13/05/2026
Selamat Datang Dato' Sri Abd Halim bin Aman
No Siri SPRM Kedah : 2019/FB/KED/13
13/05/2026
Selamat Datang Dato' Sri Abd Halim bin Aman
21/04/2026
PERASMIAN PEJABAT SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) NEGERI KEDAH CAWANGAN LANGKAWI
LANGKAWI, 19 APRIL 2026 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah telah mengadakan Majlis Perasmian Pejabat SPRM Cawangan Langkawi yang kini beroperasi di No. 1A, Lot 1578 (PT 2472), Padang Pasir, Jalan Padang Matsirat, 07000 Kuah, Langkawi, Kedah.
Majlis penuh simbolik ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Indera Junipah Wandi, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Pengarah SPRM Negeri Kedah, YBhg. Dato’ Nazli Rasyid bin Haji Sulong. Turut hadir ialah barisan pengarah kanan, pengarah bahagian dan negeri, wakil ketua jabatan Persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan.
Dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Dato’ Indera Junipah Wandi menegaskan bahawa pembukaan pejabat cawangan yang lebih kondusif ini bukan sekadar perubahan lokasi, malah merupakan langkah strategik dalam memperkukuh keupayaan organisasi bagi melaksanakan fungsi penguatkuasaan, pencegahan dan pemantauan secara lebih berkesan.
Beliau menyatakan bahawa dalam mendepani cabaran nasional seperti ketirisan dana awam dan kebocoran di pintu masuk negara, pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 menuntut pendekatan yang lebih tegas dan bersepadu melalui pengukuhan tatakelola serta pengurusan risiko rasuah (CRM).
Tambah beliau, persekitaran baharu ini direka bentuk agar lebih mesra pengguna bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada orang awam dapat dilaksanakan dalam suasana yang profesional, cekap dan mudah diakses. Kedudukan Langkawi sebagai pintu masuk strategik negara turut mendedahkan kawasan ini kepada risiko penyeludupan serta penyalahgunaan kemudahan bebas cukai yang berpotensi menjejaskan ekonomi negara.
Sehubungan itu, pejabat ini diharapkan berperanan sebagai pusat tindakan yang responsif dalam mengesan serta menyiasat kes dengan lebih pantas, di samping menjadi pusat rujukan advokasi dalam membina komuniti yang tidak bertoleransi terhadap rasuah.
Sementara itu, dalam ucapan aluannya, YBhg. Dato’ Nazli Rasyid bin Haji Sulong mengimbas kembali sejarah kehadiran SPRM di Langkawi yang bermula pada 1 Disember 1993, sebelum beroperasi di Kompleks Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA) selama hampir tiga dekad.
Beliau memaklumkan bahawa dengan keluasan kira-kira 470 kilometer persegi serta kehadiran lebih tiga juta pelawat setiap tahun, Langkawi memerlukan tahap pengawasan integriti yang tinggi. Perpindahan ke bangunan sendiri ini disifatkan sebagai satu pencapaian signifikan, lebih-lebih lagi apabila SPRM Negeri Kedah bertindak sebagai first mover dalam melaksanakan perolehan ubah suai secara sebut harga kendiri yang telah siap sepenuhnya pada November 2025.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA), Pegawai Daerah, Ketua Polis Daerah serta semua ketua jabatan atas kerjasama erat dalam memastikan kelancaran pentadbiran di daerah ini.
Mengakhiri ucapan, beliau menyeru seluruh warga kerja serta masyarakat setempat agar memanfaatkan sepenuhnya fasiliti baharu ini sebagai platform untuk menyalurkan maklumat tanpa ragu, demi memastikan Langkawi terus kekal sebagai zon yang telus dan berintegriti.
Acara kemuncak majlis menyaksikan YBhg. Dato’ Indera Junipah Wandi menyempurnakan gimik perasmian, acara memotong reben serta menandatangani plak perasmian sebagai simbolik pembukaan pejabat tersebut.
Sejurus selepas itu, para tetamu kehormat dibawa melawat ruang kerja dan fasiliti Pejabat SPRM Cawangan Langkawi bagi meninjau kesiapsiagaan operasi cawangan berkenaan.
03/04/2026
MAJLIS IKRAR BEBAS RASUAH (IBR) UiTM CAWANGAN KEDAH PERKASA BUDAYA INTEGRITI GENERASI DIGITAL
Merbok, 30 Mac 2026 – Dalam era pendigitalan yang semakin pesat dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI), usaha memperkukuh benteng integriti dalam kalangan generasi masa hadapan terus diperkasa apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah menganjurkan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai simbol komitmen bersama dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
Majlis tersebut telah diketuai oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mahazir Ismail, Rektor UiTM Cawangan Kedah, dan disaksikan oleh PPj Syed Aswadi bin Syed Soffian, Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Negeri Kedah. Turut berlangsung ialah upacara menandatangani sijil IBR yang menjadi manifestasi kesungguhan kedua-dua pihak dalam memastikan persekitaran kerja yang bebas daripada rasuah, penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa.
