Kami Menyokong Kepimpinan Ulama

  • Home
  • Kami Menyokong Kepimpinan Ulama
Website

Kami Menyokong Kepimpinan Ulama Page ini ditubuhkan bagi menyokong kepimpinan Ulama dan menuntut negara berkepimpinan Islam.

Ditubuhkan pada 22.10.2010

Page ini ditubuhkan bagi menyokong kepimpinan ulama dan menuntut kepimpinan negara berlandaskan Islam.

Sebagai tanda sokongan kita terhadap ulama,admin menyeru fan page menjemput semua rakan facebook menyerati page ini.

08/11/2015

Ketika PRU yang lalu rakyat memilih Pakatan Rakyat, apabila wujudnya PH maka lebih wajar parti yang dipilih oleh rakyat ketika PRU lalu meneruskan kepimpinan kini. Ketika PRU lalu rakyat Selangor memilih PR dan bukannya PH.

Lakukan tugas selepas menang PRU dan bukannya sibuk bermain politik sahaja. DAP nak letak jawatan dan keluar? Biarkan... -Admin

SESI TERBUKA PM UNTUK PENJELASAN1. Sesi Prime Minister’s Question (PMQ) seperti yang diamalkan di United Kingdom harus d...
02/10/2015

SESI TERBUKA PM UNTUK PENJELASAN

1. Sesi Prime Minister’s Question (PMQ) seperti yang diamalkan di United Kingdom harus dicontohi oleh Parlimen Malaysia. Ini adalah amalan praktis demokrasi terbaik yang memberikan peluang kepada Perdana Menteri untuk menjawab soalan-soalan penting yang melibatkan kepentingan awam sekitar 30 minit, sehari dalam seminggu.

2. Kita boleh merujuk contoh amalan yang dilakukan di United Kingdom menerusi laman informatif parlimennya, www.parliament.uk. Ini adalah contoh kematangan politik yang dipamerkan oleh ahli legislatif bagi menunjukkan sikap akauntabiliti dalam pentadbiran. Malah, lebih banyak lagi amalan yang boleh dicontohi dan difikirkan untuk mereformasi institusi Parlimen di Malaysia.

3. Akhir-akhir ini, terlalu banyak isu yang dipalitkan dengan kewibawaan Perdana Menteri. PAS telah menasihati Perdana Menteri untuk memberikan notis memanggil sidang khas Dewan Rakyat atau pembentangan kertas putih untuk menjawab isu-isu yang dikemukakan seperti skandal kewangan 1MDB, derma RM 2.6 bilion dan lain-lain lagi. Tetapi, ia masih tidak dilakukan.

4. Walau apa pun medium yang dicadangkan, PAS mahu Perdana Menteri memanfaatkan sesi khas di Dewan Rakyat bagi menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan selama ini dan bersedia untuk menjawab soalan-soalan yang dilontarkan. Ia akan menjadi role model yang terbaik untuk dipraktikkan dalam sesi sidang mesyuarat selepas ini.

5. Malah Parlimen Belia Malaysia yang baru dilaksanakan telah lama dipraktikkan di United Kingdom. Di samping itu, mereka juga giat memberikan pendidikan politik kepada rakyat berhubung proses pendemokrasian di Parlimen melalui video animasi yang interaktif, program outreach dan lawatan ke sekolah-sekolah. Ia penting untuk mewujudkan rasa kebersamaan rakyat terhadap institusi Parlimen.

Sekian.
Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Tarikh : 18 Zulhijjah 1436 / 1 Oktober 2015

Parliament is made up of the House of Commons and House of Lords. It is responsible for making laws, deciding taxes and scrutinising the Government.

26/09/2015

Beralih atau berubah

Negara kini bergelumang dengan pelbagai kemelut samada politik, ekonomi, sosial serta hilangnya jati diri Muslim dalam mengejar arus kemajuan dunia. Kemelut ini berpaksi kepada asas aqidah (kepercayaan) yang menjadi tunjang bagi setiap manusia.

Kerana apa sahaja tindakan manusia akan berpaksi kepada apa yang diyakininya. Kerana itu asas keyakinan ini mesti berada di atas landasan yang betul. Ia ibarat tapak bagi sesabuah bangunan. Bilamana tapaknya betul, maka seluruh bangunannya akan berdiri betul begitulah sebaliknya.

Bilamana aqidah umat itu rosak, maka saksikan kerosakan ekonomi, politik, perundangan dan sosial mereka. Dan akan rosaklah seluruh sistem hidup dan nilai mereka. Namun apabila baik aqidah mereka, maka akan baiklah ekonomi, politik dan sosial mereka. Dan akan selamatlah masyarakat, negeri dan negara mereka.

