20/10/2026
1,000 ANAK POKOK BERJAYA DITANAM MENERUSI PROGRAM RIVER RECOVERY (R2) SUNGAI PLAN 2026
📍 Sungai Plan, Bintulu | 20 Oktober 2026
Sebanyak 1,000 anak pokok berjaya ditanam di enam lokasi sekitar Sungai Plan dan Tanjung Kidurong menerusi Program River Recovery (R2) Sungai Plan 2026 yang kini memasuki tahun kedua pelaksanaannya.
Program anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama erat Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) ini telah berlangsung di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Kidurong, Sungai Plan. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pemuliharaan Sungai Plan yang dibiayai oleh Malaysia LNG Sdn. Bhd., dengan turut mendapat kerjasama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta Universiti Putra Malaysia Sarawak.
Majlis telah dirasmikan oleh Encik Fatehi bin Marzuki, Penolong Pengurus Besar BDA, manakala ucapan alu-aluan disampaikan oleh Haji Khairul Ariffin bin Idris, Pengurus Besar, Jabatan Pengawalan Kendiri, Malaysia LNG Sdn. Bhd.
Daripada keseluruhan anak pokok yang ditanam, 355 anak pokok disumbangkan oleh Glenealy Plantation Sdn. Bhd. (Timor Enterprises Sdn. Bhd.), terdiri daripada 350 pokok Ficus racemosa dan lima pokok Ficus nervosa, manakala baki 645 anak pokok disediakan oleh BDA.
Program turut melibatkan pengagihan mudball kepada 13 syarikat industri, aktiviti peletakan mudball di Sungai Plan serta pemasangan papan tanda kesedaran “Sayangi Sungai Kita” bagi meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab bersama terhadap pemeliharaan sungai.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan BDA bersama agensi kerajaan, institusi akademik dan sektor industri dalam memastikan pembangunan perindustrian bergerak seiring dengan pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan aspirasi menjadikan Bintulu sebagai Low Carbon Industrial Hub menjelang 2030.
Sayangi Sungai Kita, Tanggungjawab Bersama!