09/04/2026
MALAYSIA MENGHARGAI LEGASI DIPLOMASI REPUBLIK KAZAKHSTAN DALAM MEMPERKUKUH HUBUNGAN ASIA TENGAH-TIMUR TENGAH
Khamis
9 April 2026
11.00 Pagi
Mewakili TYT Duta Besar Malaysia Ke Republik Arab Mesir, Pejabat Atase Agama Kaherah diberi penghormatan menghadiri majlis pelancaran buku "The Middle East in The International Relation/ الشرق الأوسط في منظومة العلاقة الدولية , karangan Allahyarham Late Ambassador Askar Musinov, Mantan Duta Besar Republik Kazakhstan ke Republik Arab Mesir.
Majlis yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Republik Kazakhstan di Mesir ini diadakan sempena memperingati serta menghargai jasa Allahyarham Late Amb. Musinov, yang telah memainkan peranan strategik dalam membina serta memperkukuh hubungan diplomatik antara negara-negara Asia Tengah dan negara-negara Arab di rantau Timur Tengah.
Dalam majlis yang sama, pihak penganjur turut meraikan kehadiran seluruh ahli keluarga Allahyarham sebagai tanda penghormatan atas sumbangan dan legasi yang ditinggalkan. Menurut anak kedua beliau, Al-Sultan Musinov yang kini berkhidmat sebagai diplomat muda di Kementerian Luar Negeri Kazakhstan, Allahyarham merupakan seorang tokoh yang berwibawa, berprinsip, serta sentiasa mengutamakan pendekatan diplomasi dalam setiap rundingan. Hal ini amat terserlah terutamanya dalam penglibatan beliau menangani isu-isu berkaitan negara-negara Asia Barat yang dilanda konflik peperangan sekitar dekad 1990-an hingga awal milenium.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran tokoh-tokoh terkemuka, antaranya H.E. Ambassador Amru Musa, mantan Menteri Luar Mesir, selain para perwakilan diplomatik di Kaherah, ahli akademik, serta pakar dalam bidang geopolitik dari seluruh Mesir. Kehadiran mereka mencerminkan penghargaan tinggi terhadap sumbangan Allahyarham dalam arena diplomasi antarabangsa.
Secara keseluruhannya, majlis ini bukan sahaja menjadi wadah memperingati jasa seorang tokoh diplomatik yang disegani, malah turut mengukuhkan lagi semangat kerjasama dan persefahaman antara negara. Legasi Allahyarham Late Amb. Askar Musinov diharapkan akan terus menjadi inspirasi kepada generasi diplomat akan datang dalam memperjuangkan keamanan, kestabilan dan hubungan antarabangsa yang lebih harmoni.
08/04/2026
JAKIM–AL-AZHAR SENADA MEMPERKASA PENGKADERAN PEGAWAI HAL EHWAL ISLAM KOMPETEN BERLANDASKAN PRINSIP KESEDERHANAAN
Isnin
6 April 2026
10.00 Pagi
Pejabat Atase Agama Kaherah telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Prof. Dr. Hasan Solah As Soghir, Pengarah Akademi Al-Azhar Antarabangsa di pejabat beliau.
Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak Al-Azhar khususnya dalam aspek pembangunan kapasiti sumber manusia serta pengkaderan Pegawai Hal Ehwal Islam yang berwibawa, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan berhubung keperluan melahirkan pegawai yang bukan sahaja kompeten dari sudut ilmu dan kemahiran, malah menghayati pendekatan kesederhanaan (wasatiyyah) dalam penyampaian perkhidmatan serta dakwah, selaras dengan tuntutan semasa dan cabaran global.
Selain itu, perbincangan turut memfokuskan potensi kerjasama dalam penganjuran program latihan, kursus profesional serta penyertaan pegawai JAKIM dalam program anjuran Akademi Al-Azhar Antarabangsa bagi memperkukuh kefahaman serta pendedahan kepada pendekatan keilmuan Islam yang bersifat sederhana, inklusif dan berautoriti.
Pejabat Atase Agama Kaherah juga telah menyampaikan surat penghargaan daripada pihak Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM sebagai tanda pengiktirafan terhadap komitmen berterusan pihak Al-Azhar dalam memperkasa jaringan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.
Secara keseluruhannya, pertemuan ini mencerminkan kesepakatan erat antara JAKIM dan Al-Azhar dalam usaha melahirkan Pegawai Hal Ehwal Islam yang holistik, berintegriti serta mampu menggalas tanggungjawab dalam menyampaikan perkhidmatan dan dakwah secara berhemah, sederhana dan berkesan.
Pejabat Atase Agama Kaherah yakin bahawa jalinan kerjasama ini akan terus diperkukuh demi manfaat bersama, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ummah yang lebih seimbang, progresif dan berdaya tahan.