Majlis ini turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi universiti, pegawai-pegawai SPRM Negeri Kedah serta warga UiTM yang terdiri daripada staf akademik dan pentadbiran. Penyertaan menyeluruh ini mencerminkan iltizam kolektif dalam memperkukuh budaya integriti serta memastikan prinsip akauntabiliti terus menjadi teras dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan.
Dalam ucapannya, PPj Syed Aswadi bin Syed Soffian menegaskan bahawa landskap rasuah kini turut berevolusi seiring perkembangan teknologi, termasuk penggunaan AI yang berpotensi disalah guna sekiranya tidak disandarkan kepada nilai integriti yang kukuh.
“Teknologi seperti AI mampu menjadi pemangkin kecekapan dan ketelusan, namun pada masa yang sama boleh membuka ruang kepada bentuk penyelewengan baharu sekiranya disalahgunakan. Justeru, integriti perlu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi agar pembangunan digital tidak mengorbankan prinsip akauntabiliti,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa institusi pendidikan tinggi memainkan peranan strategik dalam melahirkan generasi celik teknologi yang bukan sahaja kompeten, tetapi juga mempunyai ketahanan nilai untuk menolak sebarang bentuk rasuah dalam ekosistem digital yang semakin kompleks.
Sebagai pengisian program, ceramah antirasuah telah disampaikan oleh PPs Mohd Azfar bin Johari, Pegawai Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Kedah. Ceramah tersebut memberi penekanan terhadap aspek pencegahan rasuah, salah guna kuasa serta kepentingan melaporkan sebarang perlakuan tidak berintegriti melalui saluran yang sah. Turut diketengahkan ialah cabaran baharu dalam era digital, termasuk manipulasi data, konflik kepentingan dalam sistem berasaskan teknologi serta keperluan kawalan dalaman yang lebih dinamik.
Majlis ini turut disusuli dengan sesi interaktif yang membuka ruang kepada warga UiTM untuk mengemukakan soalan serta berkongsi pandangan berkaitan cabaran sebenar dalam mengekalkan integriti di tempat kerja. Sesi ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman peserta, malah memberi perspektif praktikal terhadap usaha pencegahan rasuah yang lebih berkesan dalam persekitaran kerja moden yang dipengaruhi teknologi.
Penganjuran Majlis IBR ini adalah selaras dengan agenda nasional dalam memperkukuh tadbir urus yang baik serta menyokong pembudayaan integriti dalam sektor awam dan pendidikan tinggi, khususnya dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0. Ia juga menjadi platform strategik dalam memperluas jaringan kerjasama antara SPRM dan institusi pendidikan bagi melahirkan masyarakat yang berintegriti, berdaya saing serta beretika dalam mendepani era digital.
Secara keseluruhannya, majlis ini berjaya mengangkat mesej bahawa dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, integriti bukan lagi pilihan, tetapi keperluan asas yang menentukan kepercayaan, kredibiliti dan kelestarian sesebuah organisasi.
31/03/2026
Bekas penyelaras DUN di Kedah mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu melibatkan perbelanjaan lebih RM33,000
Bekas penyelaras DUN didakwa kemuka dokumen palsu ALOR SETAR - Seorang bekas penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan...
31/03/2026
Seorang bekas penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu mengenai laporan perbelanjaan berjumlah lebih RM33,000, dua tahun lepas.
Faizal Zailan, 45, didakwa mengemukakan dokumen Laporan Perbelanjaan Peruntukan Kerajaan B02 bagi November hingga Disember 2023 Penyelaras DUN Bakar Arang bertarikh 1 Jan 2024 berjumlah RM33,850 kepada Pembantu Tadbir Kewangan, DUN dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.
Berita penuh: https://www.bernama.com/bm/jenayah_mahkamah/news.php?id=2539288
20/03/2026
Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1447H
Tulus Ikhlas Daripada,
Dato' Nazli Rasyid Sulong
Pengarah SPRM Kedah
dan Seluruh Warga SPRM Kedah
16/03/2026
KERJASAMA STRATEGIK SPRM DAN KERAJAAN NEGERI KEDAH DIPERKUKUH MELALUI KUNJUNGAN HORMAT
ALOR SETAR, 16 Mac – Kerjasama strategik antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah dan Kerajaan Negeri Kedah terus diperkukuh dalam usaha mempertingkatkan tahap integriti serta memantapkan amalan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran negeri.
