01/10/2026
JAKIM KAHERAH MEMPROMOSIKAN PEMERKASAAN SYARIAH DAN INTEGRITI DI PENTAS FORUM HALAL TUNISIA
Selasa
29 September 2026
2.30 Petang
Pejabat Atase Agama Kaherah buat julung-julung kalinya telah diberi penghormatan untuk menyertai Forum Halal Tunisia 2026, atas jemputan Kementerian Perdagangan dan Pembangunan Eksport Republik Tunisia, sekali gus membuka ruang baharu dalam memperkukuh kerjasama dan diplomasi halal antara Malaysia dan Tunisia.
Forum yang merupakan antara inisiatif sulung dalam mempertemukan pemain industri, badan pensijilan, agensi kerajaan serta delegasi antarabangsa dalam ekosistem halal Tunisia ini diterajui oleh FIBGN Global Business Network dengan kerjasama Export Promotion Center of Tunisia (CEPEX) dan Tunisian National Institute for Standardization and Industrial Property (INNORPI), yang juga merupakan badan pensijilan halal antarabangsa di Tunisia yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Dalam forum tersebut, Pejabat Atase Agama Kaherah telah diberi ruang untuk menyampaikan sesi perkongsian mengenai pemerkasaan ekosistem halal antarabangsa menerusi tema “Shariah and Integrity: Empowering the Global Halal Ecosystem”.
Pemilihan tema ini selari dengan mesej strategik yang diketengahkan oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM, dalam intipati ucapan beliau semasa sesi pembukaan Global Halal Summit (GHaS) 2026 di Putrajaya baru-baru ini, khususnya mengenai kepentingan memperkukuh asas syariah, integriti, keyakinan dan tadbir urus dalam membangunkan ekosistem halal yang berdaya saing di peringkat global.
Turut menyerikan pentas forum ialah TYT Datuk Rizany Irwan Muhamad Mazlan, Duta Besar Malaysia ke Algeria yang ditauliahkan serentak ke Republik Tunisia, yang telah menyampaikan ucapan pembukaan dalam sesi “Plenary Session with Delegations”. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh hubungan dua hala serta membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik, khususnya dalam bidang halal, perdagangan dan pembangunan ekonomi antara Malaysia dan Tunisia.
Pejabat Atase Agama Kaherah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Matrade Cairo, khususnya Encik Mohd Khairy Maidin, Pesuruhjaya Perdagangan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, atas penyelarasan, komitmen dan usaha berterusan dalam menjayakan kerjasama antara dua negara sahabat, Malaysia dan Tunisia, khususnya dalam memperkukuh diplomasi halal dan peluang kerjasama perdagangan halal di peringkat antarabangsa.
YAKINI HALAL MALAYSIA!