Kemelut yang melanda negara bukan hanya akan selesai dengan pertukaran pemimpin atau parti yang akan memerintah sahaja. Sebaliknya apa yang penting apakah dasar yang akan dilaksanakan di sebalik perubahan yang dikehendaki itu.

Hari ini kita semua harus mengakui bahawa rosaknya sistem dalam negara kita. Kita mempunyai undang-undang yang gagal mencegah jenayah, sehingga berlakunya peningkatan kadar jenayah secara serius. Isu penagihan dadah, kita harus mengakui bahawa kita gagal mencegah penagihan dadah. Demikian juga isu moral yang lain. Persoalannya apakah setelah kita menyedari kegagalan sistem ciptaan manusia ini kita akan terus mengekalkan sistem yang gagal ini.

Ketepikan sentimen dan taasub kita. Apakah kita ingin teruskan kegagalan ini, lalu kita akan wariskan satu generasi yang rosak. Berbillion Ringgit dihabiskan bagi memperbaiki kerosakan, namun hasilnya kerosakan bertambah parah. Tidak mungkin sistem yang batil akan membuahkan hasil yang hak. Keadilan hanya akan dapat dinikmati dari sistem dan pelaksana yang adil.

Rakyat mengharapkan perubahan menyeluruh. Mereka menanti munculnya PRU akan datang sebagai titik perubahan. Apakah harapan ini dapat dijelmakan dalam kemelut semua parti politik yang ada. Apakah ahli politik adalah sebahagian dari mereka yang akan mengecewakan harapan rakyat ini. Namun yang penting apakah asas harapan kepada perubahan yang diimpikan rakyat itu.

Bagi mencapai hasrat tersebut, kita perlu kembali kepada sistem Rabbani dan ia mesti diurus oleh agen perubahan yang rakyat inginkan. Pelaksana yang ada mesti ditukar. Parti yang menerajui negara dan kepimpinannya perlu ditukar. Namun apakah sistem yang akan diteruskan nanti masih dengan sistem dan dasar yang sama? Kalau begitu, apa jaminan bahawa negara tidak akan berhadapan dengan kemelut yang sama. Ia mungkin akan berubah dan kelihatan baik dalam tempoh tertentu, namun akhirnya ia akan kembali kepada kerosakan semula. Kalau inilah yang terjadi kita hanya menukar sistem jahiliah dengan satu bentuk jahiliah baru.

Ternyata cabaran besar yang kita hadapi bukanlah menumbangkan sistem yang korup, tetapi meyakinkan agar perubahan tersebut ialah kembali kepada sistem Islam yang diturun oleh Allah untuk membina kemakmuran, keharmonian dan kebaikan ummah dan negara. Inilah gagasan besar perjuangan menyelamatkan manusia dari kemurkaan Allah. Kerana akhirnya harapan perubahan yang diimpikan oleh seluruh rakyat negara ini benar-benar menjadi kenyataan ke arah pembinaan sebuah masyarakat yang aman, sejahtera, harmoni. Sebuah negara yang pemimpinnya takut kepada Allah untuk melakukan penyelewengan salah guna kuasa. Pemimpin yang mampu menjamin keadilan untuk semua kaum dan agama sebagai rakyat dalam sebuah negara. Pemimpin yang memandu rakyat ke arah pembentukan sebuah negara yang diberkati Allah. Baldatun Tayyibah wa Rabbun Ghafur.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden
18hb September 2015

26/09/2015

Kenyataan 1MDB lebih penting daripada Gabenor Bank Negara

Berita-berita negatif mengenai negara Malaysia terus datang berpusu-pusu sehinggakan Pengerusi CIMB Datuk Nazir Razak melahirkan kebimbangan mengenai masalah kewangan yang sedang dialami negara.

Semalam, Moody Corp’s telah mengeluarkan satu carta perbandingan yang menunjukkan Malaysia dikategorikan di dalam ‘junk’. Negara yang mendapat taraf ‘junk’ adalah negara yang mempunyai jurang terbesar antara penilaian rasmi kreditnya oleh agensi antarabangsa dan apa yang ditunjukkan melalui aktiviti kredit yang sebenarnya.

Dengan berita siasatan terhadap pengaliran dana haram yang dikaitkan dengan 1MDB di seluruh dunia terutamanya laporan Wall Street Journal dan New York Times, hasilnya nilai Ringgit menjunam mencecah RM4.4 kepada 1USD dan menghampiri RM3.1 kepada 1SGD.

