08/05/2026
KENYATAAN MEDIA
ARMADA BERSATU MALAYSIA
Armada Jangka Pilihan Raya Dalam Masa Terdekat, Usaha Memperkukuh Gerak Kerja Dipertingkat
Mesyuarat Biro Politik ARMADA BERSATU Malaysia telah dipengerusikan oleh YB Muhammad Hilman Bin Idham (Ketua ARMADA BERSATU Malaysia) bermula jam 3.30 petang tadi.
Mesyuarat lebih 1 jam tadi membincangkan isu-isu politik semasa di peringkat Nasional dan Negeri-Negeri. ARMADA menjangkakan bahawa Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang akan dilaksanakan dalam waktu yang terdekat mengambilkira hubungan gabungan PH + BN yang makin meruncing di beberapa Negeri.
Mendepani perihal tersebut, ARMADA mengambil ketetapan untuk segera melipatganda usaha mempersiapkan barisan kepimpinan muda dan usaha pembangunan jentera pilihan raya yang lebih efektif dan kompeten.
Sebagai langkah awal, Biro Politik ARMADA telah bersetuju untuk melakukan penyusunan semula Ketua-Ketua ARMADA Peringkat Negeri, membuat 3 lantikan Ahli Jawatankuasa ARMADA Pusat yang baharu untuk mengisi kekosongan Jawatankuasa dan melantik beberapa pemimpin ARMADA ke dalam Biro Politik (Rujuk Lampiran). Mesyuarat juga bersetuju untuk melantik Pemimpin Biro Politik sebagai Penyelaras ARMADA Negeri Pahang dan Negeri Sabah.
Saudara Harris Idaham Rashid
(Ketua Penerangan ARMADA) dilantik sebagai Penyelaras ARMADA Negeri Pahang dan Saudara Nor Zahid Rahim (Bendahari ARMADA) dilantik sebagai Penyelaras ARMADA Negeri Sabah. Barisan kepimpinan yang diperkemaskan ini akan membantu usaha membangunkan jentera yang kuat, efektif dan tersusun khususnya di kawasan-kawasan tumpuan BERSATU.
Selain itu, Biro Politik juga telah membuat ketetapan bahawa Markas Latihan ARMADA tidak lagi akan diadakan secara berpusat, ia akan segera diadakan di negeri-negeri tumpuan bagi urusan mempersiap jentera pilihan raya yang terlatih.
Sebagai sayap pemuda BERSATU, ARMADA bertanggungjawab untuk melahirkan kepimpinan muda yang berintegriti, berketrampilan dan berwibawa. Sementara sedang meneliti potensi 15 kawasan Parlimen dan 32 Kerusi Dewan Undangan Negeri di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang untuk ditandingi oleh calon-calon muda dari BERSATU, ARMADA akan melancarkan ‘Akademi Kepimpinan BERSATU’ untuk mempersiapkan calon-calon muda yang bakal ditampilkan dalam pilihan raya akan datang. Pelaksanaan program ini akan didukung dengan kerjasama Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dan Institut Kajian Dasar (IKD).
HARRIS IDAHAM RASHID
Ketua Penerangan
8 Mei 2026
08/05/2026
KES DNAA ZAHID: KEPUTUSAN MAHKAMAH RAYUAN PULIHKAN HARAPAN RAKYAT TERHADAP SISTEM KEADILAN NEGARA
ARMADA BERSATU Malaysia menyambut baik keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes Yayasan Akalbudi.
Keputusan ini menunjukkan bahawa kuasa Peguam Negara juga tertakluk kepada proses semak dan imbang dalam sistem perundangan negara. Apabila 47 pertuduhan melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihentikan selepas mahkamah mendapati wujudnya kes prima facie membabitkan seorang pemimpin kanan negara, ia menimbulkan persoalan besar terhadap integriti sistem keadilan negara.
Mahkamah Rayuan sendiri telah menyifatkan kes ini sebagai “jarang berlaku dan luar biasa”, sekali gus menunjukkan bahawa isu ini bukan perkara kecil atau remeh. Ia melibatkan kepentingan awam dan mempunyai implikasi yang amat besar terhadap keyakinan rakyat kepada institusi undang-undang negara.
Jika benar keputusan DNAA tersebut dibuat berdasarkan fakta dan pertimbangan undang-undang yang kukuh, maka kerajaan dan pihak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak seharusnya takut terhadap proses semakan kehakiman ini. Rakyat berhak mengetahui rasional sebenar di sebalik keputusan yang dibuat oleh pihak pendakwaan.
