24/02/2026
TOKOH MUDA PENERUS LEGASI: DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
“Kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.” Begitulah perjalanan YB Dr. Muhammad Khalil bin Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi, anak sulung kepada Abdul Hadi Awang, yang mewarisi tradisi ilmu dan perjuangan keluarganya. Tokoh muda ini muncul sebagai penerus legasi ulama—berwawasan Islam, berpengalaman politik serta berpotensi memimpin Malaysia dan Parti Islam Se-Malaysia sebagai gerakan Islam yang dihormati di pentas antarabangsa.
Lahir di Marang, Terengganu, beliau dibesarkan dalam suasana yang menekankan pendidikan Islam dan kepimpinan. Pendidikan awalnya di Marang , Terengganu diikuti pengajian Thanawi Al Azhar di Pakistan seterusnya di Universiti Al-Iman, Yaman dalam bidang Pengajian Islam dan Syariah. Beliau kemudian memperoleh Ijazah Sarjana dari University of Portsmouth, United Kingdom dan Ijazah Kedoktoran dari Universiti Sultan Zainal Abidin pada tahun 2022. Gabungan ilmu agama dan akademik moden ini membentuk pemimpin yang memahami tuntutan syarak serta realiti semasa.
Dalam PAS, perjalanan politik beliau bermula dari akar umbi sebagai Ketua Pemuda PAS Cawangan Rusila, kemudian memimpin Pemuda PAS Ru Rendang dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang. Beliau seterusnya dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu sehingga 2017 sebelum melangkah ke peringkat pusat sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (2013–2017). Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (2015-2017). Pada 2017, beliau memenangi jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia tanpa bertanding, mengukuhkan kedudukannya sebagai tokoh muda yang diberi kepercayaan besar dalam parti.
Selepas melepaskan jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia tempoh sepenggal, beliau dipilih p**a untuk menganggotai saf kepimpinan lebih senior sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Antarabangsa. Dalam peranan ini, beliau bertindak sebagai jambatan diplomasi yang menghubungkan PAS dengan gerakan Islam dan pemimpin luar negara, memperkukuh jaringan serta persefahaman di peringkat global. Peranan ini menonjolkan kepakaran beliau dalam hubungan antarabangsa dan menjadikan PAS lebih aktif di pentas gerakan Islam dunia.
Di peringkat kerajaan negeri, wakil rakyat penggal kedua Dun Batu Buruk ini dipilih memegang amanah sebagai Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu dalam pentadbiran Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar. Portfolio ini mengetuai perancangan strategik dakwah serta usaha memperkukuh kedudukan perundangan Islam, di samping menaikkan imej pentadbiran teknokrat yang berteraskan tadbir urus cekap dan nilai Islam. Gandingan antara kepakaran profesional dan kekuatan ilmu agama ini dilihat sebagai model pentadbiran yang memacu kemajuan negeri sambil mengekalkan prinsip dan syiar Islam.
Selain peranan politik dan pentadbiran, beliau memimpin Yayasan Permata Ummah yang menumpukan penerbitan ilmiah, aktiviti kebajikan serta forum isu semasa dan antarabangsa. Antara projek utamanya ialah penerbitan Tafsir Al-Tibyan lengkap 30 juzuk Al-Quran dalam bahasa Melayu yang digarap daripada kuliah tafsir mingguan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sejak tahun 1976, di samping kempen kesedaran pembebasan Al-Quds dan program pembangunan masyarakat. Beliau juga sesekali menggantikan ayahnya menyampaikan kuliah dhuha Jumaat di Masjid Rusila apabila beliau uzur atau berada di luar kawasan, meneruskan tradisi ilmu yang menjadi nadi gerakan dakwah di Marang.
Gabungan latar keluarga ulama, pendidikan tinggi, pengalaman politik dari akar umbi hingga nasional, tanggungjawab dalam kerajaan negeri serta penglibatan antarabangsa menjadikan Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi antara tokoh muda PAS yang berpotensi besar sebagai penerus legasi perjuangan. Dengan pendekatan strategik, berprinsip dan relevan dalam landskap politik moden, beliau sedang ditempa untuk memainkan peranan lebih besar—bukan sahaja dalam memimpin PAS, tetapi juga dalam membentuk masa depan Malaysia yang maju berteraskan nilai, keadilan dan kesejahteraan ummah.

22/02/2026
21/02/2026
20/02/2026
15/02/2026
14/02/2026
13/02/2026