Semasa sidang parlimen yang lepas saya menyuarakan kebimbangan saya mengenai pengeluaran padi di Sabah yang semakin menurun.
Saya turut bertanya adakah varieti benih padi nuklear NMR152 yang dibangunkan oleh MOSTI dapat diperluaskan di Sabah.
Varieti benih padi NMR152 dapat meningkatkan pengeluaran padi sebanyak 60% dan tiga kali lebih tahan ancaman penyakit dan lain-lain berbanding benih padi sedia ada.
YB Datuk Seri Arthur Joseph Kurup telah menjawab persoalan saya & semoga perkara ini dapat dilaksanakan jika ia membawa manfaat kepada industri padi di wilayah Sabah.
Riduan Rubin
Ahli Parlimen Malaysia P181 Tenom
Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)
31/05/2026
𝐒𝐀𝐌𝐁𝐔𝐓𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐈 𝐖𝐄𝐒𝐀𝐊 𝟐𝟎𝟐𝟔 𝐏𝐄𝐑𝐈𝐍𝐆𝐊𝐀𝐓 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐒𝐀𝐁𝐀𝐇
31 Mei 2026 | SJKC Chung Hwa, Tenom
Saya diamanahkan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah untuk menjadi wakil rasmi beliau dalam Majlis Sambutan Hari Wesak 2026 Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di SJKC Chung Hwa, Tenom.
Dalam majlis tersebut, saya telah menyampaikan amanat rasmi YAB Ketua Menteri yang menekankan kepentingan memelihara keharmonian, toleransi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di Sabah. Nilai-nilai murni ini merupakan asas kepada kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan negeri yang kita cintai.
Saya turut merakamkan ucapan Selamat Hari Wesak kepada seluruh penganut agama Buddha, khususnya di Sabah. Semoga sambutan ini terus menjadi wadah memperkukuh persefahaman, mengeratkan hubungan antara masyarakat serta menyemai semangat kebersamaan demi kesejahteraan negeri dan negara.
Sesungguhnya kekuatan Sabah terletak pada perpaduan, toleransi dan semangat kebersamaan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama. Semoga nilai-nilai ini terus dipelihara agar Sabah Di Bawah Bayu kekal maju, makmur dan bersatu padu.
Terima kasih kepada pihak penganjur, pertubuhan-pertubuhan Buddha serta semua yang terlibat dalam menjayakan sambutan yang penuh bermakna ini.
31/05/2026
Telah berlangsung Pesta Bola Sepak Kaamatan 2026 di Padang Gurun LIGS.
Kejohanan selama 2 hari bermula 29 Mei 2026 hingga 30 Mei 2026 menerima sambutan yang amat menggalakkan.
Tahniah kepada Beliawanis Skim LIGS Lagud Seberang atas usaha menganjurkan program yang cukup baik ini dan membuka ruang untuk anak-anak muda berkumpul, berkenalan dan mengeratkan lagi hubungan dalam komuniti.
Terima kasih juga kepada semua pasukan, penyokong dan penduduk kampung yang hadir memeriahkan suasana sepanjang kejohanan berlangsung.
Semoga aktiviti seperti ini terus diadakan lagi. Syabas dan kita jumpa lagi pada edisi akan datang!
Selepas puluhan tahun, kita hidupkan kembali semangat dan warisan nenek moyang kita.
Saksikan sekitar perasmian sambutan Pesta Kaamatan Gabungan Kg. Pamilaan, Kg. Tipoh & Kg. Pangalat.
Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan!
30/05/2026
SUMBANGAN LEMBU KORBAN PARLIMEN TENOM
Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, saya berkesempatan turun padang menyantuni masyarakat serta menyerahkan sumbangan lembu korban kepada beberapa komuniti dan penerima di sekitar kawasan Parlimen Tenom.
Semoga sumbangan ini dapat membantu menjayakan ibadah korban, mengeratkan ukhuwah sesama kita serta membawa keberkatan buat kita semua. Mudah-mudahan segala amalan dan pengorbanan yang dilakukan diterima serta diberkati oleh Allah SWT.
