SPRM Kedah

Call Directions Website Contact the organization

SPRM Kedah No Siri SPRM Kedah : 2019/FB/KED/13

MAHASISWA GURU PEMANGKIN BUDAYA INTEGRITI DAN ANTIRASUAHSUNGAI PETANI, 15 September 2026 — Mahasiswa guru perlu menjadik...
15/09/2026

MAHASISWA GURU PEMANGKIN BUDAYA INTEGRITI DAN ANTIRASUAH

SUNGAI PETANI, 15 September 2026 — Mahasiswa guru perlu menjadikan integriti sebagai pegangan dalam kehidupan bagi membentuk generasi yang beramanah dan menolak rasuah.

Mesej itu menjadi penekanan dalam Seminar Integriti dan Pemantapan Sahsiah Mahasiswa Guru 2026 yang berlangsung di Auditorium Al-Farabi, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH), di sini, hari ini.

Program anjuran Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) IPGKSAH dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah itu bertujuan memperkukuh jati diri, sahsiah dan kesedaran antirasuah dalam kalangan bakal pendidik.

Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Negeri Kedah, P/PsK Suekarni binti Mohamed Hashim, berkata integriti tidak seharusnya dilihat sebagai pengetahuan semata-mata, sebaliknya perlu dibentuk, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

Menurut beliau, penghayatan nilai itu penting kerana mahasiswa guru bakal memikul tanggungjawab membentuk pemikiran, sahsiah dan nilai generasi akan datang.

“Usaha membanteras rasuah tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja. Ia perlu bermula dengan diri sendiri melalui kejujuran, amanah, keberanian menolak salah laku dan kesediaan untuk menjadi contoh yang baik kepada orang lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Penutup Seminar Integriti dan Pemantapan Sahsiah Mahasiswa Guru 2026.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada AMAR IPGKSAH dan SPRM Negeri Kedah atas penganjuran program berkenaan sebagai platform memperkukuh pendidikan antirasuah serta pembentukan sahsiah bakal pendidik.

Terdahulu, program dimulakan dengan Ceramah Integriti dan Antirasuah yang disampaikan oleh Pegawai SPRM Negeri Kedah, PKPs Hanizal bin Mazni, menerusi dua pengisian utama, iaitu “Integriti Guru: Pemacu Negara Bebas Rasuah” dan “Mahasiswa Guru Pemangkin Perubahan”.

Pengisian itu memberi pendedahan tentang kepentingan menjadikan integriti sebagai prinsip dalam kehidupan serta menekankan bahawa usaha memerangi rasuah perlu bermula daripada diri sendiri.

Turut hadir ialah Ketua Unit Pembangunan Insaniah, Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPGKSAH, Dr Shahrizad binti Shahabudin.

Kerjasama antara IPGKSAH dengan SPRM Negeri Kedah menerusi seminar itu diharap dapat melahirkan mahasiswa guru yang cemerlang dalam akademik, teguh berpegang pada nilai amanah dan berani menolak rasuah, seterusnya menjadi teladan kepada generasi akan datang.

🇲🇾 SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA 2026! 🇲🇾Ayuh kita semarakkan semangat perpaduan, cintakan tanah air dan bersama-sama ...
15/09/2026

🇲🇾 SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA 2026! 🇲🇾

Ayuh kita semarakkan semangat perpaduan, cintakan tanah air dan bersama-sama membina Malaysia yang harmoni, sejahtera serta bebas daripada rasuah.

Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati
Daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah.

📢 AYUH BERSAMA MEMBUDAYAKAN INTEGRITI 🇲🇾✨Integriti bukan sekadar kata-kata, tetapi nilai yang perlu disemai, dihayati da...
14/09/2026

📢 AYUH BERSAMA MEMBUDAYAKAN INTEGRITI 🇲🇾✨

Integriti bukan sekadar kata-kata, tetapi nilai yang perlu disemai, dihayati dan diamalkan dalam setiap langkah kehidupan. Sehubungan itu, Seminar Integriti dan Pemantapan Sahsiah Mahasiswa Guru dianjurkan sebagai wadah untuk memperkukuh jati diri, membina sahsiah unggul serta menyemarakkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa guru agar sentiasa menjunjung amanah, kejujuran dan integriti.

🤝 Kerjasama strategik antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah dan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH) ini menjadi satu langkah penting dalam melahirkan bakal guru yang bukan sahaja berilmu, malah berprinsip, berintegriti dan berani menolak segala bentuk rasuah serta salah laku.

