18/02/2026
Ramadan Bulan Tarbiyah
Allah ﷻ memberikan kepada kita umat Islam suatu bulan yang diberkati iaitu bulan Ramadan alMubarak. Bulan yang mendidik dan mentarbiyah umat Islam ke arah pembentukan insan yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepadaNya.
Hanya dengan iman dan taqwa ini sahaja umat Islam akan terselamat dari pancaroba dunia dan keburukannya. Begitu juga dengan adanya iman dan taqwa ini umat Islam tidak akan sesekali hanyut dan sesat akibat serangan musuh2 Islam dari segenap penjuru.
Bulan Ramadan juga dapat mentarbiyah pejuang pejuang Agama Allah dengan akhlak dan adab Islam yang terpuji. InsyaAllah kemenangan iu hanya milik Islam dan pejuangnya yang ikhlas.
Selamat Menyambut Bulan Ramadan 1447H/2026M
28/10/2025
KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
RAKYAT MENANGIS UNTUK GAZA, TAPI PEMERINTAH MENARI DENGAN PENZALIM
1. Dewan Ulamak PAS Pusat menzahirkan rasa dukacita dan kekesalan yang amat mendalam terhadap tindakan Perdana Menteri Malaysia yang menyambut kedatangan Donald Trump dengan sambutan penuh kemeriahan dan disertai tarian di lapangan terbang. Dalam keadaan bumi Gaza terus dibedil dan darah umat Islam masih mengalir, perbuatan itu mencalar maruah umat dan mengguris hati rakyat yang sedang berdoa serta berjuang untuk saudara mereka di Palestin.
2. Donald Trump bukan sekadar tokoh politik, beliau adalah simbol kezaliman moden. Beliau secara terang-terangan mengiktiraf penjajahan Israel, mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Zionis, memotong bantuan kemanusiaan kepada pelarian Palestin, dan mengaku sebagai pembekal senjata utama kepada rejim Israel. Menyambutnya dengan senyum dan tarian bukanlah tanda bijaksana, tetapi tanda hilangnya empati dan keinsafan terhadap umat yang dizalimi.
3. Lebih mengejutkan, kerajaan turut menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik atau Reciprocal Trade Agreement yang nyata berat sebelah, memberi kelebihan besar kepada eksport Amerika Syarikat dalam sektor industri dan pertanian, sementara Malaysia p**a terdedah kepada ketergantungan ekonomi yang membahayakan kedaulatan jangka panjang. Tindakan ini amat bertentangan dengan prinsip keadilan Islam yang menolak segala bentuk penindasan ekonomi dan eksploitasi oleh kuasa besar.
4. Islam tidak melarang diplomasi antarabangsa, namun diplomasi tidak boleh dijadikan topeng untuk melunakkan kezaliman atau membuka ruang kepada penjajahan ekonomi baharu. Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ أُمَّتِي تَهَابُ أَنْ تَقُولَ لِلظَّالِمِ: يَا ظَالِمُ، فَقَدْ تُوُدِّعَ مِنْهُمْ
“Apabila engkau melihat umatku takut menegur orang zalim dengan berkata wahai zalim, maka ketahuilah umat itu telah ditinggalkan oleh Allah.”
(Riwayat al-Hakim, sahih)
5. Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa pemimpin Islam mesti menjadi benteng keadilan, bukan menjadi alat kepada agenda kuasa besar. Tidak wajar Malaysia yang sekian lama dikenali sebagai suara tegas dunia Islam kini berubah menjadi pentas meraikan penzalim. Tindakan ini bukan sekadar kesilapan protokol, tetapi krisis prinsip dan kehilangan arah moral.
6. Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru kerajaan agar menilai semula sebarang perjanjian yang berat sebelah dengan Amerika Syarikat, mengembalikan dasar luar negara berteraskan maqasid syariah, mempertahankan maruah, kedaulatan dan solidariti umat Islam sejagat.
7. Umat menuntut kepimpinan yang berjiwa ummah, yang menangis bersama Gaza, bukan yang menari di hadapan penzalim. Jangan sampai Malaysia dikenang dalam sejarah sebagai negara yang menggadai maruah Islam demi sekeping janji ekonomi yang tidak adil.
