30/10/2024
𝐏𝐞𝐧𝐲𝐚𝐬𝐚𝐫𝐚𝐧 𝐬𝐮𝐛𝐬𝐢𝐝𝐢 𝐑𝐎𝐍𝟗𝟓 𝐛𝐞𝐫𝐢 𝐤𝐞𝐬𝐚𝐧 𝐫𝐚𝐧𝐭𝐚𝐢𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐫𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭
KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Beberapa pelaksanaan dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu akan memberikan kesan rantaian kepada rakyat.
Presiden BERSATU yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 misalnya akan memberikan kesan terus kepada kenaikan harga barang.
“Jika subsidi petrol RON95 ditarik pada tahun hadapan, saya pasti kesan berantainya akan dirasai oleh rakyat.
“Walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa hanya golongan T15 yang akan membayar lebih, tetapi siapakah golongan T15 ini? Berapa jumlah mereka? Adakah mereka ini golongan maha kaya?" soalnya dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, Belanjawan yang dibentangkan acap tahun perlu menjaga kepentingan rakyat dan bukannya memeritkan kehidupan rakyat.
Perkara itu sebaliknya berlaku kepada Belanjawan 2025 yang dibentang Anwar pada Jumaat lalu, tambah beliau.
“Dalam keadaan rakyat sedang menanggung beban kos sara hidup yang tinggi dan harga barang melambung, kerajaan tarik subsidi dan naikkan cukai.
“Kesan langsung daripada tindakan ini ialah harga barang akan menjadi lebih mahal dan beban yang ditanggung oleh rakyat semakin berat.
“Dengan kadar inflasi dijangka meningkat antara 2% hingga 3.5% pada tahun hadapan, kerajaan perlu menimbang semula dasar rasionalisasi subsidi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar gaji minimum baharu iaitu pada RM1,700 juga mempunyai kesan kepada rakyat.
Tambah beliau, kenaikan gaji minimum perlu disokong dengan dasar dan tindakan kawalan harga yang jelas.
Ujarnya, tindakan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 mestilah diperkasa supaya sebarang kenaikan yang tidak wajar dikenakan tindakan tegas.
“Penguatkuasaan perlu lebih berkesan dan meluas. Di samping itu, kerajaan juga mestilah lebih berhati-hati dalam melaksanakan apa-apa dasar yang boleh menyebabkan kesan berantai ke atas kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
“Selain itu, kerajaan mestilah melihat secara terperinci masalah yang dihadapi oleh syarikat-syarikat kecil yang tidak mampu menampung kenaikan kos operasi syarikat akibat kenaikan kos upah.
“Ini kerana kesan berantai kenaikan gaji minimum ini besar. Ia bukan sekadar kenaikan kos upah yang terpaksa ditanggung oleh syarikat, tetapi juga kos operasi, logistik, inventori dan lain-lain,” katanya lagi.
𝐃𝐢𝐬𝐞𝐝𝐢𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐨𝐥𝐞𝐡: 𝐔𝐧𝐢𝐭 𝐊𝐨𝐦𝐮𝐧𝐢𝐤𝐚𝐬𝐢 𝐌𝐏 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐓𝐔