13/11/2025
Keputusan Mantan Ketua Exco Wiramuda dan Pengisian Jawatan Ketua Exco
Exco Wiramuda STAR Sabah menghormati keputusan Mantan Ketua Exco yang telah meletakkan jawatan beliau dan memilih untuk bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah yang akan datang. Kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan khidmat beliau sepanjang memegang jawatan tersebut serta mendoakan kejayaan dalam apa jua bidang perjuangan yang diceburi selepas ini.
Berhubung dengan kekosongan jawatan Ketua Exco, berdasarkan Fasal 8.1.5 Perlembagaan Exco Wiramuda, calon kedua yang mendapat undi terbanyak semasa pemilihan yang lalu adalah layak untuk mengisi jawatan tersebut. Namun, perlu dijelaskan bahawa jawatan Ketua Exco pada pemilihan yang lepas merupakan jawatan yang dimenangi tanpa bertanding, maka tiada calon kedua yang layak untuk dilantik secara automatik.
Sehubungan dengan itu, Exco Wiramuda mengambil ketetapan untuk mengosongkan jawatan Ketua Exco sehingga selesai Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah. Satu mesyuarat khas Exco akan diadakan selepas PRU bagi membincangkan dan mengisi kekosongan jawatan tersebut secara rasmi.
Untuk rekod umum, tiada ahli Exco lain yang meletakkan jawatan selain Ketua Exco. Kami semua kekal komited meneruskan agenda perjuangan parti serta berdiri teguh di belakang kepimpinan STAR Sabah.
Exco Wiramuda menegaskan bahawa ini bukan masa untuk berpecah atau mencari kesalahan individu, sebaliknya masa untuk bersatu demi kemajuan, kestabilan, dan masa depan politik Wilayah Sabah yang lebih kukuh dan berpaksikan perpaduan.
EXCO WIRAMUDA STARSABAH
-Tamat-
Parti Solidariti Tanah Airku - StarSabah