YB USTAZ DATO' HAJI MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat.
27 Oktober 2025 Miladi bersamaan 5 Jamadilawwal 1447 Hijri
24/10/2025
KENYATAAN MEDIA RASMI ISU :LAWATAN DONALD TRUMP BERI SYARAT: DEWAN ULAMA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN TEGAS PERTAHAN MARUAH UMAT DAN PALESTIN
Kuala Lumpur – Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan memandang serius lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia pada ketika dunia masih bergelut dengan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Palestin.
Sebagai individu yang menyokong rejim Zionis Israel secara terbuka, kehadiran beliau ke Malaysia jelas menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan umat Islam di negara ini. Dunia ketika ini masih menyaksikan kekejaman tanpa henti rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza – termasuk pembunuhan beramai-ramai, kemusnahan infrastruktur awam, serta pengusiran paksa yang jelas bertentangan dengan prinsip kemanusiaan sejagat. Sehubungan itu, penolakan terhadap Donald Trump bukan hanya datang dari kalangan umat Islam Malaysia, bahkan turut dizahirkan oleh masyarakat antarabangsa yang menentang kezaliman dan penindasan.
Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan Malaysia agar terus dan perlu berpegang teguh kepada dasar luar negara yang konsisten untuk tidak mengiktiraf Israel serta menolak sebarang bentuk hubungan rasmi atau tidak rasmi, termasuk juga dengan mana-mana pihak yang menyokong penindasan terhadap rakyat Palestin. Lawatan individu yang mempunyai rekod menyokong kezaliman Zionis mesti dinilai dengan penuh berhati-hati agar tidak menjejaskan maruah negara dan sensitiviti umat Islam.
Dalam masa yang sama, Dewan Ulama PAS Wilayah menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira agama dan bangsa, untuk terus memperkukuh solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin. Usaha ini boleh dilaksanakan melalui doa, sumbangan kemanusiaan, kempen kesedaran awam, serta tekanan diplomatik terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol dengan Israel.
Islam menuntut agar keadilan ditegakkan dan kezaliman ditolak di mana sahaja ia berlaku. Justeru, pendirian tegas terhadap isu Palestin bukan sekadar tuntutan agama, tetapi juga lambang komitmen Malaysia terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
“Kemenangan adalah milik mereka yang teguh berprinsip dan tidak tunduk kepada kezaliman.”
Muhammad Zulazizi bin Mohamed Zaidi
(Ketua Penerangan DUPWP)
11/09/2025
KENYATAAN MEDIA
11 September 2025
TINDAKAN PEMAJU TERHADAP PENDUDUK KAMPUNG SUNGAI BARU MELAMPAUI BATASAN KEMANUSIAAN
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam tindakan pemaju yang melaksanakan pengosongan terhadap 179 penduduk Kampung Sungai Baru pada 11 September 2025 berasaskan perintah mahkamah melalui Order 89.
PAS memahami bahawa pada 20 Ogos 2025, pihak pemaju telah memperoleh perintah ex parte daripada mahkamah yang memberi kebenaran untuk memasuki kawasan, termasuk membuka mangga pintu, tingkap, dinding dan bumbung rumah bagi tujuan pengambilalihan. PAS menghormati keputusan tersebut.
Namun, tindakan pemaju yang meneruskan pengosongan secara tergesa-gesa, sedangkan rayuan penduduk dijadualkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 3 Oktober 2025, amat tidak berperikemanusiaan. Sepatutnya, pemaju menunjukkan budi bicara dengan menunggu proses rayuan selesai. Menghalau penduduk seolah-olah mereka penceroboh di tanah sendiri adalah suatu tindakan yang zalim.
Lebih membimbangkan, perintah Order 89 secara jelas tidak membenarkan sebarang perobohan atau penggunaan jentera berat. Namun, penguatkuasaan pada hari ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta tindakan agresif pihak pemaju, sekali gus menafikan hak penduduk untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.