30/05/2026
Selamat Menyambut Pesta Kaamatan 2026
Pesta Kaamatan mengingatkan kita tentang nilai kesyukuran atas rezeki yang dikurniakan, di samping menghargai warisan budaya yang menjadi identiti masyarakat Sabah. Lebih daripada sebuah perayaan, Kaamatan turut menjadi medan yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam semangat hormat-menghormati, kebersamaan dan muafakat.
Semoga sambutan Kaamatan tahun ini disambut dengan penuh kegembiraan, kemakmuran dan keharmonian bersama keluarga dan sanak saudara.
"Kansayan Angapu Ra Orou Napangaan Nangotom"
27/05/2026
Salam Aidil Adha buat semua.
Sama-sama kita menghayati dan mengambil ibrah daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang mengajar kita makna sebenar pengorbanan, kasih sayang dan ketaatan kepada Allah SWT.
Semoga kita semua dikurniakan rahmat dan berkatNya.
Saksikan keunikan dan kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan Gabungan Kg. Pamilaan, Kg. Tipoh & Kg. Pangalat yang kembali dihidupkan selepas puluhan tahun tidak diadakan.
Sambutan ini bukan sahaja memeriahkan budaya masyarakat Dusun, malah mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan, perpaduan dan semangat gotong-royong antara penduduk.
Pelbagai acara tradisi turut diadakan bagi memperkenalkan warisan nenek moyang kepada generasi muda. Semoga tradisi ini terus kekal diwarisi.
Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan!
25/05/2026
PESTA KAAMATAN GABUNGAN KG. PAMILAAN, KG. TIPOH & KG. PANGALAT
Saya teruja melihat Pesta Kaamatan Gabungan melibatkan tiga kampung iaitu Kg. Pamilaan, Kg. Tipoh dan Kg. Pangalat terus dihidupkan kembali selepas puluhan tahun tidak diadakan.
Pengumuman untuk menghidupkan semula pesta gabungan ini telah saya umumkan pada tahun 2023 ketika Pesta Kaamatan di Kg. Pangalat. Selepas itu, sambutan diteruskan dengan giliran tuan rumah di Kg. Tipoh pada tahun 2024, Kg. Pamilaan pada tahun 2025 dan tahun ini kembali semula ke Kg. Pangalat sebagai tuan rumah.
Masyarakat di ketiga-tiga kampung ini merupakan masyarakat Dusun yang mempunyai hubungan kekeluargaan yang sangat rapat. Kebanyakannya berasal dari Kg. Kirokot, Kg. Pahu serta beberapa kampung sekitar Tambunan sebelum berhijrah dan membentuk penempatan di Kg. Pamilaan, Kg. Pangalat dan Kg. Tipoh hari ini.
Pelbagai acara menarik turut diadakan antaranya pertandingan rumah tradisi bagi tiga kampung, pertandingan Unduk Ngadau serta pertandingan Ratu Ibu sempena sambutan Hari Ibu.
Suasana turut dimeriahkan dengan pertandingan minuman tradisi tapai, paluan gong dan sajian makanan tradisi masyarakat Dusun.
Turut diperkenalkan kepada generasi muda ialah tradisi masyarakat Dusun zaman dahulu termasuk tempat memasak tradisional, aktiviti pertanian serta demonstrasi memerangkap haiwan buruan yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat suatu ketika dahulu.
Semoga ikatan kekeluargaan ini terus diperkukuhkan dan diserikan lagi dengan kehadiran generasi baharu serta ahli keluarga daripada pelbagai bangsa dan suku kaum. Inilah keindahan perpaduan yang diwariskan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi.
Penganjuran Pesta Kaamatan ini juga menjadi simbolik kepada semangat perpaduan, kemasyarakatan dan budaya gotong-royong yang begitu kuat diamalkan oleh nenek moyang kami terdahulu.
Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan!
Click here to claim your Sponsored Listing.
Location
Category
Website
Address
Kuala Lumpur