Perkara tersebut dizahirkan melalui satu kunjungan hormat Pengarah SPRM Kedah, Dato' Nazli Rasyid Sulong kepada Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor yang berlangsung di Pejabat Menteri Besar Kedah, di sini hari ini.
Pertemuan tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh agenda pencegahan rasuah di peringkat negeri, khususnya dalam memastikan setiap dasar serta program pembangunan kerajaan negeri dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti.
Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak turut menyentuh kepentingan memperkukuh budaya integriti dalam kalangan kepimpinan serta jentera pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam terus diperkasa dan mendapat kepercayaan rakyat.
Pengarah SPRM Kedah berkata kerjasama erat antara SPRM dan Kerajaan Negeri Kedah merupakan antara elemen penting dalam memastikan agenda pencegahan rasuah dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan di peringkat negeri.
Beliau berkata pendekatan tersebut bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek penguatkuasaan, malah turut merangkumi usaha memperluas pendidikan integriti, meningkatkan kesedaran terhadap risiko rasuah serta memperkukuh langkah-langkah pencegahan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Dalam pertemuan tersebut, SPRM Kedah turut memaklumkan secara ringkas kepada Menteri Besar mengenai cadangan penganjuran sesi libat urus bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan kesedaran berkaitan integriti dalam kalangan kepimpinan negeri.
Sementara itu, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh SPRM Kedah dalam memperkukuh agenda pencegahan rasuah di negeri ini.
Beliau turut menyatakan komitmen Kerajaan Negeri Kedah untuk terus bekerjasama rapat dengan SPRM dalam mempertingkatkan amalan tadbir urus yang baik serta memastikan pentadbiran negeri dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti demi kepentingan rakyat.
16/03/2026
KUNJUNGAN HORMAT SPRM KEDAH KEPADA SPEAKER DUN KEDAH PERKUKUH KERJASAMA AGENDA INTEGRITI
ALOR SETAR, 15 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah hari ini mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam memperkasa agenda integriti di peringkat negeri.
Kunjungan yang berlangsung pada jam 10 pagi itu diketuai oleh Pengarah SPRM Kedah, Dato' Nazli Rasyid Sulong, bersama beberapa pegawai kanan SPRM Kedah dan telah disambut oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, YB Zubir Ahmad, di Pejabat Speaker DUN Kedah.
Beliau berkata kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan kepada Speaker mengenai perancangan penganjuran sesi libat urus SPRM bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Menurut beliau, program tersebut diadakan bagi memberi pendedahan serta penerangan kepada wakil rakyat berhubung aspek integriti, tadbir urus yang baik serta garis panduan berkaitan peranan dan tanggungjawab wakil rakyat dalam urusan pentadbiran kerajaan.
“Institusi Dewan Undangan Negeri merupakan komponen penting dalam sistem pentadbiran negeri. Wakil rakyat bukan sahaja berperanan dalam proses penggubalan dasar, malah turut mempunyai pengaruh dalam pelaksanaan projek pembangunan serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Tambah beliau, melalui sesi libat urus yang dirancang itu, SPRM akan berkongsi maklumat berkaitan risiko rasuah dalam pentadbiran kerajaan selain mengetengahkan langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil bagi memastikan tadbir urus yang lebih telus, berintegriti dan bebas rasuah.
Dalam pada itu, program berkenaan turut memperkenalkan inisiatif Keep Malaysia Clean yang memberi penekanan kepada usaha membudayakan nilai integriti serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menolak rasuah.
Sementara itu, YB Zubir Ahmad menyambut baik inisiatif yang diambil oleh SPRM Kedah dalam memperkukuh kefahaman berkaitan integriti dan pencegahan rasuah dalam kalangan wakil rakyat negeri ini. Beliau turut menyatakan sokongan terhadap cadangan penganjuran sesi libat urus tersebut serta berharap program berkenaan dapat memberi pendedahan yang bermanfaat kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka secara lebih telus serta berintegriti.
Sehubungan itu, SPRM Kedah berharap kerjasama strategik antara agensi tersebut dengan institusi Dewan Undangan Negeri Kedah dapat terus diperkukuh dalam usaha memperkasakan agenda integriti serta mempertingkatkan tahap tadbir urus yang baik dalam pentadbiran negeri.
