07/10/2026
TIMBALAN MUFTI NEGERI PERAK SAMPAIKAN PENGISIAN PROGRAM PERWIRA BERJIWA MULIA
PENGKALAN HULU, 5 Oktober 2026 – Sahibus Samahah Dato’ Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, telah menyampaikan pengisian dalam Program Perwira Berjiwa Mulia – Gaji Berkat, Zakat Menyempurnakan Ibadah yang berlangsung di Dewan Sri Adika, Kem Batalion Ke-3, Rejimen Sempadan 3RS, Pengkalan Hulu.
Program tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan menunaikan kewajipan zakat serta membudayakan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai keberkatan pendapatan yang diperoleh melalui sumber yang halal dan dilaksanakan dengan penuh amanah.
Dalam pengisian tersebut, Sahibus Samahah Dato’ Haji Zamri turut menyampaikan nasihat dan penghayatan berkaitan tanggungjawab sebagai seorang Muslim, khususnya dalam melaksanakan amanah pekerjaan serta kewajipan menunaikan zakat sebagai sebahagian daripada ibadah kepada Allah SWT.
Program berkenaan turut disertai warga Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), anggota Rejimen Sempadan 3RS serta pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Jabatan Mufti Negeri Perak sentiasa menyokong usaha memperkasa kefahaman masyarakat berkaitan penghayatan Islam, termasuk aspek ibadah, amanah dan tanggungjawab dalam kehidupan seharian.
*Kredit : Zakat Perak Al-Ridzuan