28/09/2026
๐๐๐ฅ๐๐จ๐ฅ๐จ ๐๐๐๐ฅ ๐๐๐ฅ๐๐๐ ๐จ, ๐ ๐๐ก๐๐๐จ๐ฅ ๐๐๐๐ฅ ๐๐๐ฅ๐๐๐๐
Pencarian ketenangan jiwa membawa ramai orang mendekati kelas motivasi, program kerohanian dan pelbagai bentuk bimbingan diri. Ada yang datang dengan keresahan, ada yang sedang diuji, dan ada yang mahu memperbaiki hubungan dengan Allah.
Keperluan ini mesti disantuni. Pada masa yang sama, masyarakat perlu dibekalkan dengan ilmu supaya dapat menilai ajaran dan amalan yang ditawarkan kepada mereka.
Dalam meneliti kebimbangan mengenai fahaman New Age Movement dan pelbagai aliran kerohanian, perhatian kita perlu sampai kepada persoalan asas: apakah yang diajarkan, dari mana sumbernya dan adakah ia selaras dengan akidah serta syariat Islam?
Penggunaan istilah seperti โAllahโ, โzikirโ, โmakrifatโ atau โhakikatโ sahaja belum memadai untuk menentukan ketepatan sesuatu ajaran. Maksud di sebalik istilah, bentuk amalan dan pegangan yang dibawa perlu diperiksa dengan disiplin ilmu.
Begitu juga rasa tenang, pengalaman luar biasa atau kesaksian seseorang tentang perubahan hidupnya. Semua itu tidak memadai sebagai ukuran kebenaran sesuatu fahaman. Tasawuf yang muktabar membimbing manusia membersihkan hati dengan tetap memelihara tuntutan akidah dan syariat.
Sebab itu, memilih guru ialah suatu amanah terhadap diri sendiri. Telitilah latar keilmuannya, sumber pengajarannya serta kesediaannya menerima semakan dan teguran. Semakin besar pengaruh seseorang, semakin besar tanggungjawabnya memastikan apa yang disampaikan mempunyai asas yang benar.
Dalam hal ini, saya menaruh keyakinan terhadap peranan JAKIM yang selama ini telah memberikan sumbangan besar dalam memelihara akidah umat Islam. JAKIM mempunyai panel kepakaran, termasuk Panel Pakar Akidah dan Panel Pakar Tasawuf, yang menjadi wadah penelitian perkara berkaitan pegangan serta amalan masyarakat.
Kepakaran ini wajar dimanfaatkan dan diberikan ruang untuk menjalankan penelitian dengan teliti, adil serta berasaskan disiplin ilmu. Penjelasan yang lahir daripada proses ini p**a perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami, supaya masyarakat mengetahui perkara yang dipersoalkan, asas penilaiannya dan pembetulan yang diperlukan.
Menghormati autoriti ilmu juga sebahagian daripada adab kita. Apabila sesuatu perkara memerlukan penelitian, rujuklah kepada ahlinya. Apabila penjelasan diberikan, nilailah dengan hati yang terbuka dan kesediaan untuk menerima kebenaran.
Dalam urusan ini, adab menegur dan adab menerima teguran mesti dipelihara bersama.
Orang yang ditegur hendaklah bersedia mendengar, meneliti hujah dan memberikan penjelasan dengan jujur. Jika ada kesilapan, akuilah dan perbetulkan. Jika pengajaran yang salah telah tersebar kepada masyarakat, pembetulannya juga perlu sampai kepada mereka.
Kedudukan dan jawatan menambah tanggungjawab untuk bersikap terbuka. Kesediaan mengakui kesilapan ialah sifat yang membantu membina semula kepercayaan.
Pada masa yang sama, orang yang menegur wajib memastikan kesahihan maklumat dan ketepatan tuduhan. Bezakan antara perkara yang telah dibuktikan, perkara yang masih diteliti dan tanggapan peribadi.
Jagalah lidah dan tulisan daripada ejekan, penghinaan terhadap pencapaian akademik serta penyebaran perkara peribadi yang tidak berkaitan. Tumpukan teguran kepada pegangan, kenyataan atau perbuatan yang dipersoalkan, dengan hujah yang boleh diperiksa.
Ketegasan mempertahankan akidah mesti disertai keadilan terhadap manusia. Berikan ruang untuk penjelasan dan pembetulan. Orang yang menjawab teguran p**a berhak menolak tuduhan yang tidak benar dengan bukti dan adab.
Memelihara adab tidak menggugurkan pertanggungjawaban. Pemegang amanah hal ehwal agama tetap perlu dinilai pada penguasaan ilmu, kematangan pertimbangan dan tindakannya apabila berhadapan dengan kesilapan. Penilaian itu hendaklah berasaskan bukti serta penelitian yang adil.
Institusi agama, para asatizah, masjid dan keluarga juga perlu memperkukuh pendidikan akidah dalam bahasa yang dapat difahami masyarakat. Bimbinglah mereka mengenali sumber ilmu yang berwibawa dan berani bertanya apabila berhadapan dengan sesuatu yang meragukan.
Ilmu memandu kita mengenali kebenaran. Adab memandu kita menyampaikannya. Amanah menuntut kita bertindak apabila kesalahan telah dibuktikan.
Semoga kita dikurniakan keteguhan untuk mempertahankan agama, kerendahan hati untuk menerima teguran dan kebijaksanaan untuk membimbing manusia kembali kepada kebenaran.