02/10/2025
https://www.facebook.com/share/p/1CNyBSCzeN/?mibextid=wwXIfr
KENYATAAN MEDIA AMEERAH NEGERI JOHOR
PEMBEBASAN MUTLAK UNTUK WIRA KEMANUSIAAN: KERAJAAN PERLU TERUSKAN DIPLOMASI BERPRINSIP
1. Ameerah Johor senada dengan seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya penahanan lebih 200 aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) oleh pihak berkuasa Isr@el. Tindakan provokasi ini, yang turut melibatkan penahanan aktivitis warganegara Malaysia, adalah satu pencabulan undang-undang antarabangsa yang tidak boleh diterima sama sekali.
2. Kami menuntut pembebasan mutlak dan tanpa syarat bagi kesemua aktivis yang ditahan, khususnya 12 wira dan wirawati negara kita yang berani menyertai misi kemanusiaan untuk rakyat [email protected]. Mereka bukan penjenayah; mereka adalah pejuang kemanusiaan yang membawa harapan dan bantuan.
3. Ameerah Johor meletakkan sepenuh kepercayaan dan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri dalam mengemudi usaha diplomasi bagi memastikan keselamatan dan pembebasan segera rakyat Malaysia. Kami sedar bahawa jalan diplomasi ini amat rumit, memandangkan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan Isr@el.
4. Pada masa yang sama, Ameerah Johor turut menyeru Kerajaan Negeri Johor untuk tidak ketinggalan dalam menyuarakan solidariti. Sebagai cerminan suara Bangsa Johor, satu kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan negeri amatlah dialu-alukan bagi menzahirkan keprihatinan dan sokongan padu rakyat Johor terhadap isu kemanusiaan sejagat ini.
5. Namun, dalam menempuh jalan diplomasi, prinsip dan maruah negara tidak boleh digadaikan. Sebarang usaha rundingan mestilah dilakukan melalui saluran yang tidak mengikat Malaysia kepada mana-mana pihak yang mempunyai rekod menyokong penindasan. Justeru, kami berpandangan bahawa salah satu cara diplomasi yang paling tegas dan jelas boleh ditunjukkan oleh Malaysia pada waktu ini adalah dengan membatalkan serta-merta jemputan rasmi kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
6. Tindakan membatalkan jemputan ini akan menghantar isyarat yang jelas kepada dunia bahawa Malaysia tidak akan teragak-agak dalam mempertahankan prinsip kemanusiaan dan tidak akan terhutang budi kepada mana-mana kuasa besar yang bersekongkol dengan kezaliman. Diplomasi kita mesti bermula dari kedudukan yang bermaruah.
7. Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan fahaman, untuk bersatu di belakang kerajaan. Marilah kita terus memanjatkan doa dan menunaikan solat hajat serta Qunut Nazilah agar kesemua 12 rakyat kita dilindungi Allah SWT dan selamat kembali ke tanah air.
Farah ‘Aqilah Binti Abd Hamid
Pengarah Ameerah
Dewan Muslimat PAS Negeri Johor
2 Oktober 2025
10 Rabiul Akhir 1447H

13/03/2024
21/11/2023
09/09/2023
07/09/2023
07/09/2023
11/11/2022