19/10/2026
MAJLIS DAERAH TAPAH PBT KEENAM PERAK TERIMA SIJIL PEMATUHAN SAGA
PUTRAJAYA, 19 OKTOBER 2026 β Majlis Daerah Tapah (MDT) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) keenam di bawah seliaan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang menerima Sijil Pematuhan Standard Accounting System for Government Agencies (SAGA), sekali gus mengiktiraf pematuhannya terhadap piawaian sistem perakaunan yang ditetapkan.
Pengiktirafan itu diterima dalam Majlis Anugerah Sijil Pematuhan SAGA (MASS) 2026 anjuran Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Sijil berkenaan disampaikan oleh YBrs. Tuan Haji Nasran bin Omar, Akauntan Negara Malaysia kepada YBrs. Encik Azmi bin Abd Aziz, Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah dan YBrs. Encik Syamsul Istar bin Ibrahim Istar, Setiausaha Majlis Daerah Tapah.
Pada majlis sama, YBrs. Encik Mohamad Hazrul bin Che Rahim, Timbalan Bendahari Negeri Perak turut menerima trofi penghargaan selaku wakil Jawatankuasa Pemantau SAGA bagi Majlis Daerah Tapah.
Penghargaan itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap peranan Jawatankuasa Pemantau SAGA dalam membantu memantau dan memperkukuh pelaksanaan pematuhan SAGA di agensi kerajaan.
Turut hadir YB Datuk Md Azhan bin Samat @ Limat,
Pegawai Kewangan Negeri Melaka; YBhg. Datoβ Ayub bin Haji Zaidin, Timbalan Akauntan Negara (Operasi); YBrs. Puan Nurhuda binti Harun, Timbalan Akauntan Negara (Korporat) serta YBrs. Puan Nor Fadhilah binti Ibrahim,Pengarah Bahagian Khidmat Perunding (BKP), JANM.
Majlis Daerah Tapah menggunakan Sistem Aplikasi Perakaunan ePBT 2.0 yang dibangunkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan memperoleh kelulusan pematuhan SAGA pada 26 Mac 2025.
Pelaksanaan SAGA bukan sekadar memenuhi keperluan pekeliling atau memperoleh sijil pengiktirafan, sebaliknya berperanan memperkukuh kawalan dalaman, meningkatkan ketepatan maklumat kewangan serta memantapkan akauntabiliti, integriti dan tadbir urus kewangan sektor awam.
Keperluan itu digariskan menerusi Pekeliling Perbendaharaan PA 3.3 β Pelaksanaan, Pematuhan dan Pemantauan SAGA yang berkuat kuasa pada 1 September 2025 dan pemakaiannya kepada PBT adalah tertakluk kepada penerimaan pihak berkuasa masing-masing.
Secara keseluruhan, tujuh agensi kerajaan menerima Sijil Pematuhan SAGA 2026, merangkumi tiga badan berkanun Persekutuan dan empat PBT.
Antara penerima lain ialah Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), yang menjadi agensi kerajaan pertama di bawah seliaan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka memperoleh Sijil Pematuhan SAGA.
Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) p**a menerima sijil berkenaan buat kali kedua susulan perubahan sistem aplikasi perakaunan dan kewangan sedia ada, mencerminkan komitmen agensi itu dalam mengekalkan pematuhan SAGA.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi PBT kelima di bawah seliaan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang menerima Sijil Pematuhan SAGA.
Turut menerima sijil ialah tiga badan berkanun Persekutuan, iaitu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM).
Penerimaan sijil ini menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha Majlis Daerah Tapah memperkukuh pengurusan kewangannya, selaras dengan tanggungjawab PBT untuk memastikan urusan pentadbiran dan pembangunan setempat dilaksanakan berlandaskan tatakelola yang ditetapkan.