20/03/2026
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Di kesempatan yang mulia ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1447H / 2026M kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya kepada umat Islam yang menyambut kemenangan setelah sebulan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.
Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi merupakan lambang kejayaan dalam mendidik jiwa, memperkukuh kesabaran serta menyemai nilai keinsafan dan keikhlasan dalam diri. Ia juga menjadi waktu terbaik untuk kita mempereratkan silaturrahim, saling bermaafan dan memperkukuhkan perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara kita.
Saya menyeru agar semangat kebersamaan, toleransi dan saling menghormati yang dipupuk sepanjang Ramadan dapat diteruskan dalam kehidupan seharian kita demi membina sebuah negara yang lebih harmoni, stabil dan sejahtera.
Dalam kita meraikan hari yang penuh keberkatan ini, marilah kita bersama-sama menginsafi nasib mereka yang kurang bernasib baik serta terus menyemai sifat prihatin dan kasih sayang sesama insan.
Akhir kata, saya dengan penuh keikhlasan memohon maaf zahir dan batin atas segala kekhilafan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Sekian, terima kasih.
KAMAL AZIZ
Ketua Negeri Wilayah Persekutuan
Parti Pejuang Tanah Air
01/03/2026
Dengan penuh rasa dukacita, Pejuang Wilayah Persekutuan merakamkan ucapan Salam Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Mohd Ghadaffi bin Shirat atas pemergian beliau yang amat dirasai.
Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada rakan seperjuangan dan seluruh warga Parti Pejuang Tanah Air. Segala jasa, komitmen serta pengorbanan Allahyarham dalam perjuangan dan khidmat kepada masyarakat akan sentiasa dikenang.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa-dosanya serta menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Kepada seluruh ahli keluarga, semoga dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang berat ini.
Al-Fatihah.
Kamal Aziz
Ketua Negeri
Pejuang Wilayah Persekutuan
Parti Pejuang TanahAir
22/02/2026
Setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar atas pelantikan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional.
Pelantikan ini dilihat sebagai satu keputusan yang tepat dan berasas. Dengan latar belakang profesional sebagai jurutera serta kelayakan akademik di peringkat doktor falsafah, beliau membawa kombinasi kepimpinan teknokrat dan pengalaman pentadbiran yang terbukti. Rekod beliau menerajui Terengganu dengan pendekatan pentadbiran yang tersusun, berfokus kepada kestabilan dan pengurusan dasar yang konsisten, memberikan kredibiliti kukuh untuk memimpin gabungan di peringkat nasional.
Gabungan kematangan usia, kekuatan akademik dan pengalaman mentadbir negeri menjadikan beliau figura yang sesuai untuk memperkukuh struktur parti, menyatukan saf kepimpinan serta merangka strategi yang lebih tersusun menghadapi landskap politik semasa. Semoga amanah ini digalas dengan penuh hikmah, integriti dan visi yang jelas demi masa depan perjuangan.
Tahniah!
KAMAL AZIZ
Ketua Negeri
Pejuang Wilayah Persekutuan
Parti Pejuang Tanah Air
18/02/2026
Assalamualaikum…
Dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, saya merakamkan setulus-tulus ucapan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam.
Ramadhan hadir sebagai tamu agung yang membawa cahaya keinsafan, menyuburkan benih kesabaran dan menyatukan hati-hati yang mendambakan rahmat Ilahi. Inilah bulan yang mengajar kita erti pengorbanan, memperhalus budi pekerti, serta memperteguh nilai amanah dan integriti dalam setiap langkah perjuangan.
Marilah kita menyambutnya dengan jiwa yang bersih, tekad yang jernih dan semangat kebersamaan yang utuh. Semoga setiap doa yang dipohon, setiap nafsu yang tertahan, dan setiap sedekah yang dihulurkan menjadi saksi keikhlasan kita dalam membina masyarakat yang lebih adil, berperikemanusiaan dan diberkati.
Semoga Ramadhan kali ini membawa rahmat yang melimpah, keampunan yang luas, serta kekuatan baharu untuk kita melangkah dengan hikmah dan kebijaksanaan.
Ramadhan Kareem.
Kamal Aziz
Ketua Negeri
Pejuang Wilayah Persekutuan
Parti Pejuang Tanah Air
06/02/2026
PILIHAN RAYA DATUK BANDAR : SUARA RAKYAT ATAU STRATEGI TERAKHIR MENJELANG PRU 16?
19/01/2026
Kandang, Bau & Harga Tanah : “Formula Pengusiran Komuniti?”
Bukit Tagar bukan nama asing dalam peta penempatan di Selangor. Didiami majoriti penduduk Melayu dengan struktur sosial, budaya dan agama yang jelas. Justeru, apabila timbul cadangan pembinaan kandang babi berskala komersial di kawasan yang hampir dengan penempatan ini, persoalan yang wajar dibangkitkan seharusnya berlandaskan fakta, logik perancangan serta implikasi alam sekitar dan bukan secara emosi.