PAS menzahirkan simpati dan solidariti penuh kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang terpaksa berdepan kesusahan mendadak akibat pengosongan ini. Simpati turut dirakamkan kepada seorang anggota polis yang dilaporkan cedera ringan dalam kekecohan tersebut. Pada masa sama, PAS akan terus memantau rapat perkembangan isu ini dan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk yang terjejas.
PAS juga mengingatkan rakyat Malaysia bahawa apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru ini adalah gambaran awal atau ‘teaser’ sekiranya Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) dilaksanakan kelak. Tanpa budi bicara, pemaju diberi kuasa penuh, dan rakyat berisiko dihalau dari kediaman mereka sendiri.
Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama bangkit membela penduduk Kampung Sungai Baru dan terus membantah RUU URA yang akan dibawa semula ke Parlimen pada bulan Oktober 2025.
YB Ahmad Fadhli Shaari
Ketua Penerangan PAS Pusat
09/07/2025
أهلا وسهلا.
سلامت برمؤتمر بوات سيدڠ ڤرواكيلن ديوان علماء ڤاس ولايه ڤرسکتوان يڠ أکن ملڠسوڠكن مؤتمر تاهوننڽ ڤد ١٢ جولاي اين.
02/05/2025
JEMPUTAN TERBUKA AIDILFITRI PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
Seluruh warga Wilayah Persekutuan dijemput hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Wilayah Persekutuan! 🌙✨
📅 Tarikh :- Ahad | 04 Mei 2025
🕝 Masa :- 2.30 Petang
📍 Tempat :- Tapak Pasar Malam Taman Melati
📍 Maps :- https://g.co/kgs/ocqqM7h
Ayuh kita raikan Syawal bersama pemimpin dan masyarakat setempat dalam suasana ukhuwah dan penuh kemeriahan! Pelbagai juadah istimewa menanti — sate, lemang, nasi briyani, kuih tradisional dan macam-macam lagi! 😋🍗🍛
Bukan sekadar jamuan — inilah peluang untuk kita eratkan silaturrahim, perkukuh perpaduan dan bertemu mata dengan pimpinan PAS Wilayah Persekutuan yang sentiasa dekat dengan rakyat.
Jangan lupa bawa seisi keluarga dan sahabat handai!
💚 PAS Wilayah Persekutuan – Prihatin, Bersih & Mesra Rakyat
30/03/2025
🌙 Selamat Hari Raya Aidilfitri 🌙
Taqabbalallahu minna wa minkum, kullu ‘am wa antum bikhair
Syawal hadir membawa sinar kemenangan setelah sebulan kita mendidik jiwa dengan ketakwaan dan mujahadah. Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi madrasah tarbiah yang menyuburkan cinta kita kepada Islam serta menguatkan semangat perjuangan dalam diri, keluarga, dan negara.
Di hari yang mulia ini, marilah kita jadikan Aidilfitri sebagai detik memperbaharui tekad untuk lebih mencintai Islam, lebih bersemangat mempertahankan agama-Nya, serta lebih bersungguh-sungguh dalam menegakkan kebenaran.
Kami dari Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan menyusun sepuluh jari memohon maaf zahir dan batin atas segala kekhilafan. Semoga Syawal ini menyatukan hati kita dalam perjuangan dan mengukuhkan tekad kita menuju redha Ilahi.
Selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh umat Islam! 🌹
26/03/2025
24 Ramadan 1446H
Malam-malam terakhir Ramadan terus dihidupkan dengan penuh kesyukuran dalam program Ihya’ Ramadan anjuran Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat. Kehadiran para amilin serta masyarakat sekitar Pejabat Agung PAS Pusat memeriahkan lagi suasana ibadah yang penuh keberkatan ini.
Pada malam ke-24 ini, tajaan disempurnakan oleh Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan dan PAS Kawasan Pandan.
Masih ada peluang untuk turut serta dalam amal kebajikan ini. Salurkan sumbangan ke:
🔸 DANA KAMI PRIHATIN
🏦 Bank Islam – 12113010026150
📌 Rujukan: Ihya’ Ramadan
Semoga setiap infaq diterima sebagai bekalan akhirat, dan kita semua dikurniakan rahmat Lailatul Qadar.