📅 15 September 2026 (Selasa)
⏰ 9.00 pagi
📍 Auditorium Al-Farabi, IPGKSAH

🌟 Guru berintegriti, masyarakat berkualiti.
🔥 Berani dan radikal perangi rasuah!
💪 Teguh dengan prinsip, kukuh dengan integriti, demi masa depan generasi yang lebih bersih dan bermaruah.

Ayuh kita bersama-sama membina budaya integriti dan melahirkan generasi guru yang menjadi contoh, pemimpin masa hadapan serta benteng dalam memerangi rasuah 🇲🇾

SATU JALUR GEMILANG, SATU INTEGRITI” SEMARAK JIWA KOMUNITI MADANIALOR SETAR, 10 September 2026 — Semangat patriotisme da...
10/09/2026

SATU JALUR GEMILANG, SATU INTEGRITI” SEMARAK JIWA KOMUNITI MADANI

ALOR SETAR, 10 September 2026 — Semangat patriotisme dan pembudayaan integriti menjadi teras Program Jiwa@ Sembang Santai Komuniti MADANI Seberang Perak bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah yang berlangsung di Dewan Aspirasi SPRM, Bangunan Persekutuan Alor Setar.

Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kota Setar, Jabatan Penerangan Malaysia ini menghimpunkan agensi kerajaan dan komuniti bagi memperkukuh penghayatan nilai integriti, menyemarakkan semangat kebangsaan serta meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab bersama dalam mencegah rasuah. Program seumpama ini turut dilaksanakan oleh SPRM Cawangan Sungai Petani dan SPRM Cawangan Langkawi dengan penglibatan komuniti setempat.

Antara pengisian utama ialah Walkabout/Jelajah Merdeka & Integriti dari Bangunan Persekutuan Alor Setar (BPAS) ke Pasar Tani, Star Parade. Sambil membawa Jalur Gemilang, para peserta berinteraksi dengan orang awam untuk menyampaikan mesej patriotisme, integriti dan kepentingan menolak amalan rasuah. Bahan informasi berkaitan pencegahan rasuah turut diedarkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

Sesi rasmi program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Puan Suraya binti Baharudin, Pegawai Penerangan Daerah Kota Setar, yang menekankan peranan masyarakat dalam membentuk komuniti berintegriti, bertanggungjawab dan berjiwa patriotik.

Ucapan perasmian p**a disampaikan oleh KPKPj Ahmad Shukri bin Mohamad Taib, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Negeri Kedah. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa usaha mencegah rasuah dan membudayakan integriti merupakan tanggungjawab bersama kerajaan dan masyarakat.

Kemuncak program ialah gimik “Satu Jalur Gemilang, Satu Integriti” yang menyaksikan para hadirin mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol penyatuan semangat patriotisme dan nilai integriti. Pengisian ini membawa mesej bahawa kecintaan terhadap negara perlu diterjemahkan melalui amalan amanah, telus, beretika dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.

Kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia, Komuniti MADANI Seberang Perak serta SPRM Negeri Kedah dan cawangannya membuka ruang interaksi yang santai dan mesra antara agensi kerajaan dengan masyarakat. Usaha ini mencerminkan komitmen bersama untuk membina komuniti MADANI yang bersatu padu, berintegriti dan menolak rasuah.

🏔️ RAHSIA DI SEBALIK LANGKAH MENAKLUK PUNCAKSetiap puncak mempunyai ceritanya tersendiri. Begitu juga pengalaman P/PSK S...
10/09/2026

🏔️ RAHSIA DI SEBALIK LANGKAH MENAKLUK PUNCAK

Setiap puncak mempunyai ceritanya tersendiri. Begitu juga pengalaman P/PSK Suekarni Mohamed Hashim, Ketua Unit Penmas SPRM Kedah, ketika menakluk Gunung Kinabalu.

Di sebalik kejayaan sampai ke puncak, ada cabaran, penat lelah dan semangat untuk terus melangkah. Setiap langkah mengajar erti ketabahan dan keberanian untuk tidak mudah berputus asa.

Kisah pengalaman beliau ini dikongsikan menerusi MACC360 Edisi 5 Tahun 2026.

Jom baca dan hayati kisah di sebalik langkah menakluk puncak! 🏔️💪

MAIK PERKASA INTEGRITI MELALUI IKRAR BEBAS RASUAH 2.0ALOR SETAR, 3 September 2026 — Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAI...
03/09/2026

MAIK PERKASA INTEGRITI MELALUI IKRAR BEBAS RASUAH 2.0

ALOR SETAR, 3 September 2026 — Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) terus memperkukuh usaha membudayakan integriti, amanah dan tadbir urus yang baik menerusi pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) 2.0 dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah, hari ini.

