01/06/2026
𝐒𝐄𝐋𝐀𝐌𝐀𝐓 𝐌𝐄𝐍𝐘𝐀𝐌𝐁𝐔𝐓 𝐇𝐀𝐑𝐈 𝐔𝐋𝐀𝐍𝐆 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝐁𝐀𝐑𝐈𝐒𝐀𝐍 𝐍𝐀𝐒𝐈𝐎𝐍𝐀𝐋 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐊𝐄-𝟓𝟐 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍
1 Jun 2026 - Tanggal 1 Jun sentiasa terpahat dalam lipatan sejarah negara sebagai detik lahirnya sebuah gabungan politik yang dibina atas semangat muafakat, kesepakatan dan perjuangan demi agama, bangsa serta tanah air. Sejak penubuhannya pada tahun 1974, Barisan Nasional telah memainkan peranan besar dalam membentuk landskap pembangunan Malaysia yang stabil, progresif dan sejahtera.
Sepanjang lebih lima dekad, Barisan Nasional telah mengharungi pelbagai cabaran dan perubahan zaman. Namun, berbekalkan pengalaman, kekuatan akar umbi serta keyakinan rakyat, gabungan ini terus teguh berdiri sebagai wadah perjuangan yang mendukung kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan perpaduan masyarakat majmuk negara.
Dalam arus politik yang sentiasa berubah, Barisan Nasional kekal berpegang kepada prinsip kesederhanaan, kebersamaan dan khidmat kepada rakyat. Nilai-nilai inilah yang menjadi teras kekuatan sehingga terus relevan dan diyakini dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh kepimpinan, ahli, jentera dan penyokong setia Barisan Nasional yang tidak pernah jemu berjuang, sama ada ketika berada di puncak kejayaan mahupun saat berdepan ujian. Kesetiaan, pengorbanan dan komitmen saudara-saudari semua merupakan nadi yang terus menghidupkan perjuangan ini.
Sempena ulang tahun ke-52 ini, marilah kita menjadikannya sebagai medan muhasabah dan pembaharuan tekad untuk terus memperkukuh perpaduan, memperjuangkan kesejahteraan rakyat serta membina masa depan yang lebih gemilang buat negara dan Negeri Melaka tercinta.
Parti dan gabungan politik datang silih berganti, namun perjuangan yang berteraskan khidmat, kestabilan dan kepercayaan rakyat akan terus kekal relevan. Insya-Allah, Barisan Nasional akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah gabungan yang matang, berpengalaman dan diyakini rakyat.

24/05/2026
11/05/2026
24/04/2026
16/01/2026