16/10/2026
JABATAN PERIKANAN MALAYSIA SAHKAN TELUR SARANG PENDARATAN PERTAMA DAN PENDARATAN KEDUA PENYU BELIMBING 2026 TIDAK TERSENYAWA
PUTRAJAYA, 16 OKTOBER 2026 โ Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan bahawa pemeriksaan teknikal terhadap Sarang pendaratan pertama dan pendaratan kedua penyu Belimbing (Dermochelys coriacea) di Pusat Penetasan TCIC Rantau Abang, Terengganu mendapati telur yang diperiksa tidak menunjukkan bukti perkembangan embrio dan diklasifikasikan sebagai tidak tersenyawa.
Dapatan tersebut direkodkan dalam Laporan Teknikal Pra-Pemeriksaan Perkembangan Embrio bagi Sarang Penyu Belimbing di Terengganu bertarikh 03 dan 16 Oktober 2026, yang disediakan melalui Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang.
Sehingga 16 Oktober 2026, sebanyak lima pendaratan persarangan penyu Belimbing telah direkodkan di Terengganu. Rekod ini menandakan kemunculan semula spesies berkenaan selepas pendaratan terakhir yang direkodkan pada tahun 2017.
Pemeriksaan Sarang bagi pendaratan pertama dijalankan pada 03 manakala sarang bagi pendaratan kedua pada 16 Oktober 2026, iaitu pada hari ke-30 tempoh pengeraman. Sarang tersebut mengandungi masing-masing 44 dan 81 biji telur dan pemeriksaan dilakukan menggunakan kaedah penggalian separa tanpa pemusnahan (non-destructive inspection) terhadap lima sampel telur yang dipilih secara rawak.
Hasil pemeriksaan mendapati masing masing lima sampel telur berkenaan mempunyai diameter purata 49.80 milimeter, menunjukkan bahawa telur tersebut merupakan telur normal dan bukannya telur kerdil tanpa kuning telur (yolkless eggs).
Bagaimanapun, pemerhatian pada permukaan cangkerang tidak menemukan tompok putih (white spot) yang lazim dikaitkan dengan perkembangan awal embrio. Ujian suluhan cahaya (candling) turut tidak menunjukkan pembentukan rangkaian saluran darah (area vasculosa) atau bayangan struktur embrio.
Pemeriksaan juga menemukan perubahan warna telur kepada kehitaman dan kekuningan serta kehadiran mikroorganisma dan belatung, yang menunjukkan berlakunya proses pereputan. Secara keseluruhan, dapatan tersebut menyokong kesimpulan teknikal bahawa telur yang diperiksa tidak tersenyawa.
Ketua Pengarah Perikanan, Dato' Adnan bin Hussain berkata, pendaratan semula penyu Belimbing di pantai Terengganu merupakan perkembangan penting yang menyediakan peluang untuk mengumpulkan data saintifik berkaitan pembiakan dan keadaan populasi spesies berkenaan.
โWalaupun pemeriksaan Sarang 1 dan 2 menunjukkan telur yang diperiksa tidak tersenyawa, maklumat ini penting dalam usaha memahami perkembangan pembiakan penyu Belimbing. Pemantauan berterusan dan pengumpulan data saintifik perlu dilaksanakan bagi membantu menilai keadaan populasi spesies ini,โ katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan dan pemantauan terhadap kelima-lima sarang perlu dilaksanakan secara teratur bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan embrio, tahap kesuburan telur dan kejayaan penetasan.
Pengurusan hatcheri turut disaran memberikan perhatian kepada kebersihan serta pemantauan suhu dan kelembapan pasir bagi mengurangkan risiko pencemaran dan penyebaran mikroorganisma kepada sarang lain yang masih aktif.
DOF melalui IPP Rantau Abang akan meneruskan pemantauan serta pemeriksaan teknikal terhadap sarang penyu Belimbing bagi menyokong usaha penyelidikan dan pemuliharaan spesies marin yang terancam ini.
- TAMAT -
Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perikanan Malaysia