08/10/2026
GUBIR DAN RELAU
Lembaga Muzium Negeri Kedah melakukan tinjauan mengenai jumpaan Relau di Gubir,Kedah
Gubir merupakan antara kawasan penting dalam lipatan sejarah Negeri Kedah yang menyimpan tinggalan penempatan lama serta jejak kegiatan perlombongan dan pemprosesan bahan mentah. Kawasan ini menjadi sebahagian daripada perkembangan ekonomi masyarakat negeri Kedah terdahulu.
Menurut penceritaan yang direkodkan, Antara tinggalan penting yang ditemui semula ialah beberapa buah relau peleburan pada tahun 2020, Ketika paras air menyusut dan kawasan berkenaan mula menampakkan semula tinggalan yang selama ini terlindung.
Penemuan tersebut berlaku hasil daripada proses hakisan air yang secara beransur-ansur menghakis lapisan tanah di kawasan penempatan lama. Apabila tanah di sekeliling struktur semakin terhakis, bahagian atas relau mula muncul dan dapat dikenal pasti sebagai sebuah binaan yang mempunyai kaitan dengan kegiatan pemprosesan dan peleburan logam.
Sebelum penemuan pada tahun 2020 tersebut, sekitar tahun 1995, Nordin Salleh@ AJ Gubey pernah melihat beberapa tinggalan penempatan lama yang masih terdapat di kawasan berkenaan. Antaranya termasuk tapak penempatan serta kawasan perkuburan lama. Namun begitu, relau tersebut masih belum kelihatan kerana sebahagian strukturnya masih terlindung di bawah lapisan tanah.
Apabila paras air kembali menyusut pada tahun 2026, struktur relau mula terserlah akibat hakisan yang berlaku secara beransur-ansur. Keadaan ini membolehkan tinggalan yang sebelum ini tersembunyi dikenal pasti dan direkodkan sebagai salah satu bukti penting berkaitan kegiatan masyarakat terdahulu di Gubir.
Penemuan relau ini memperlihatkan satu lagi sisi penting sejarah Gubir, khususnya berkaitan kegiatan peleburan dan pemprosesan logam pada masa lalu. Tinggalan yang kembali terserlah daripada lapisan tanah ini bukan sekadar sebuah binaan lama, tetapi menjadi petunjuk yang membuka ruang untuk kita menelusuri kembali sejarah, kemahiran serta kehidupan masyarakat yang pernah berkembang di Ulu Muda.
Lembaga Muzium Negeri Kedah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Laman Rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Kedah Pusat informasi Taman Negeri UluMuda gubir, serta Saudara Nordin bin Salleh @ AJ Gubey atas segala maklumat, perkongsian pengetahuan dan kerjasama yang diberikan dalam usaha menelusuri kembali sejarah Gubir dan tinggalan relau di Ulu Muda.
Setiap maklumat yang dikongsikan bukan sekadar membantu melengkapkan catatan sejarah, tetapi turut membuka kembali cerita dan jejak kehidupan yang pernah terlindung oleh waktu.
Sesungguhnya, sejarah tidak akan terus hidup tanpa insan yang sudi berkongsi cerita, pengalaman dan ingatan. Terima kasih kerana bersama-sama membantu kami merakam warisan ini agar tidak hilang ditelan zaman.
FOTO RELAU IHSAN PERKONGSIAN DARIPADA Nordin bin Salleh @ AJ Gubey