Program yang berlangsung di Dewan Masjid Sultanah Bahiyah itu menghimpunkan warga MAIK sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya rasuah serta memupuk integriti, amanah dan rasa tanggungjawab dalam melaksanakan tugas.

Program dimulakan dengan ceramah antirasuah oleh Penolong Penguasa Mohd Azfar bin Johari dari SPRM Negeri Kedah. Ceramah tersebut menekankan kepentingan membudayakan amalan berintegriti, menghindari salah laku dan menolak sebarang bentuk rasuah dalam pelaksanaan tugas serta urusan organisasi.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dato’ Hj Mohd Yusri bin Hj Md Daud. Beliau menegaskan bahawa integriti dan amanah merupakan asas penting bagi memastikan setiap tanggungjawab dilaksanakan dengan jujur dan profesional. Beliau turut menekankan keperluan memperkasa tadbir urus organisasi supaya perkhidmatan kepada masyarakat dapat disampaikan secara berkualiti, telus dan berkesan.

Dalam ucapan perasmiannya, Penolong Pesuruhjaya Syed Aswadi bin Syed Soffian, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Negeri Kedah, menegaskan bahawa usaha membanteras rasuah memerlukan komitmen dan kesedaran berterusan daripada seluruh warga organisasi. Beliau turut menggariskan kepentingan mewujudkan persekitaran kerja berteraskan integriti, ketelusan dan akauntabiliti bagi memastikan organisasi bebas daripada salah laku.

Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj Ikrar Bebas Rasuah daripada SPRM yang mengetengahkan mesej serta kepentingan IBR sebagai manifestasi kesediaan warga organisasi untuk menolak rasuah dan menjunjung integriti dalam melaksanakan amanah.

Kemuncak program menyaksikan lafaz Ikrar Bebas Rasuah dipimpin oleh Dato’ Hj Mohd Yusri bin Hj Md Daud dan diikuti oleh seluruh warga MAIK. Lafaz tersebut melambangkan kesungguhan serta tekad bersama untuk menjauhi rasuah, memelihara integriti dan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi menandatangani Aku Janji Ikrar Bebas Rasuah sebagai simbol komitmen warga MAIK untuk bersama-sama menolak rasuah serta membentuk budaya kerja yang telus, berintegriti, profesional dan bertanggungjawab.

Program diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada semua pihak yang terlibat sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan IBR 2.0.

Pelaksanaan IBR 2.0 diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga MAIK tentang bahaya serta implikasi rasuah, di samping memperkukuh budaya kerja berintegriti dan amalan tadbir urus yang baik dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Inisiatif ini mencerminkan kesungguhan MAIK dan SPRM Negeri Kedah dalam memperkasa pencegahan rasuah melalui penerapan integriti, amanah, ketelusan dan akauntabiliti, sekali gus menyokong pembentukan organisasi yang berwibawa, dipercayai dan bebas daripada rasuah.

🇲🇾 SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN KE-69! 🇲🇾Semoga semangat patriotisme terus mekar dalam diri setiap rakyat Malaysia....
30/08/2026

🇲🇾 SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN KE-69! 🇲🇾

Semoga semangat patriotisme terus mekar dalam diri setiap rakyat Malaysia. Marilah kita bersama-sama menghargai kemerdekaan, memperkukuh perpaduan dan membina sebuah negara yang aman, makmur serta berintegriti.

Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati
Bersama kita jaga Malaysia, bersama kita bina masa depan.

🇲🇾 Selamat Hari Kebangsaan 2026!
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Daripada:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepadaYBhg. Datuk Seri Abd. Halim bin AmanKetua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pen...
25/08/2026

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada

YBhg. Datuk Seri Abd. Halim bin Aman
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

atas pengurniaan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-77 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2026.

SPRM Negeri Kedah merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan atas pengiktirafan yang amat bermakna ini. Semoga penganugerahan tersebut menjadi pemangkin untuk terus menerajui SPRM dengan penuh integriti, dedikasi dan kecemerlangan dalam memperkukuh usaha membanteras rasuah demi kesejahteraan negara.

Tahniah Datuk Seri!
Semoga terus cemerlang dan menjadi inspirasi kepada seluruh warga SPRM.

Ikhlas daripada:
Pengarah dan Seluruh Warga SPRM Negeri Kedah

🌙 SALAM MAULIDUR RASUL 1448H 🌙Meneladani akhlak Rasulullah SAW, menyuburkan iman, memperkukuh amanah dan menjunjung inte...
24/08/2026

🌙 SALAM MAULIDUR RASUL 1448H 🌙

Meneladani akhlak Rasulullah SAW, menyuburkan iman, memperkukuh amanah dan menjunjung integriti.