Sebelum ini, Gabenor Bank Negara Tan Sri Akhtar Zeti Aziz berkata nilai Ringgit akan pulih sekiranya isu 1MDB dijawab dengan sepenuhnya.

Sedihnya saranan Zeti langsung tidak disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan malah dibiarkan dicemuh oleh 1MDB.

Kebisuan Najib menonjolkan bahawa seluruh Kementerian Kewangan dan beliau tidak dapat bertindak dengan adil kerana Najib masih bertugas selaku Penasihat 1MDB. Bahkan, ia memberikan gambaran yang sangat negatif kepada kewangan negara apabila Menteri Kewangan lebih mempercayai kata-kata satu syarikat yang dinasihati beliau daripada Bank Gabernornya sendiri.

Oleh itu, PAS bertegas bahawa Najib perlu melepaskan jawatan Menteri Kewangan dan penasihat 1MDB dengan serta-merta – supaya kedua-duanya tidak lagi bercampur-aduk dan pihak Kementerian Kewangan dapat mengambil tindakan sewajarnya ekoran nasihat daripada Gabernor Bank Negara.

Apakah Najib bimbang – tanpa beliau sebagai Penasihat 1MDB mahupun Menteri Kewangan, 1MDB tidak mampu bertahan daripada siasatan yang cuba dijalankan pelbagai pihak?

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
25 September 2015

26/09/2015

Jangan persenda "Mencari Redha Allah swt"

1. Fasal ke 5 Perlembagaan PAS dibawah tajuk Tujuan PAS dengan jelas menyebut bahawa tujuan PAS ditubuhkan adalah untuk memperjuangkan agar tegak di bumi tercinta ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana padanya nilai - nilai dan hukum hakam yang menuju keredhaan Allah swt.

2. Ertinya, matlamat akhir perjuangan PAS adalah mencari Redha Allah swt. Tidak ada nilai perjuangan ini tanpa redha Allah swt. Kita tampal poster kerana mencari redha Allah swt. Kita naikkan bendera kerana mengharapkan redha Allah swt. Kita menyampaikan kuliah, ceramah dan sebagainya adalah kerana mendambakan redha Allah swt. Kita berdakwah, berpolitik dan menggerakkan aktiviti tarbiyah semuanya berpaksi kepada redha Allah swt.

3. Kita berjuang untuk menegakkan Islam. Rebah bangun menghadapi segala ancaman dan tentangan. Kita mahu Islam berdaulat. Kita mahu Islam berada ditempat yang sewajarnya. Kita mahu Islam tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Namun perjuangan ini ada kaedahnya, perjuangan ini ada syarat yang perlu dipatuhi agar mendapat redha Allah swt.

4. Segalanya akan menjadi sia - sia bagai debu berterbangan tanpa sebarang manafaat jika gerak juang kita tidak diredhai oleh Allah swt. Kita mahu kemenangan dalam redha Allah swt. Kita tidak mahu kemenangan yang terpisah dari redha Allah swt. Semoga kita termasuk dalam golongan pilihan Allah swt :

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

Dan di antara manusia, ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata dan Allah p**a Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya (yang berjuang dan berkorban hanya kerana mencari redha Allah swt)
Surah Al Baqarah : 207

5. Slogan perjuangan kita yang selayaknya tersemat utuh di dalam dada kita ialah :

الله غايتنا
الرسول قدوتنا
القرآن دستورنا
الجهاد سبيلنا
الموت في سبيل الله أسمى أماننا

(Redha) Allah Matlamat akhir kita
Ar Rasul contoh tauladan kita
Al Quran perlembagaan hidup kita
Al Jihad adalah jalan kita
Mati di jalan Allah setinggi-tinggi cita-cita kita

6. Kita diajar oleh Islam agar memberi infak, menderma dan menyumbang adalah untuk mencari redha Allah swt :

وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.
Surah Al Baqarah : 265

7. Segala amal kebaikan yang kita lakukan juga adalah selayaknya untuk mencari redha Allah swt. Hal demikian itu meletakkan kita berbakti bukan hanya didunia tetapi juga diakhirat.

لَّا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.
Surah An Nisa' : 114

8. Malangnya terdapat sebahagian dari kalangan umat Islam yang jahil dan naif, tanpa rasa bersalah dan segan malu mempersendakan ucapan dan pendirian kita apabila kita menegaskan bahawa perjuangan yang kita dukung ini adalah untuk "mencari redha Allah swt". Malah mereka mula panas belakang, apabila syarat yang kita letak dalam strategi, aktiviti, pendekatan dan gerak aksi kita adalah "mencari redha Allah". Mereka anggap syarat ini menyusahkan mereka dan melambatkan proses mencapai kemenangan.