01/04/2026
𝙃𝙀𝘽𝘼𝙃𝘼𝙉 𝙏𝘼𝙒𝘼𝙍𝘼𝙉 𝙎𝙆𝙄𝙈 𝙋𝙀𝙈𝘽𝙄𝘼𝙔𝘼𝘼𝙉 𝙃𝙐𝙁𝙁𝘼𝙕 (𝙎𝙋𝙃) 𝙅𝘼𝙆𝙄𝙈 𝙏𝘼𝙃𝙐𝙉 𝟮𝟬𝟮𝟲
JAKIM mempelawa calon-calon yang berkelayakan untuk memohon Skim Pembiayaan Huffaz (SPH) JAKIM Tahun 2026 .
Permohonan SPH JAKIM Tahun 2026 telah dibuka bermula 𝟭 𝗵𝗶𝗻𝗴𝗴𝗮 𝟭𝟰 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 𝟮𝟬𝟮𝟲. Syarat-syarat dan permohonan boleh dirujuk di portal https://sph.islam.gov.my/.
01/04/2026
MAJLIS RESEPSI "ASEAN NETWORKING 2026" DIHOSKAN OLEH KEDUTAAN BESAR MALAYSIA KAHERAH
Isnin
30 Mac 2026
Cairo Marriott Hotel, Zamalek Cairo
Turut hadir menyampaikan ucaptama, H.E. Ambassador Amr Hamza, Assistant Foreign Minister for Asian Affairs, Kementerian Luar Negeri Republik Arab Mesir.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran para Duta Besar serta perwakilan negara-negara ASEAN di Kaherah, mencerminkan hubungan erat dan kerjasama serantau yang terus diperkukuh.
18/03/2026
GEMA ALUNAN AYAT SUCI AL-QURAN AL-KARIM OLEH WARGA KEDUTAAN BESAR MALAYSIA
Isnin
9 Mac 2025
4.30 Petang
Menghayati peristiwa Nuzul Al-Quran pada tahun ini, 1447H/2026M, Pejabat Atase Agama Kaherah telah turut serta menjayakan Majlis Tadarus Al-Quran secara berjemaah bersama warga Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dalam suasana yang penuh penghayatan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran TYT Dato’ Mohd Tarid Sufian, Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir, yang telah memimpin bacaan penghayatan Surah Al-Mulk sebagai surah pilihan untuk ditekuni bersama.
Majlis selanjutnya diteruskan dengan bacaan tahlil ringkas yang dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Hafizi Abd Kadir, Atase Pendidikan Negeri Melaka sebelum disusuli dengan majlis iftar perdana dan solat taraweh.
Program seumpama ini bukan sahaja menyemarakkan penghayatan terhadap kalamullah, bahkan menjadi wadah penting dalam memperkukuh penerapan nilai-nilai Islam dalam kalangan penjawat awam Malaysia yang berkhidmat di luar negara. Usaha ini selari dengan aspirasi untuk melahirkan penjawat awam yang berintegriti, berakhlak mulia serta sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam pelaksanaan tugas dan kehidupan seharian.
18/03/2026
"TEASER..."
The Making of Takbir Raya Aidilfitri KBMK 1447H/2026M
18/03/2026
TAWARAN SKIM PEMBIAYAAN HUFFAZ (SPH) JAKIM TAHUN 2026
12/03/2026
PENERIMA SPH JAKIM UNGGULI MAJLIS HAFAZAN AL-QURAN MAHASISWA MALAYSIA DI MESIR
Khamis
12 Mac 2026
4.30 Petang
Pejabat Atase Agama Kaherah merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Saudara Adam Firdaus Mohamed Bari dan Saudari Mufidah Mastor, masing-masing merupakan penerima Skim Pembiayaan Huffaz (SPH) JAKIM, yang telah berjaya merangkul kedudukan Johan dan Naib Johan dalam Majlis Hafazan Al-Quran 1447H/2026M.
Program berprestij yang mengumpulkan seluruh mahasiswa Malaysia di Mesir ini dianjurkan oleh Majlis Perundingan Mahasiswa Malaysia Mesir (MP3M) – Education Malaysia Egypt bersempena sambutan Nuzul Al-Quran serta program Ihya’ Ramadan pada tahun ini.
Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan, malah mencerminkan kesungguhan, disiplin serta kebolehupayaan para huffaz di bawah tajaan SPH JAKIM dalam memartabatkan penguasaan dan penghayatan Al-Quran di pentas mahasiswa antarabangsa. Semoga pencapaian ini terus menjadi inspirasi kepada mahasiswa Malaysia yang lain untuk menelusuri jalan kecemerlangan ilmu dan Al-Quran, selaras dengan aspirasi MADANI bagi melahirkan generasi huffaz profesional yang berdaya saing dan berwibawa di peringkat global.