1. Soal Perancangan & Alam Sekitar :
Dalam perancangan moden, aktiviti penternakan intensifte rutama babi dikategorikan sebagai aktiviti berimpak tinggi terhadap alam sekitar. Antara risiko yang diakui secara teknikal adalah pencemaran air di mana sisa ternakan (najis dan efluen) berisiko mencemari sungai dan air tanah jika pengurusan gagal atau sistem rawatan tidak berfungsi sempurna. Pencemaran Udara & Bau Gas seperti ammonia dan hidrogen sulfida memberi kesan kesihatan serta kualiti hidup penduduk sekitar. Lalu Lintas dan Bunyi semasa aktiviti operasi logistik harian menyebabkan peningkatan kesesakan dan gangguan bunyi di kawasan yang sebelum ini tenang.
Secara prinsip, logik dan “common sense”, aktiviti sebegini seharusnya ditempatkan jauh dari penempatan padat atau di zon industri pertanian khusus dan bukan bersebelahan komuniti sedia ada.
2. Proses Kelulusan: Apa yang Sepatutnya Berlaku Mengikut amalan tadbir urus yang baik:
Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) perlu telus dan melibatkan rundingan awam yang bermakna. Zon guna tanah mesti konsisten dengan pelan tempatan dan rancangan struktur negeri dan Prinsip keadilan sosial menuntut agar sesuatu projek tidak meletakkan beban alam sekitar secara tidak seimbang ke atas satu komuniti.
Persoalannya, adakah semua ini dipatuhi dengan ketat? dan adakah suara penduduk setempat benar-benar diambil kira atau sekadar formaliti? Bilamana bancian suara penduduk dibuang ke dalam tong sampah?
Di sinilah tanda tanya besar muncul bukan sebagai tuduhan tetapi sebagai pertanyaan rasional. Sekiranya projek berimpak tinggi ini tidak sesuai berhampiran penempatan, mengapa lokasi dengan majoriti penduduk Melayu dipilih? Sekiranya isu alam sekitar dan sensitiviti komuniti diambil serius, mengapa bukan kawasan lain yang lebih sesuai dari sudut zon dan demografi? Akhir sekali, apakah kesan jangka panjang kepada nilai hartanah, kesihatan dan kesinambungan komuniti di Bukit Tagar?
Secara logik perancangan bandar, pengusiran tidak semestinya berlaku dengan notis pindah atau bulldozer. Ia juga sering berlaku secara senyap melalui tekanan hidup harian. Letakkan aktiviti berimpak tinggi seperti kandang babi berhampiran penempatan majoriti Melayu dengan pencemaran bau yang berterusan, risiko pencemaran air, penurunan nilai hartanah dan kualiti hidup yang merosot.
Fakta asas ekonomi mudah; apabila nilai hartanah jatuh dan kos “bertahan” naik, golongan berpendapatan sederhana akan terpaksa menjual dan berpindah. Ironinya, tanah yang sama kemudian menjadi “murah dan sesuai” untuk pihak lain yang tidak terkesan secara budaya atau agama oleh operasi tersebut. Ini bukan teori konspirasi, tetapi pola perancangan yang pernah berlaku apabila tekanan alam sekitar mencipta migrasi paksa tanpa paksaan.
Jadi jika benar niatnya neutral, mengapa model ini berulang di kawasan yang sensitif dan jarang di zon yang benar-benar terpencil? Atau adakah ini sekadar kebetulan? Kebetulan yang terlalu konsisten sehingga sukar untuk tidak tersenyum sinis apabila ia dipanggil “pembangunan?”
Adakah tekanan alam sekitar dan ketidakselesaan hidup ini akan mendorong penduduk asal berpindah secara “halus”, lalu membuka ruang kepada perubahan corak penempatan?
Kita tidak menafikan keperluan industri makanan dan ekonomi. Namun, pembangunan yang berkelas ialah pembangunan yang menghormati komuniti setempat, meminimumkan risiko alam sekitar dan tidak mencetuskan rasa terpinggir sekumpulan kaum yang dipaksa menerima beban yang tidak adil.
Kesimpulannya, isu kandang babi di Bukit Tagar bukan soal kaum secara sempit, tetapi soal keadilan perancangan, kelestarian alam dan kepekaan sosial. Apabila lokasi yang dipilih menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan, maka wajar masyarakat bertanya berserta fakta, logik dan adab.
Rakyat tidak menolak pembangunan. Rakyat hanya menolak pembangunan yang tidak adil dan tidak masuk akal.
Sekian.
Kamal Aziz
Ketua Negeri Wilayah Persekutuan
Parti Pejuang Tanah Air
17/01/2026
BENGKEL PENULISAN DAN PENGURUSAN MEDIA SOSIAL PARTI PEJUANG WILAYAH