06/10/2026
AWARD DAY TEAM PROGRAMME MALAYSIA: MENGHARGAI USAHA, MENYEMARAK SEMANGAT PERUBAHAN
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terus memberikan sokongan terhadap usaha pemulihan dan pembangunan diri klien melalui penyertaan dalam Award Day Team Programme Malaysia anjuran Selangor Youth Community (SAY) yang berlangsung di Lagoon 1, Sunway Resort Hotel, hari ini.
Majlis yang disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menjadi wadah bagi mengiktiraf pencapaian peserta yang telah menunjukkan kesungguhan dalam membina semula kehidupan, merancang masa depan serta mempersiapkan diri untuk kembali bersama keluarga dan masyarakat.
Dalam majlis tersebut, seorang bekas penghuni PUSPEN Dengkil telah menerima Perseverance Award sebagai pengiktirafan terhadap ketekunan, kesungguhan dan daya juang yang ditunjukkan sepanjang menjalani proses pemulihan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Shobah Jamil, yang hadir mewakili AADK, turut menerima Appreciation Token Award bagi pihak agensi sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan sokongan berterusan AADK dalam menjayakan usaha pemulihan serta pembangunan peserta.
Penganjuran program ini bertujuan mengiktiraf pencapaian peserta dalam aspek pembangunan diri, perancangan masa depan dan kerjaya, di samping memupuk ketahanan diri sebagai persediaan menghadapi cabaran kehidupan selepas tamat tempoh pemulihan serta mengurangkan risiko relaps.
AADK merakamkan penghargaan kepada Selangor Youth Community (SAY) atas penganjuran program yang menyediakan ruang dan pengiktirafan kepada peserta untuk terus membina keyakinan diri, merancang masa depan serta kembali menyumbang kepada keluarga dan masyarakat.
Dalam majlis itu, kumpulan Iris Band daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sungai Besi turut membuat persembahan nyanyian.
Turut hadir memeriahkan majlis Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Dr. Rafidi Jusoh; serta Pengarah Negeri dan Pengarah-Pengarah PUSPEN di Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Saifuddin Nasution Ismail
Shamsul Anuar Nasarah
Kementerian Dalam Negeri (KDN)