01/10/2026
[LAWATAN KELAB JASA BUDI USM KE SEKINCHAN, SEREMBAN DAN MELAKA (REUNION)]
26 September 2026 - Kelab Jasa Budi USM telah menganjurkan Lawatan ke Sekinchan, Seremban dan Melaka pada 26 hingga 28 September 2026 selama 3 hari 2 malam. Program lawatan ini telah disertai oleh 35 orang peserta yang terdiri daripada Pesara USM, Ahli Kelab serta pasangan masing-masing.
Pada hari pertama, semua peserta telah berkumpul di Masjid USM dan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru sebelum memulakan perjalanan ke Negeri Sembilan. Peserta menikmati sarapan pagi di R&R Juru sambil mengambil peserta yang menyertai rombongan di lokasi tersebut.
Perjalanan diteruskan ke Sekinchan dengan persinggahan di Reana Food (Bahulu Panas) sebelum menikmati makan tengah hari di Asma Chinese Muslim & Thai Food. Rombongan kemudiannya dibawa melawat beberapa lokasi menarik di sekitar Sekinchan seperti Sekinchan Terminal Express, Kapal Terbang Sekinchan dan Villa Chee. Dalam perjalanan ke Negeri Sembilan, rombongan sempat singgah di Masjid Jamek Sultan Ibrahim di Kuala Selangor untuk solat.
Pada hari kedua, rombongan bertolak ke Melaka bagi menghadiri Majlis Reunion Zon Selatan Tahun 2026 yang dianjurkan oleh Kelab Jasa Budi di Grand Flora Hotel, Melaka. Dalam perjalanan ke Melaka, rombongan singgah di Masjid Sri Sendayan. Majlis Reunion tersebut telah diserikan dengan kehadiran YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. DHC Abdul Khalil bin Shawkataly, Naib Canselor UNIMEL, serta pesara-pesara USM yang menetap di sekitar Zon Selatan dan dari Pulau Pinang seramai 65 orang kesemuanya.
Majlis berlangsung dengan meriah dan berjaya mencapai objektifnya sebagai platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan pesara USM. Setelah majlis berakhir, rombongan meneruskan lawatan di sekitar Bandar Melaka dengan menyertai aktiviti Melaka River Cruise sebelum menikmati makan malam di Tea Garden.
Pada hari terakhir, peserta dibawa melawat beberapa lokasi tumpuan pelancong di Melaka seperti Menara Taming Sari dan Perigi Hang Tuah, di samping berpeluang membeli-belah sebelum meneruskan perjalanan ke Seremban. Di Seremban, rombongan dibawa ke Snowlim Wonderland bagi menikmati pengalaman suasana sejuk dan bersalji. Selesai lawatan, rombongan bertolak pulang ke destinasi masing-masing dengan selamat.
Penganjuran program lawatan ini merupakan salah satu inisiatif Kelab Jasa Budi USM dalam memperkukuh hubungan silaturahim, memupuk semangat ukhuwah serta mengeratkan persahabatan dalam kalangan Ahli Kelab, Pesara USM dan pasangan masing-masing.
Koleksi kenangan bersama seperti di bawah ini :
https://photos.app.goo.gl/tw4kdhRRbbh1LQds6