25/09/2026
PROGRAM MESRA@AKRAB UKM: SIRI 1
āWarga Sejahtera UKM Berkualitiā
Anjuran Bersama Jawatankuasa AKRAM UKM & Unit Psikologi dan Kaunseling UKM
24 September 2026 (Khamis)
Jawatankuasa AKRAB UKM dengan kerjasama Unit Psikologi dan Kaunseling (UPK), Bahagian Sumber Manusia (BSM) UKM telah menganjurkan Program Mesra@AKRAB: Siri 1 bertempat di Ruang Activ 1, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), UKM.
Program julung kali diadakan ini bertujuan untuk memperkukuh silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli AKRAB UKM. Selain itu, program ini dapat memberikan ruang untuk berkenal-kenalan secara bersemuka sesama ahli AKRAB, membina hubungan baik dan mewujudkan keserasian. Program ini turut menjadi platform untuk memperkasa dan menggilap semula kemahiran ahli AKRAB agar dapat diterapkan dalam membantu dan menyokong kesejahteraan warga di Pusat Tanggungjawab (PTj) masing-masing. Program ini telah dihadiri oleh 40 orang ahli AKRAB termasuk lima orang Jawatankuasa AKRAB yang dapat bersama.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan Pengerusi Jawatankuasa AKRAB Sesi 2026-2028, YBrs. Puan Rohazaini Binti Hasan, Timbalan Pendaftar di Pusat Teknologi Digital UKM (DigitalUKM). Pengerusi Jawatankuasa AKRAB UKM menekankan tentang konsep bagaimana kita melihat rakan sekerja kita bukan hanya sebagai seorang staf, tetapi sebagai seorang manusia yang mempunyai emosi, cabaran, keluarga, harapan, dan mungkin juga perkara yang tidak dapat mereka ceritakan kepada orang lain. Pengerusi berharap agar semua ahli dapat membina satu komuniti AKRAB yang hidup, dekat dengan warga UKM dan benar-benar dirasai kehadirannya.
Program ini lebih bersifat mesra santai dan diisi dengan beberapa sesi seperti sesi Bersama Pendaftar UKM, Sesi Takruf & Suara Ahli AKRAB, Sesi Bersama Unit Psikologi dan Kaunseling, Bahagian Sumber Manusia, UKM, āIce-breaking & Team Bondingā, dan program ini turut dimeriahkan dengan selingan slot cabutan bertuah.
Di penghujung program, Sesi Bersama Pendaftar UKM diisi dengan Bicara Mesra bertajuk āMenyantuni Warga, Memperkasa Organisasiā. YBrs. Tuan Haji Zanudin Mohd Daud, Pendaftar UKM telah memberikan perkongsian mengenai aspek membudayakan keharmonian, penghayatan dan keikhlasan dalam kerja dan memberikan fokus kepada kesejahteraan warga dan organisasi. Harapan Pendaftar agar Jawatankuasa AKRAB bersama ahli AKRAB dapat sama-sama membantu UPK BSM dan UKM secara keseluruhannya untuk mengukuhkan warga dan organisasi yang sejahtera.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada YBrs. Tuan Haji Zanudin Mohd Daud, Pendaftar UKM, YBrs. Puan Rohazaini Hasan, Pengerusi Jawatankuasa AKRAB UKM, Encik Rajan Munusamy, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa AKRAB, Puan Nor Eloni Nor Azmi, Timbalan Setiausaha Jawatankuasa AKRAB, ahli-ahli Jawatankuasa AKRAB UKM, UPK BSM dan seluruh ahli AKRAB yang berpeluang hadir dan memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan program ini.
Semoga Mesra@AKRAB terus menjadi wadah dalam memperkukuh jaringan kebersamaan, menyantuni warga dan menyokong pembentukan persekitaran kerja yang lebih harmoni, sejahtera dan inklusif.
āKami Mendengar, Menyantuni, dan Prihatinā