11/03/2026
SPRM KEDAH BENTANG PENAMBAHBAIKAN TATAKELOLA PENGAMBILAN GURU DAN PENERIMAAN SUMBANGAN JHEAIK
ALOR SETAR, 10 Mac 2026 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah telah mengadakan Sesi Pembentangan Penambahbaikan Tatakelola Prosedur Pengambilan Guru dan Penerimaan Sumbangan melibatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) sebagai usaha memperkukuh ketelusan, akauntabiliti serta tadbir urus yang baik dalam pelaksanaan prosedur berkaitan.
Sesi pembentangan tersebut bertujuan mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam prosedur sedia ada bagi memastikan proses pengambilan guru serta penerimaan sumbangan dilaksanakan secara lebih sistematik, telus dan selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik.
Dalam pembentangan tersebut, sebanyak empat cadangan penambahbaikan berkaitan Prosedur Pengambilan Guru Jabatan, Guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) serta Guru Taman Didikan Kanak-Kanak Islam telah dikemukakan kepada Bahagian Pendidikan JHEAIK. Selain itu, dua cadangan penambahbaikan berkaitan Prosedur Penerimaan Sumbangan turut dicadangkan kepada Bahagian Pentadbiran dan Kewangan JHEAIK.
Cadangan penambahbaikan tersebut telah disambut baik oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah yang bersetuju agar tindakan susulan diambil bagi menambah baik kelemahan yang telah dikenal pasti.
Pembentangan penambahbaikan tatakelola tersebut telah disampaikan oleh PPj Syed Aswadi bin Syed Soffian, Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kedah. Turut hadir ialah P/Ps E Mey a/p E Boon Him, KPKPs Rohaya bt Osman dan PKPs Mohd Syafiq bin Mazlan, pegawai Unit Penyiasatan Tatakelola SPRM Negeri Kedah.
Inisiatif ini diharapkan dapat memperkukuhkan lagi kerjasama strategik antara SPRM Kedah dan JHEAIK dalam mempertingkatkan tahap integriti serta memastikan amalan tadbir urus yang lebih telus dan berakauntabiliti dalam pengurusan jabatan.
29/12/2025
28/12/2025
PENGARAH SPRM KEDAH TINJAU KESIAPSIAGAAN OPERASI DAN FASILITI CAWANGAN SUNGAI PETANI
SUNGAI PETANI, 28 Disember 2025 – Pengarah SPRM Negeri Kedah, Dato' Nazli Rasyid bin Hj. Sulong, telah mengadakan lawatan kerja ke pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani bagi meninjau tahap kesiapsiagaan operasi serta keadaan infrastruktur bangunan. Lawatan ini memfokuskan kepada penilaian menyeluruh terhadap fasiliti dalaman dan luaran bagi menjamin kelancaran fungsi jabatan di peringkat cawangan serta memperkukuh kawalan keselamatan pejabat secara menyeluruh.
Dalam tinjauan tersebut, Dato' Nazli Rasyid menekankan kepentingan penyediaan ruang kerja yang kondusif dan selamat bagi meningkatkan produktiviti serta moral pegawai. Beliau turut memeriksa kemudahan seperti Bilik Temu Bual Berakam (VIR) dan sistem pengurusan fail bagi memastikan setiap prosedur siasatan mematuhi piawaian ketat yang ditetapkan, di samping menjamin kerahsiaan dokumen-dokumen klasifikasi jabatan.
Dato' Nazli Rasyid turut memberi perhatian serius terhadap aspek kawalan keselamatan fizikal bagi melindungi warga kerja dan aset kerajaan daripada sebarang ancaman luar. Beliau memeriksa keberkesanan sistem kawalan akses di zon-zon larangan, memastikan fungsi kamera litar tertutup (CCTV) beroperasi sepenuhnya di setiap sudut strategik, serta memantau prosedur pemeriksaan pelawat bagi memastikan protokol keselamatan dipatuhi dengan tegas tanpa kompromi.
Selain itu, aspek penyelenggaraan fizikal luaran bangunan, tahap pencahayaan perimeter, dan aksesibiliti kaunter aduan turut diberi perhatian bagi memastikan imej profesional SPRM sentiasa terpelihara. Penilaian ini bertujuan untuk mengenal pasti keperluan penambahbaikan aset agar perkhidmatan yang lebih efisien dapat diberikan kepada masyarakat setempat dalam usaha membanteras jenayah rasuah di daerah ini secara lebih berkesan.
Dato' Nazli Rasyid mengakhiri lawatan dengan mengingatkan warga kerja agar terus mempertahankan integriti dan profesionalisme yang tinggi dalam memikul amanah. Komitmen ini selaras dengan hasrat beliau untuk memperkukuh keupayaan logistik, memantapkan sistem keselamatan premis, dan menjaga kebajikan pegawai di seluruh cawangan SPRM Negeri Kedah demi kelangsungan operasi yang cemerlang.