Malaysia tidak boleh membiarkan persepsi bahawa DNAA digunakan secara berbeza mengikut golongan tertentu. Dalam keadaan rakyat biasa dihukum atas setiap kesalahan kecil, pemimpin tertinggi kerajaan p**a dilihat menerima layanan berbeza dalam kes yang melibatkan jutaan ringgit. Persepsi sebegini amat berbahaya kerana ia menghakis keyakinan rakyat terhadap prinsip keadilan dan kesaksamaan di sisi undang-undang.
Sehubungan itu, ARMADA BERSATU Malaysia mendesak agar Jabatan Peguam Negara tidak membuang masa dan wang rakyat dengan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan ini. Biarlah proses perundangan kes ini berjalan supaya kebenaran dapat ditegakkan.
Na’im Brundage
Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu
EXCO ARMADA BERSATU MALAYSIA
08 Mei 2026
26/04/2026
BERSEJARAH - Penerbitan sulung akhbar Suara Kebangsaan oleh ARMADA BERSATU Malaysia sempena Konvensyen BERSATU Selangor siang tadi. Usaha yang diilhamkan oleh kepimpinan ARMADA penggal ini telah berjaya direalisasikan demi memperkukuh kesatuan dan merancakkan semangat juang ahli BERSATU di seluruh negara. Semoga ARMADA terus menjadi pelopor naratif BERSATU dan Perikatan Nasional.
16/04/2026
Jangan lupa datang ke Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU di Melaka.
Turut bersama YB Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pimpinan BERSATU.
📍 Laman Dato’ Mustapa Ton, Pantai Puteri, Melaka
🗓 17 April 2026, Jumaat
🕖 Bermula 7.00 malam
Pelbagai juadah disediakan, suasana meriah bersama pimpinan dan masyarakat.
Bawa keluarga, kawan-kawan… kita jumpa di sana!
03/04/2026
ARMADA AKAN MENYERTAI HIMPUNAN BANTAH HARGA MINYAK “RAKYAT MENENTANG”
1. ARMADA BERSATU Malaysia mengikuti perkembangan kenaikan harga minyak khususnya Diesel RM6.02 per liter dan RON 95 RM3.87/liter tanpa Budi95. Bulan April merupakan bulan pertama pengguna kenderaan bermotor harus memikul beban kekurangan 1/3 subsidi Budi 95 dan kenaikan harga diesel yang mendadak.
2. Tinjauan menunjukan bahawa ramai pemilik kenderaan pacuan 4 roda yang menggunakan diesel terpaksa untuk menyimpan kenderaan tersebut kerana kos operasi telah mengatasi kemampuan. Perniagaan yang terpaksa menggunakan kenderaan “Heavy Duty” untuk tujuan logistik juga terpaksa menaikan harga barang untuk menampung kos operasi.
3. Tatkala memahami faktor ekonomi global akibat peperangan, ARMADA juga merasakan bahawa kenaikan ini telah menjejaskan ramai pengguna dan peniaga kecil & sederhana. Intervensi tangkas harus diperkenalkan kerana ini adalah waktu “unprecedented”.
4. ARMADA ingin mengajak rakyat Malaysia yang prihatin & cakna untuk hadir sama dalam Himpunan Bantah Harga Minyak “Rakyat Menentang” yang dijadualkan pada 5 APRIL 2026 (AHAD) 3 Petang di hadapan SOGO KL.
HARRIS IDAHAM RASHID
KETUA PENERANGAN ARMADA BERSATU MALAYSIA
26/03/2026
KENAIKAN HARGA MINYAK: KERAJAAN HARUS BERI PENJELASAN DAN BERTANGGUNGJAWAB
ARMADA BERSATU Malaysia memandang serius kenaikan harga minyak yang diumumkan Kerajaan berkuatkuasa hari ini, 26 Mac 2026. Kenaikan ini bukan sekadar pelarasan angka, tetapi satu tekanan baharu yang akan terus menghimpit kehidupan harian rakyat.
Hakikatnya, setiap kenaikan harga minyak akan memberi kesan rantaian kepada kos sara hidup — daripada harga makanan, pengangkutan, sehinggalah kepada barangan keperluan asas. Situasi ini juga bakal memacu inflasi yang tinggi sekaligus menekan kuasa beli rakyat. Kesannya, golongan B40 dan M40 yang masih bergelut dengan tekanan ekonomi pasca pandemik kini sekali lagi dipaksa menanggung beban yang semakin berat.
Namun, apa yang lebih mengecewakan, setelah pelbagai janji dan hujah Perdana Menteri khususnya berhubung desakan untuk Kerajaan sebelum ini menurunkan harga minyak, Kerajaan Madani sendiri gagal memberi penjelasan yang telus dan meyakinkan berhubung rasional kenaikan ini.
Apakah kenaikan ini semata-mata akibat daripada konflik yang berlaku di Asia Barat ? Bukankah kenaikan harga minyak dunia turut meningkatkan pendapatan negara khususnya menerusi Petronas ? Apakah unjuran pendapatan Petronas sekiranya konflik di Asia Barat berterusan ?