Bukan sekadar mengingati kelahiran Baginda, tetapi menghidupkan sunnah dan akhlak mulia dalam setiap tindakan.

✨ Madani Dihayati, Ummah Diberkati. ✨

Semoga kecintaan kepada Rasulullah SAW menjadi inspirasi untuk kita terus memilih kebenaran, menolak kemungkaran dan berani memerangi rasuah demi masyarakat yang lebih berintegriti.

Salam Maulidur Rasul 1448H daripada SPRM Negeri Kedah.

SPRM, APMM PERKUKUH INTEGRITI DALAM PENGUATKUASAAN MARITIMKUALA KEDAH, 20 Ogos 2026 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Mala...
20/08/2026

SPRM, APMM PERKUKUH INTEGRITI DALAM PENGUATKUASAAN MARITIM

KUALA KEDAH, 20 Ogos 2026 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah terus memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha membudayakan integriti dan mempertingkat kesedaran pencegahan rasuah dalam kalangan warga penguatkuasaan maritim menerusi Program Dialog Antirasuah Dalam Penguatkuasaan Tahun 2026.

Program yang berlangsung di Pejabat APMM Zon Maritim Kuala Kedah itu menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan pandangan antara SPRM dengan APMM dalam memperkukuh kefahaman mengenai integriti dan tatakelola, khususnya dalam mendepani cabaran serta risiko rasuah yang berkaitan dengan pelaksanaan tugas penguatkuasaan.

Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengarah Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak, sebelum diteruskan dengan taklimat antirasuah dalam penguatkuasaan yang disampaikan oleh PKPs Hanizal bin Mazni.

Pengisian utama program ialah Dialog Wacana Integriti dalam Penguatkuasaan bertajuk “Integriti Diperkasa, Perairan Negara Terpelihara” yang dikendalikan oleh Ps Muzilah bin Adzmi, Pegawai Unit Pendidikan Masyarakat (PENMAS), SPRM Negeri Kedah selaku moderator.

Dialog tersebut menampilkan Lt (M) Zool Hilmi bin Mohd Nadzir, Timbalan Pengarah Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah dan PPj Mansur bin Mohamad, Ketua Unit Siasatan 1, SPRM Negeri Kedah sebagai ahli panel.

Perbincangan memberi penekanan terhadap kepentingan integriti, profesionalisme, akauntabiliti dan pematuhan kepada tatakelola yang baik dalam pelaksanaan tugas penguatkuasaan. Para panel turut mengupas cabaran serta risiko rasuah yang berpotensi berlaku dalam tugasan penguatkuasaan, selain menekankan keperluan setiap warga penguat kuasa untuk sentiasa menjunjung amanah, profesionalisme serta menggunakan kuasa yang diperuntukkan secara berintegriti dan bertanggungjawab.

Program turut diserikan dengan sesi soal jawab antara warga Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah dengan SPRM Negeri Kedah yang memberi ruang kepada para peserta mengemukakan pertanyaan, berkongsi pandangan serta mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung isu integriti, pencegahan rasuah dan tatakelola dalam pelaksanaan tugas.

PPj Mansur bin Mohamad kemudiannya menyampaikan ucapan penutup dengan menekankan bahawa pembudayaan integriti dalam sektor penguatkuasaan bukan sekadar berkaitan pematuhan kepada peraturan dan prosedur, malah merupakan asas penting dalam memastikan setiap amanah serta kuasa yang diberikan dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan berakauntabiliti.

Beliau turut menekankan bahawa usaha membanteras rasuah memerlukan komitmen berterusan dan kerjasama erat antara agensi, khususnya dalam memperkukuh tadbir urus serta menutup ruang dan peluang yang boleh mendedahkan warga penguat kuasa kepada risiko rasuah dan salah guna kuasa.

Kerjasama strategik antara SPRM dan APMM melalui program seumpama ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh integriti serta tatakelola dalam sektor penguatkuasaan.

Pembudayaan integriti dalam kalangan warga penguat kuasa bukan sahaja penting bagi membendung risiko rasuah dan salah guna kuasa, malah menjadi asas kepada peningkatan profesionalisme serta keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan negara.

Penganjuran program ini diharap dapat memperkukuh lagi kefahaman dan komitmen warga APMM dalam melaksanakan amanah secara berintegriti, profesional dan berakauntabiliti, selaras dengan tanggungjawab memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Address

Tingkat 2, Blok B, Bangunan Persekutuan, Jalan Sultan Badlishah, Peti Surat 6000
Alor Setar
05720

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when SPRM Kedah posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Organization

Send a message to SPRM Kedah:

Shortcuts

Share