20/04/2026
USTAZAH HEBAT
Siri 1: Kehidupan Amar dan Ibunya
Seorang ustazah dari SMK Penanti telah memaklumkan kepada Pusat Khidmat Rakyat MADANI Permatang Pauh mengenai kesukaran hidup seorang murid Tingkatan 3 bersama ibunya yang mengalami strok.
Adik yang dikenali sebagai Amar hadir ke pejabat bersama Ustazah Hazami, seorang pendidik yang begitu prihatin. Kedatangan mereka disambut dengan satu perbincangan bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang buat kehidupan Amar dan ibunya.
Alhamdulillah, bantuan segera telah disalurkan sumbangan daripada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Bantuan awal ini berbentuk kewangan dan bekalan makanan untuk menampung keperluan mereka berdua.
Menurut Ustazah Hazami, Amar merupakan seorang pelajar yang berpotensi di sekolah. Hasil perbualan bersama Amar sendiri, beliau juga aktif dalam sukan bola sepak ,satu sisi yang menunjukkan semangatnya masih kuat walaupun diuji dengan kehidupan yang serba kekurangan.
Hati terasa sayu mendengar kisah hidupnya. Amar membesar dalam keadaan serba kekurangan ,tempat tidur hanya di ruang tamu rumah neneknya, tempat memasak p**a di luar rumah. Tiada peti ais, malah kehidupan mereka juga tanpa kemudahan elektrik yang sempurna. Namun di sebalik semua itu, riak wajah Amar tetap tenang dan cekal.
Matanya yang berkaca ketika bercerita sudah cukup menggambarkan beban yang dipikul. Ibunya yang mengalami strok ringan di bahagian kiri tubuh menghadkan banyak pergerakan, menjadikan Amar bukan sekadar seorang anak tetapi juga penjaga.
Di rumah, Amar membantu ibunya memasak dan menguruskan keperluan harian. Dalam usia yang muda, dia sudah memahami erti tanggungjawab dan kesusahan hidup.
Apa yang lebih menyentuh hati, Amar dan ibunya tidak pernah meminta-minta. Perbelanjaan mereka bergantung kepada bantuan seperti STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan SARA yang disalurkan oleh Kerajaan MADANI.
Di saat ada yang memperlekehkan usaha kerajaan, masih ada insan seperti Amar yang benar-benar memerlukan dan menghargai setiap bantuan yang diberikan.
Pihak sekolah SMK Penanti juga tidak pernah meminggirkan Amar. Bantuan berbentuk baucar makanan diberikan, dan setiap hari Amar akan berkongsi makanan tersebut bersama ibunya.
Tidak terbit walau satu pun keluhan dari mulutnya. Amar bercakap sebagai seorang anak muda yang sedang berjuang bukan menyalahkan, tetapi menerima dan terus melangkah.
Keprihatinan seorang ustazah hebat inilah yang membawa langkah mereka ke pintu pejabat kami, dengan niat yang ikhlas untuk membantu.
Dengan saranan daripada Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menghapuskan miskin tegar, pihak Pusat Khidmat Rakyat MADANI Permatang Pauh akan terus berusaha membantu sedaya upaya.
Ustazah Hazami bukan sahaja mengajar pelajaran, tetapi turut membentuk jiwa pelajar. Inilah nilai sebenar seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membina manusia.
20 APRIL 2026
PUSAT KHIDMAT RAKYAT MADANI PERMATANG PAUH
Smkpenanti Portal