18/09/2026
SUNGAI SIPUT - Kerajaan Perak memperkukuh usaha memperluas akses pendidikan tinggi kepada masyarakat Orang Asli menerusi pendekatan turun padang bagi memastikan anak-anak di kawasan pedalaman tidak terpinggir daripada peluang melanjutkan pengajian.
Pengerusi Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Dato' Khairudin Abu Hanipah berkata Program Kembara Bersasar 2026 yang menyasarkan penduduk di Pos Yum dan Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) Bawong, di sini, membuktikan faktor lokasi bukan penghalang untuk mendapatkan maklumat serta peluang pendidikan tinggi.
Beliau berkata program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu memberi fokus kepada masyarakat Orang Asli sebagai kump**an sasaran keempat bagi memperluas akses dan maklumat pendidikan tinggi secara terus kepada komuniti akar umbi. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kembara Bersasar Orang Asli 2026/2027 (Mai Hik ke Menara Gading) di Dewan Pandak Hamid, OAOSC Bawong.
Program dua hari itu dijayakan bersama Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan pengisian merangkumi bimbingan UPUOnline, pengiraan merit, hala tuju pengajian, khidmat kaunseling, TVET, kursus pendek keusahawanan dan pengajian profesional.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI Prof. Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun berkata Perak merupakan lokasi keempat siri jelajah berkenaan yang dilaksanakan secara inklusif merangkumi pendidikan tinggi, pembangunan kemahiran dan TVET, kebajikan serta khidmat kemasyarakatan.
Pada majlis itu, surat tawaran pengajian Diploma Perguruan di UPSI disampaikan secara simbolik kepada 25 Orang Asli terpilih, selain pelbagai aktiviti kemahiran, akademik, TVET, sukan dan warisan kebudayaan.
Foto:Khairudin Hj Abu Hanipah
Infografik Rezza Shah
"Perak Sejahtera 2030"
Ikuti perkembangan lanjut di media sosial rasmi kami:
(Instagram, TikTok & Facebook)