26/10/2026
LAWATAN PENANDA ARAS TOK BATIN DAERAH KUALA KANGSAR, PERAK KE NEGERI JOHOR
21 β 23 Oktober 2026 - Negeri Johor
Lawatan Penanda Aras Tok Batin Daerah Kuala Kangsar, Perak ke Negeri Johor telah berlangsung selama tiga hari, bermula 21 hingga 23 Oktober 2026. Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan serta memperluas pengetahuan dan pengalaman Tok Batin berkaitan kepimpinan komuniti, pembangunan sosioekonomi dan kejayaan usahawan dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Rombongan lawatan disertai oleh Pengarah JAKOA Negeri Perak dan Kedah, Encik Hairulnizam bin Abd Rahman serta Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Kuala Kangsar, Cik Siti Kamariah binti Kamaruddin bersama-sama Tok Batin dan JPKKOA Daerah Kuala Kangsar.
Pada 21 Oktober 2026, Ketibaan rombongan di KOA Sri Mahkota, Pontian telah disambut oleh Pengarah JAKOA Negeri Johor, Encik Faizal bin Long bersama Tok Batin bagi mengikuti sesi suai kenal dan perkongsian pengalaman. Sesi ini menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim, bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman berkaitan kepimpinan dan pembangunan komuniti Orang Asli. Rombongan turut dibawa melawat sekitar kampung bagi melihat persekitaran dan perkembangan pembangunan setempat, selain mengunjungi usahawan bakeri dan pastri bagi meninjau potensi keusahawanan sebagai salah satu sumber pendapatan masyarakat Orang Asli.
Pada hari kedua , rombongan meneruskan lawatan ke Kampung Orang Asli Sungai Layau, Kota Tinggi, Johor. Program dimulakan dengan sesi suai kenal bersama Tok Batin dan JPKKOA KOA Sungai Layau, diikuti aktiviti menaiki bot mengelilingi Sungai Layau bagi melihat keunikan persekitaran kampung tersebut. Rombongan seterusnya mengadakan lawatan ke beberapa perusahaan dan inisiatif ekonomi masyarakat setempat, antaranya:
πΉ Usahawan Orang Asli yang berjaya β mendapatkan pendedahan mengenai pengalaman dan usaha dalam membangunkan perniagaan.
πΉ Kedai bakeri dan pastri β meninjau perkembangan perusahaan makanan serta peluang menjana pendapatan melalui bidang keusahawanan.
πΉ Bengkel pembuatan parang β melihat kemahiran pertukangan dan perusahaan tradisional yang berpotensi dikembangkan sebagai sumber ekonomi individu.
πΉ Koperasi FELCRA Kampung Sungai Layau (WADIRA) β mendapatkan pendedahan mengenai peranan koperasi dalam menyokong aktiviti ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
πΉ Galeri Kraftangan Manik Sungai Layau β melihat hasil kreativiti dan kemahiran kraftangan masyarakat setempat yang mempunyai nilai komersial serta berpotensi diketengahkan sebagai produk warisan Orang Asli.
Pada sebelah petang, rombongan meneruskan lawatan ke Kampung Orang Asli Sungai Temon, Johor Bahru. Rombongan dibawa melawat sekitar kampung bagi melihat kehidupan dan aktiviti ekonomi masyarakat Orang Asli Seletar.
Antara pengisian lawatan ialah meninjau perusahaan usahawan Orang Asli dalam bidang pemprosesan kupang. Lawatan ini memberikan pendedahan mengenai potensi sumber ekonomi berasaskan hasil laut yang boleh menyumbang kepada peningkatan pendapatan komuniti.
Rombongan turut mengunjungi Galeri Orang Asli Seletar bagi melihat warisan, kebudayaan dan identiti masyarakat Orang Asli Seletar yang menjadi sebahagian daripada khazanah masyarakat Orang Asli di Malaysia.
Pada hari terakhir, program diteruskan dengan majlis penutupan dan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan serta tanda berakhirnya lawatan penanda aras di Negeri Johor. Rombongan seterusnya mengadakan lawatan sekitar Ayer Hitam bagi mendapatkan pendedahan tambahan sebelum menamatkan keseluruhan program.
Secara keseluruhannya, lawatan penanda aras ini memberikan peluang kepada Tok Batin dan JPKKOA Daerah Kuala Kangsar untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman serta melihat sendiri pelbagai pendekatan pembangunan komuniti yang dilaksanakan di Negeri Johor. Pendedahan kepada kepimpinan komuniti, kejayaan usahawan, perusahaan tradisional, koperasi, kraftangan dan pemprosesan hasil laut diharap dapat menjadi inspirasi kepada Tok Batin untuk mengenal pasti potensi ekonomi serta merancang inisiatif pembangunan yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat di kampung masing-masing. Semoga lawatan ini dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara pemimpin komuniti, memperluas peluang keusahawanan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli yang lebih progresif, berdikari dan sejahtera. JAKOA Komited Memperkasa Komuniti Orang Asli!