21/10/2026
Saya mengikuti dengan dekat perjalanan dan perjuangan pasukan Debat Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Saya masih ingat bagaimana pasukan ini membina nama, bermula ketika tidak ramai yang mengenali kehebatan pasukan debat UMK, sehinggalah kini mereka terus melakar kejayaan demi kejayaan. Setiap pencapaian ini bukan hadir dalam sekelip mata, tetapi hasil kesungguhan, disiplin, pengorbanan dan semangat juang yang tidak pernah luntur.
Alhamdulillah, hari ini sekali lagi mereka membuktikan kemampuan apabila muncul sebagai Johan Pertandingan Debat Statistik Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Siri Ke-5 Tahun 2026, anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), bersempena dengan Hari Statistik Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026.
Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Muhammad Haries Husni, pelajar Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, dan Nazurah Bacho, pelajar Fakulti Industri Asas Tani, atas kejayaan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan dan piala iringan.
Lebih membanggakan, saudara Muhammad Haries Husni Khalil Husaini turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik. Satu pengiktirafan yang cukup bermakna, bukan sahaja buat beliau, malah seluruh keluarga besar UMK.
Sebagai individu yang mengikuti rapat perkembangan dan usaha pasukan ini, saya amat menghargai setiap langkah yang telah mereka lalui. Saya percaya, kejayaan sebenar bukan sekadar berdiri di pentas menerima piala, tetapi keberanian untuk bermula, kesanggupan untuk berjuang dan ketekunan untuk terus bangkit sehingga nama UMK dihormati.
Daripada sebuah pasukan yang sedang membina nama, kini menjadi pasukan yang semakin disegani. Inilah bukti bahawa apabila bakat digilap, peluang diberikan dan usaha dilakukan secara konsisten, kejayaan pasti mampu dicipta.
Tahniah kepada pasukan debat di atas kejayaan ini dan teruskan usaha agar kekal menjadi antara pasukan debat terbaik di universiti awam.
umk1hati1jiwa