01/10/2026
MESYUARAT PENUTUPAN PENGAUDITAN PEMATUHAN PENGURUSAN BARANG SITAAN DAN LUCUT HAK JKDM KEDAH
ALOR SETAR, 1 OKTOBER 2026 – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah telah mengadakan Mesyuarat Penutupan Pengauditan Pematuhan Terhadap Pengurusan Barang Sitaan Dan Lucut Hak bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 4, Kompleks Kastam Alor Setar.
Mesyuarat ini diadakan bertujuan menilai serta memastikan tadbir urus dan pengurusan barang sitaan di seluruh stesen JKDM Kedah sentiasa berada pada tahap pematuhan yang tertinggi demi mengekalkan integriti dan kecekapan perkhidmatan.
Sesi pengauditan tersebut diketuai oleh Ketua Pasukan Audit, Puan Fazliana binti Mohd Razali bersama barisan ahli pasukan audit. Turut hadir memberikan komitmen penuh dalam mesyuarat berkenaan ialah Pengarah Kastam Negeri Kedah, YBrs. Puan Wan Marini binti Wan Hamzah, Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Penguatkuasaan/Pematuhan), Tuan Azhar bin Mahamud, serta Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Tuan Jamil bin Mohamed.
Sesi ini turut diperkukuhkan dengan kehadiran barisan Ketua Kastam Daerah (KKD) dari stesen Langkawi, Bukit Kayu Hitam, Sungai Petani dan Durian Burung, pegawai-pegawai kanan unit, serta pegawai stor dan pembantu pegawai stor dari setiap cawangan terlibat.
Penglibatan menyeluruh pelbagai peringkat pegawai ini mencerminkan komitmen berterusan JKDM Kedah dalam memperkasakan kawalan dalaman serta memastikan setiap prosedur kerja dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
©️2026 Unit Korporat & Latihan | Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Kedah