepada ahli BAKAT yang hadir.
Yang Dipertua Wisma Perwira Mej Muhammad Akmal Hakim bin Sabarudin turut sama memberi ucapan serta berterima kasih kepada ahli-ahli wisma kerana dapat membawa keluarga untuk mejayakan majlis ini.
Penganjuran majlis seumpama ini diharapkan akan terus berkekalan agar dapat memupuk nilai perpaduan, kerjasama serta dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan warga Wisma Perwira 1 RRD.
SARAWAK RANGERS
AGI IDUP AGI NGELABAN