06/08/2026
Kenyataan Media
Dewan Ulamak PAS Negeri Johor (DUPNJ)
DUPNJ MENYOKONG PEMBENTANGAN RUU KESALAHAN SYARIAH (KELANTAN) 2026 DEMI MEMARTABATKAN UNDANG-UNDANG SYARIAH
Dewan Ulamak PAS Negeri Johor (DUPNJ) menzahirkan sokongan penuh terhadap langkah Kerajaan Negeri Kelantan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang akan datang.
DUPNJ berpandangan bahawa usaha ini merupakan satu tindakan yang bertanggungjawab, berhemah dan menepati semangat Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam melaksanakan bidang kuasa negeri berkaitan hal ehwal agama Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Langkah Kerajaan Negeri Kelantan menggubal semula enakmen tersebut dengan mengambil kira penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid & Seorang Lagi lwn Kerajaan Negeri Kelantan pada 9 Februari 2024 membuktikan bahawa proses penggubalan undang-undang syariah boleh dilaksanakan secara cermat, berlandaskan lunas undang-undang dan menghormati kerangka perlembagaan negara.
DUPNJ menegaskan bahawa usaha memperkukuhkan undang-undang syariah bukanlah satu tindakan yang bertentangan dengan sistem perundangan negara, sebaliknya merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan-kerajaan negeri dalam memelihara agama, akhlak dan kesejahteraan masyarakat Islam. Syariah mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Perlembagaan, dan sebarang usaha untuk memartabatkannya hendaklah disambut dengan sikap yang adil serta bertanggungjawab.
Firman Allah SWT:
“Kemudian Kami jadikan engkau berada di atas satu syariat daripada urusan agama; maka ikutilah syariat itu dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.”
(Surah al-Jathiyah: 18)
Sehubungan itu, DUPNJ menyeru semua pihak, termasuk kerajaan-kerajaan negeri, institusi agama, ahli-ahli akademik, pengamal undang-undang dan masyarakat Islam agar memberikan sokongan terhadap segala usaha yang sah di sisi Perlembagaan untuk memperkukuhkan dan memartabatkan undang-undang syariah di negara ini.
DUPNJ juga berharap agar langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kelantan ini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam memperkasakan pentadbiran syariah secara bijaksana, tersusun dan berasaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
Semoga Allah SWT mengurniakan taufik dan hidayah kepada semua pihak dalam usaha memelihara kesucian syariat-Nya serta memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Islam Memimpin, Syariah Dimartabatkan”
Sekian.
Dewan Ulamak PAS Negeri Johor (DUPNJ)
6 Ogos 2026 / 22 Safar 1448H