17/08/2026
𝗞𝗘𝗡𝗬𝗔𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗗𝗜𝗔 | 𝟭𝟳 𝗢𝗚𝗢𝗦 𝟮𝟬𝟮𝟬 | 𝗜𝗦𝗡𝗜𝗡
𝗪𝗔𝗡𝗜𝗧𝗔 𝗣𝗚𝗥𝗦 𝗧𝗘𝗚𝗨𝗛 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗗𝗔𝗧𝗨𝗞 𝗥𝗘𝗗𝗢𝗡𝗔𝗛, 𝗧𝗢𝗟𝗔𝗞 𝗣𝗢𝗟𝗜𝗧𝗜𝗞 𝗙𝗜𝗧𝗡𝗔𝗛 𝗗𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗥𝗣𝗘𝗖𝗔𝗛𝗔𝗡
1. Saya selaku Naib Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) memandang serius penyebaran poster dan naratif yang cuba mempertikaikan kepimpinan Datuk Redonah Bahanda selaku Ketua Pergerakan Wanita PGRS.
2. Pergerakan Wanita PGRS menegaskan bahawa Datuk Redonah Bahanda kekal mendapat mandat serta kepercayaan daripada kepimpinan dan ahli sayap Wanita PGRS di seluruh Sabah.
3. Di bawah kepimpinan beliau, Wanita PGRS terus diperkasa untuk bergerak lebih aktif di peringkat akar umbi, khususnya dalam memperluas khidmat kepada rakyat serta memberi perhatian terhadap agenda kebajikan wanita, keluarga dan masyarakat.
4. Sehubungan itu, kami menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha menggunakan isu berbentuk persepsi, propaganda atau naratif tidak berasas untuk melemahkan parti dari dalam.
5. Dalam politik, kekuatan dan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)/PGRS hanya dapat dicapai apabila kita berdiri teguh sebagai satu pasukan, bukannya dengan mencetuskan perpecahan atau menjatuhkan pemimpin sendiri.
6. Tiada sesiapa yang lebih besar daripada parti. Namun, parti juga tidak akan menjadi lebih kuat jika kita terus sibuk menjatuhkan sesama sendiri.
7. Justeru, Pergerakan Wanita PGRS akan terus memberi tumpuan kepada kerja di lapangan, turun padang dan mendekati rakyat bagi memastikan agenda serta perjuangan GRS/PGRS terus difahami dan dirasai masyarakat.
7. Saya menyeru seluruh ahli Wanita PGRS supaya kekal tenang, bersatu dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang propaganda atau naratif negatif yang bertujuan melemahkan semangat serta perpaduan parti.
8. Sudah tiba masanya kita mengukuhkan saf, memperteguh perpaduan dan memperluas khidmat kepada rakyat, bukannya meretakkan tembok yang telah kita bina bersama.
9. Pergerakan Wanita PGRS akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan parti dan memberi fokus kepada usaha memperkukuh organisasi serta memastikan suara dan khidmat parti terus sampai ke akar umbi.
Salam Sayang.
DATUK AZIAH ATOH
Naib Ketua Pergerakan Wanita
Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS)