18/09/2026
*PROGRAM OUTREACH KOREKTIF PENJARA LAHAD DATU TAHUN 2026*
*LAHAD DATU, 18 September 2026* – Program Outreach Korektif Penjara Lahad Datu Tahun 2026 telah berjaya dilaksanakan pada 18 September 2026 bertempat di Dewan Toh Puan Norlidah, Penjara Lahad Datu. Program yang berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 12.15 tengah hari ini bertujuan mengukuhkan hubungan antara prospek, keluarga, komuniti serta agensi-agensi berkaitan dalam usaha menyokong proses pemulihan dan reintegrasi sosial prospek.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh *YB Dato' Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal*, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Turut menyampaikan ucapan alu-aluan ialah *TKP Tey Hock Soon*, Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Hadir sama memeriahkan program ialah *YB Muhammad bin Abdul Karim*, Ahli Dewan Undangan Negeri N.61 Segama.
Program ini turut dihadiri oleh Ketua-ketua institusi Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu *PKK Jorennedy Sylvester* (Penjara Lahad Datu), *PKK Hamdan Salleh bin Majin* (Penjara Pusat Kota Kinabalu), *PKK Hasrul Anwar bin Hasim* (Penjara Tawau), *PKP Sirajuddin bin Abdul Majid* (Sekolah Henry Gurney Keningau), *PKP Muhammad Khalid bin Muhammad* (Penjara Sandakan), *PKP Tajudin bin Tungal* (Pusat Koreksional Labuan), *PKP Noor Sazlawati binti Zakaria* (Penjara Wanita Kota Kinabalu) dan *PP John Kindasan* (Pusat Reintegrasi Penghuni Tuaran).
Seramai *20 orang prospek* bersama keluarga masing-masing telah mengambil bahagian dalam program ini. Acara dimulakan dengan sesi pendaftaran keluarga prospek sebelum diteruskan dengan sesi taklimat oleh wakil *Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah BahagianTawau (JKM)*, Puan Nurul Fadilah binti Abd. Hamid, dan wakil *Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)*, Encik Adam bin Daud, yang berkongsi maklumat berkaitan bantuan serta peluang sokongan kepada prospek selepas tamat tempoh pemulihan.
Majlis rasmi dimulakan dengan nyanyian lagu *Negaraku* dan *Sabah Tanah Airku*, diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh *Ustaz Mohd Fahmi bin Mustapha Kamal*. Semasa jamuan berlangsung, para hadirin turut disajikan dengan persembahan oleh prospek yang bakal mewakili institusi dalam *Pertandingan Ruang Ekspresi Kreatif dan Apresiasi Bahasa (REKA)*.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Dato' Dr. Mohammad Yusof bin Apdal menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Penjara Malaysia atas usaha berterusan melaksanakan program pemulihan yang memberi peluang kepada prospek untuk membina semula kehidupan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil *JKM*, *PERKESO* dan *Prison Fellowship*, yang diwakili oleh Encik Albert Chow, sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan program tersebut. Program turut diserikan dengan gimik perasmian serta sesi menandatangani buku pelawat oleh perasmi.
Majlis diakhiri dengan sesi ramah mesra dan bergambar kenang-kenangan bersama para prospek, keluarga, tetamu jemputan serta pihak penganjur. Turut hadir memeriahkan program ialah wakil sekolah-sekolah sekitar daerah Lahad Datu dan pasukan media.
Penganjuran Program Outreach Korektif Penjara Lahad Datu Tahun 2026 ini diharap dapat memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik antara Jabatan Penjara Malaysia, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti setempat dalam menyokong usaha pemulihan prospek ke arah kehidupan yang lebih produktif dan bermakna selaras dengan aspirasi
“Penjara Selamat, Berdaya Huni dan Menginspirasikan Harapan.”
Jabatan Penjara Malaysia
Pejabat Pengarah Penjara Sabah & WP. Labuan
Penjara Tawau Official
Penjara Sandakan
Penjara Pusat, Kota Kinabalu
Penjara Wanita KK
Sekolah Henry Gurney Keningau
Penjara Lahad Datu