15/12/2025
DEY TAMBI KETUA PEMUDA MIC
Kami memandang serius dan kesal terhadap kenyataan Pemuda MIC yang menuduh Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai “mabuk kuasa” seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita hari ini.
Kenyataan sedemikian adalah tidak beradab, bersifat emosi dan langsung tidak mencerminkan kematangan politik, apatah lagi datang daripada sebuah sayap pemuda parti yang telah lama menjadi sebahagian daripada keluarga besar Barisan Nasional.
Hakikatnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya menegaskan prinsip asas dalam mana-mana gabungan politik, iaitu setiap keputusan besar perlu dibuat secara rasmi, berdisiplin dan melalui saluran yang betul. Menyatakan bahawa Barisan Nasional belum menerima sebarang keputusan rasmi daripada MIC bukan satu bentuk ugutan, sebaliknya adalah fakta dan tanggungjawab kepimpinan.
Menuduh seseorang pemimpin sebagai “mabuk kuasa” tanpa hujah yang kukuh adalah cubaan mengalih perhatian daripada isu sebenar, iaitu kegagalan kepimpinan MIC sendiri untuk membuat pendirian yang jelas dan konsisten. Jika MIC benar-benar yakin dengan keputusan mereka, maka nyatakan secara rasmi, bukan melalui retorik dan serangan peribadi.
Perlu diingat, Barisan Nasional bukan dibina atas emosi dan ugutan media, tetapi atas rundingan, hormat-menghormati dan disiplin bersama. Menggunakan bahasa keras dan menghina hanya akan merosakkan hubungan yang telah dibina sejak puluhan tahun dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kematangan politik parti-parti komponen.
Kami menyeru Pemuda MIC agar kembali kepada landasan perbincangan yang matang dan berhemah, menghormati kepimpinan gabungan, serta menyelesaikan perbezaan pandangan melalui saluran dalaman, bukan melalui kenyataan terbuka yang hanya menguntungkan pihak lawan politik.
Barisan Nasional kekal terbuka kepada perbincangan, tetapi tidak akan tunduk kepada tekanan, provokasi atau politik emosi.
MOHD SAFWAN JAAFAR
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Kedah