20/10/2026
AADK PERKASA PENGUATKUASAAN DAN PENCEGAHAN DADAH SECARA BERSEPADU
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terus memperkukuh usaha menangani penyalahgunaan dadah melalui pendekatan bersepadu yang merangkumi penguatkuasaan, pencegahan serta rawatan dan pemulihan, khususnya di negeri yang mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah melebihi nisbah nasional.
Berdasarkan statistik sehingga Jun 2026, seramai 130,307 penagih dan penyalah guna dadah direkodkan di Malaysia. Empat negeri mencatatkan kadar melebihi nisbah nasional iaitu 381 kes bagi setiap 100,000 penduduk, melibatkan Terengganu (735), Kelantan (694), Kedah (669) dan Perlis (646) kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Bagi memperkukuh tindakan menangani permasalahan ini, AADK telah melaksanakan sebanyak 1,029 operasi penguatkuasaan yang merekodkan 8,435 tangkapan di empat negeri berkenaan berdasarkan data sehingga 4 Oktober 2026.
Pada masa yang sama, usaha pencegahan terus dipergiat melalui pelaksanaan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan institusi pendidikan, keluarga dan komuniti sebagai benteng utama dalam meningkatkan kesedaran serta membendung ancaman penyalahgunaan dadah.
AADK turut memperkukuh pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) melalui tujuh langkah pelaksanaan yang berteraskan empat tunjang utama, iaitu pencegahan berstruktur, kapasiti pengurusan, budaya kerja dan kerjasama strategik bagi mewujudkan persekitaran pekerjaan yang sihat, selamat dan produktif.
Pendekatan bersepadu ini mencerminkan komitmen berterusan AADK dalam memastikan usaha penguatkuasaan, pencegahan, rawatan dan pemulihan dilaksanakan secara menyeluruh, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor pekerjaan dan komuniti.
Sokongan serta penglibatan aktif semua pihak amat penting dalam meningkatkan keberkesanan usaha menangani permasalahan dadah demi kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat, selaras dengan aspirasi negara ke arah Dadah Terkawal 2030.
Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama. Lebih Baik Cegah!
Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Saifuddin Nasution Ismail
Shamsul Anuar Nasarah