9. Sebenarnya, redha Allah swt menjadi rahsia umum kenapa perjuangan ini mampu bertahan, meskipun dibelasah dan difitnah tanpa belas simpati oleh musuh Islam dan bonekanya yang tidak mahu melihat Islam berdaulat di bumi bertuah ini.

10. Inilah tunjang utama yang meletakkan kita mampu beristiqamah dengan perjuangan suci ini, biarpun tiada janji manis bersifat duniawi diberikan. Mereka yang memperkecilkan redha Allah swt pastinya mudah meninggalkan perjuangan, patah hati dan kecewa dalam perjuangan terutama apabila kemenangan yang mereka gilakan selama ini gagal dicapai sedang mereka tidak mengharapkan apa - apa dari Allah swt.

Penutup :

إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا

"Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Allah swt kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut".
Surah Al Insan : 10

Sekian.
Beristiqamah Hingga Kemenangan
Oleh : Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tema : FastaqimMatlamat : Pengembelingan kekuatan dan membimbing kekuatan pejuang untuk terus istiqomah mendepani cabara...
25/09/2015

Tema : Fastaqim

Matlamat : Pengembelingan kekuatan dan membimbing kekuatan pejuang untuk terus istiqomah mendepani cabaran dan memuktamadkan kemenangan.

1. Menyemarak semangat perjuangan.
2. Memusatkan pengarahan dan memimpin tindakan
3. Mewujudkan wehdatul fikri dan wehdatul amal.
4. Merapatkan saff dan mengeratkan ukhwah fillah.
5. Persiapan spiritual mental dan mental menghadapi PRU14.

Jom hadir ke

Himpunan Fastaqim - H60K
Tarikh : 17 Oktober 2015 (Sabtu)
Masa : 3 Petang - 12 Tengah Malam
Lokasi : Stadium Sultan Muhammad IV,Kota Bharu,Kelantan Darul Naim.

25/09/2015

Lajnah Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

TINTA ULAMAK (Siri 1)

Khamis 10 Zulhijjah 1436 H / 24 September 2015

Allah berfirman;

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنْكُمْ ۚ
Maksudnya: "Sama sekali Allah tidak dicapai oleh segala daging-daging (sembelihan) begitu juga oleh darah-darahnya (yang ditumpahkan) tetapi Dia dicapai oleh ketaqwaan daripada (diri) kamu." Surah al-Haj: 37.

Sembelihan binatang Korban bukan hanya semata-mata amalan ritual penyembelihan binatang namun lebih jauh ia adalah lambang ketaqwaan seorang hamba yang mengemukakan sesuatu bagi mendapat keredhaan Allah yang mencipta dirinya dan mengurniakan pelbagai nikmat termasuk harta kepada dirinya.

Ikhlaskanlah korban kita pada hari ini demi untuk mencapai Redha Allah juga sebagai tanda syukur kepada-Nya.

Sekian.

Disediakan oleh:
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan DUPP.

25/09/2015

Muslihat alih isu

Mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus memuji perhimpunan baju merah yang berkiblatkan bangsa anjuran Umno pada 16 September yang lalu?
Ini adalah sebahagian daripada taktik menukar padang dan mengalihkan perbualan rakyat secara tidak langsung agar rakyat terus terjerumus dalam kancah perdebatan perkauman yang tidak kesudahan.

Sebagai contoh, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib tidak memberikan respon kepada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan Wall Street Journal sehingga hari ini.

Antara dakwaan WSJ – seperti duit 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun persendirian Najib, kehilangan dua jumlah duit sebanyak USD1.4 bilion dan USD993 juta di dalam transaksi pelaburan 1MDB dengan Abu Dhabi International Petroleum Investment Corporation (IPIC) – tidak pernah dijawab atau diulas Najib. Yang ada hanya suara 1MDB memperlekehkan laporan tanpa menjawabnya secara telus dan terus.

Semua ini adalah taktik supaya rakyat berhenti berbicara mengenai 1MDB mahupun derma RM2.6 bilion. Seeloknya rakyat terus diumpan kenyataan-kenyataan kontroversi bertali arus daripada para pemimpin Umno untuk berdebat mengenai permainan perkauman di perhimpuan baju merah 16 September yang lalu.