Kerajaan tidak boleh mengharapkan rakyat untuk terus berkorban tanpa memberikan gambaran jelas tentang hala tuju dasar subsidi serta langkah perlindungan yang konkrit.
Rakyat juga bimbang dengan beberapa laporan media yang mendedahkan kuota subsidi RON95 untuk rakyat bakal di kurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter. Jika laporan ini benar-benar berlaku, ianya merupakan satu malapetaka buat rakyat.
Selain itu, Kerajaan harus menyediakan pelan yang konstruktif bagi mengawal dan menstabilkan harga diesel yang memberi kesan langsung terhadap rantaian bekalan dan logistik.
Persoalannya, apakah semua ruang penjimatan dalam pengurusan kewangan negara telah diteroka sepenuhnya ? Mengapa rakyat perlu dibebankan terlebih dahulu, sedangkan isu ketirisan dan pembaziran masih belum ditangani secara menyeluruh?
Jelas, pelarasan harga minyak yang berkuatkuasa hari ini membuktikan Kerajaan Madani gagal. Kerajaan harus tampil beri penjelasan segera dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya.
MUHAMMAD HILMAN IDHAM
11/03/2026
🌙 MALAM KEROHANIAN & KESATUAN UMMAH 🌙
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh buat seluruh pejuang dan ahli keluarga besar BERSATU serta umat Islam di Malaysia yang dikasihi.
Sempena menghayati keberkatan 10 malam terakhir Ramadan, kami menjemput anda semua untuk bersama-sama dalam majlis Bacaan Yasin, Tahlil & Doa Selamat Perdana. Inilah masanya untuk kita merapatkan saf, memohon pertolongan daripada Allah SWT demi kesejahteraan agama, bangsa, dan tanah air.
Di majlis ini:
1) Kita memohon perlindungan dan keberkatan buat seluruh umat Islam khususnya di Malaysia.
2) Mendoakan keutuhan dan kelangsungan perjuangan parti BERSATU agar terus relevan membela rakyat.
3) Secara khusus, mari kita panjatkan doa agar segala urusan mahkamah melibatkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipermudahkan, diberikan keadilan yang hakiki, dan kemenangan yang berpihak kepada kebenaran.
Butiran majlis seperti berikut:
🗓 Tarikh: 12 Mac 2026 (Khamis)
🕙 Masa: 10:00 Malam
🎙 Dipimpin Oleh: Al-Fadhil Ustaz Khairul Musa
📍 Penyertaan: Sila imbas Kod QR pada poster untuk penyertaan atau klik pautan berikut:
https://meet.google.com/hfc-ipdc-yqd
"Sesungguhnya doa itu adalah senjata bagi orang mukmin."
Mari kita satukan hati dan suara. Semoga titisan doa kita malam ini menjadi asbab turunnya rahmat dan kemenangan buat perjuangan kita semua. 🤲
01/02/2026
MESYUARAT AHLI JAWATANKUASA ARMADA PUSAT BIL 1/2026
Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham telah mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa ARMADA Pusat Bil 1/2026 yang berlangsung di Ibu Pejabat BERSATU pada 30 Januari 2026 yang lalu.
Mesyuarat kali ini menumpukan fokus kepada pemerkasaan pengurusan ARMADA di setiap peringkat bagi memastikan kelancaran gerak kerja pentadbiran organisasi.
Selain itu, barisan kepimpinan turut memperhalusi strategi bagi persiapan pilihan raya akan datang serta membincangkan isu-isu semasa yang memberi kesan langsung kepada rakyat dan negara.
ARMADA komited untuk terus menjadi barisan hadapan perjuangan parti demi agama, bangsa, dan tanah air.
13/11/2025
Laungan “Era Baru Bongawan” bergema malam tadi!
Kepimpinan Pemuda Perikatan Nasional bersama rakyat Bongawan bersatu menuntut perubahan demi masa depan yang lebih cerah.
Perikatan Nasional bertekad untuk membawa aspirasi rakyat Bongawan ke arah Era Baru!
13/11/2025
Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Pemuda Perikatan Nasional turun ke Bongawan, menyemarakkan semangat anak muda menuju Era Baru Bongawan!
12/11/2025
ARMADA BERSATU Malaysia ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon-calon ARMADA yang akan mewakili Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Sabah:
- Ridzuan Firdaus (N.30 Bongawan)
- Mohammad Hisyam Hazaril bin Mohd Azman (N.32 Klias)
- Mohd Zulkernain bin Osman (N.13 Pantai Dalit)
Semoga anak-anak muda yang berani bersuara dan memperjuangkan nasib rakyat ini mendapat sokongan padu daripada rakyat Sabah.