17/09/2026
TAKLIMAT JAWATANKUASA MASJID SESI 2026–2029 & MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL WATIKAH PELANTIKAN JAWATANKUASA KARIAH DAERAH KAMPAR
Tarikh: 17 September 2026 (Khamis)
Tempat: Dewan Mokara, FAMA RTC Gopeng
Taklimat Jawatankuasa Masjid Sesi 2026–2029 dan Majlis Penyampaian Sijil Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid Sesi 2026–2029 Daerah Kampar telah diadakan pada 17 September 2026 bertempat di Dewan Mokara, FAMA RTC Gopeng.
Program ini diadakan bagi memberikan pendedahan dan kefahaman kepada barisan Jawatankuasa Kariah Masjid yang baharu berkaitan peranan, tanggungjawab serta pengurusan masjid, di samping meraikan pelantikan rasmi Jawatankuasa Kariah Masjid bagi sesi 2026–2029.
Program telah dirasmikan oleh YDH Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar DiRaja, Encik Azman bin Dato’ Seri Yeop Junior, Orang Besar Jajahan Kampar.
Program dimulakan dengan dua slot utama :
Slot 1: Kemudahan Bank Rakyat kepada Masjid
Slot ini disampaikan oleh pihak Bank Rakyat yang memberikan penerangan berkaitan kemudahan dan perkhidmatan perbankan yang boleh dimanfaatkan oleh pihak pengurusan masjid.
Slot 2: Taklimat Jawatankuasa Masjid
Taklimat telah disampaikan oleh AF Ust Khairusy Syakirin bin Arifen, Penolong Pengarah Kanan Unit Kariah, Bahagian Pengurusan Masjid, JAIPk. Taklimat memberi penerangan berkaitan peranan, fungsi, tanggungjawab serta perkara-perkara berkaitan pengurusan Jawatankuasa Kariah Masjid bagi sesi 2026–2029.
Program kemudiannya disusuli dengan Majlis Penyampaian Sijil Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid Sesi 2026–2029 Daerah Kampar kepada wakil-wakil Jawatankuasa Kariah Masjid yang telah dilantik.
Majlis ini menjadi simbolik pengiktirafan rasmi terhadap pelantikan barisan kepimpinan Jawatankuasa Kariah Masjid bagi tempoh sesi 2026–2029 serta sebagai amanah untuk melaksanakan tanggungjawab pengurusan masjid dengan penuh komitmen dan integriti.
Turut hadir bersama AF Ust Badrulhusaini bin Baharudin, Pegawai Tadbir Agama Daerah Kampar, Pengurus Baitulmal Cawangan Kampar, Orang Besar 32, Penghulu Tertinggi Kampar, Penghulu Mukim Teja dan Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Kampar.
Secara keseluruhannya, program telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan. Taklimat yang disampaikan dapat memberikan kefahaman kepada Jawatankuasa Kariah Masjid berkaitan amanah, peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sepanjang tempoh pelantikan sesi 2026–2029.
Diharapkan barisan Jawatankuasa Kariah Masjid yang dilantik dapat melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi, memperkukuh pengurusan masjid serta bersama-sama menjadikan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu, kebajikan dan penyatuan masyarakat setempat.
Badrul Husaini