Media dinasihatkan juga jangan terperangkap dalam helah ini, dan kurangkan melapor kenyataan-kenyataan sensasi dan umpan daripada para pemimpin Umno mengenai perhimpunan baju merah. Sebaliknya, teruslah fokus pada isu yang melibatkan masalah rakyat.

Berwaspadalah dengan permainan saraf ini.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
19 September 2015

25/09/2015

Keputusan PAS Tepat.

Perjumpaan antara PAS dengan PKR di Pejabat PKR pada September 15 yang lalu langsung tidak dimaklumkan tentang adanya persidangan meja bulat pembangkang.
Persidangan meja bulat pembangkang dimaklumkan kemudian, dan pada awalnya ia diberi gambaran bahawa persidangan itu sekadar sebagai perbincangan isu melibatkan kepentingan rakyat. Namun apa yang berlaku tenyata persidangan itu mempunyai agenda lain.

Di persidangan itu, laporan pelbagai media mendedahkan ada pihak tertentu yang tergesa-gesa mengumumkan kelahiran gabungan baru iaitu Pakatan Harapan. Dakwaan itu lebih terserlah dan seolah-olah dibenarkan melalui pengisytiharan serta-merta kerajaan Pulau Pinang sebagai kerajaan Pakatan Harapan oleh DAP Pulau Pinang.

Tindakan sepantas kilat itu telah menambat persepsi di minda rakyat mengenai siapa sebenarnya perancang utama di dalam pakatan yang baru ini.

Oleh itu, keputusan PAS tidak menyertai persidangan meja bulat pembangkang pada 22 September terbukti tepat.
Apapun, pada waktu ini, PAS sebagai parti pembangkang terbesar, tidak akan terlibat dalam Pakatan Harapan kerana PAS tidak mempunyai hubungan politik dengan DAP dan juga Parti Pekerja @ Amanah.

PAS akan terus mara ke depan bersama Islam dan menguatkan jentera parti bagi menuntut perubahan total bersama rakyat Malaysia untuk merehatkan Umno-BN sebagaimana yang ditegaskan Presiden PAS.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
24 Sept 15

24/09/2015

“Orang Melayu ini kalau bukan PAS, (dia) Umno. (Kalau bukan) Umno, (dia) PAS. Atas pagar tak banyak mana. Kita dah beri lama dah masa pada Umno, 50 tahun lebih. Oleh kerana itu, biarlah orang Umno beri rehat kepada parti dia.

“Beri Umno berehat, tengok PAS memerintah negara ini macam mana. Dengan tokoh-tokoh politik, ekonomi yang ada macam-macam ini, tengok macam mana kita nak memerintah dengan Islam.

“Dan saya nak beritahu orang yang bukan Islam, jangan takut dengan Islam. Kalau orang bukan Islam boleh terima ideologi komunis, yang buat Komunis ini Karl Marx. Karl Marx ini bukan orang Cina, bukan orang India, dia orang Yahudi Jerman."

24/09/2015
24/09/2015

PAS Alu-Alukan Pembatalan Penggantungan Akhbar The Edge

1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengalu-alukan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Asmabi Mohamad yang telah membuat keputusan membatalkan penggantungan penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily kelmarin.

2. Ia sekaligus menjawab tindakan Menteri Dalam Negeri yang telah menggantung permit akhbar berkenaan pada 23 Julai lalu kerana bermotifkan politik dan cubaan untuk menutup penyebaran maklumat mengenai isu-isu berkaitan 1MDB.

3. Sejak dari awal PAS telah mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri yang menggantung permit akhbar berkenaan dan juga menyekat akses ke laman The Sarawak Report. Tindakan tersebut tidak menyelesaikan dakwaan-dakwaan terhadap skandal kewangan 1MDB sebaliknya memburukkan indeks kebebasan akhbar di negara ini.

4. PAS sentiasa menyokong kebebasan akhbar dan ia mesti mengikut piawaian yang betul dari aspek pelaporan berita, integriti kewartawanan dan tidak berpihak kepada kebatilan. Perkara ini penting kerana media merupakan salah satu alat yang membentuk persepsi serta pengetahuan rakyat.

5. Pada masa yang sama, PAS turut mendesak supaya laporan siasatan forensik kewangan 1MDB segera diumumkan kepada rakyat dan tidak terus dibekukan.
Sekian, terima kasih.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Tarikh 8 Zulhijjah 1436 / 22 September 2015

Address


Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Kami Menyokong Kepimpinan Ulama posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

  • Want your organization to be the top-listed government service?

Share