22/10/2026
PAWE SUNGAI TUA – CYBERDRILL WORKSHOP: “JANGAN BERI KENA SCAM”
Pada 20 Oktober 2026 (Selasa), Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sungai Tua telah menyertai program Cyberdrill Workshop: “Jangan Beri Kena Scam” di Asia School of Business, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran warga emas tentang keselamatan siber serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
Program ini disertai oleh 6 orang ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sungai Tua. Sepanjang program berlangsung, ahli-ahli berpeluang mempelajari pelbagai kaedah untuk mengenal pasti dan mengelakkan helah penipuan dalam talian, termasuk taktik yang sering digunakan oleh scammer untuk memperdaya mangsa. Selain itu, ahli-ahli turut didedahkan kepada laman web yang boleh digunakan untuk menyemak dan mengesahkan kesahihan sesuatu berita atau maklumat bagi mengelakkan penyebaran berita palsu.
Melalui perkongsian ilmu dan aktiviti yang dijalankan, ahli-ahli PAWE Sungai Tua memperoleh pengetahuan baharu berkaitan keselamatan digital serta kepentingan untuk sentiasa berwaspada ketika menerima panggilan, mesej atau pautan yang mencurigakan. Pendedahan ini juga membantu ahli-ahli memahami kepentingan menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau berkongsinya dengan orang lain, khususnya dalam penggunaan telefon pintar dan internet dalam kehidupan seharian.
Pihak PAWE Sungai Tua merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas peluang dan pendedahan yang diberikan kepada ahli-ahli PAWE untuk menyertai program ini. Penghargaan turut diberikan kepada semua ahli yang terlibat atas komitmen dan kesudian meluangkan masa untuk menimba ilmu berkaitan keselamatan siber.
Secara keseluruhannya, penyertaan dalam program Cyberdrill Workshop: “Jangan Beri Kena Scam” telah memberikan manfaat kepada ahli PAWE Sungai Tua dengan meningkatkan kesedaran tentang ancaman penipuan dalam talian serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan. Diharapkan ilmu dan pengetahuan yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian bagi membantu warga emas menjadi pengguna digital yang lebih bijak, berhati-hati dan selamat.