05/10/2026
𝗜𝗡𝗜𝗦𝗜𝗔𝗧𝗜𝗙 𝗞𝗘𝗥𝗔𝗝𝗔𝗔𝗡 𝗡𝗘𝗚𝗘𝗥𝗜 𝗧𝗘𝗥𝗘𝗡𝗚𝗚𝗔𝗡𝗨 𝗧𝗘𝗥𝗛𝗔𝗗𝗔𝗣 𝟯𝟴𝟯 𝗢𝗥𝗔𝗡𝗚 𝗣𝗘𝗞𝗘𝗥𝗝𝗔 𝗦𝗨𝗦𝗨𝗟𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗔𝗠𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗢𝗣𝗘𝗥𝗔𝗦𝗜 𝗖𝗝 𝗕𝗜𝗢 𝗗𝗜 𝗞𝗘𝗥𝗧𝗘𝗛 💼
Ambo telah mengadakan pertemuan rasmi bersama pihak pengurusan CJ Bio bagi mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung status pengoperasian mereka di Kerteh.
Pihak CJ Bio mengesahkan bahawa keputusan penamatan operasi premis mereka di Kerteh secara berperingkat bermula 15 Oktober ini telah diputuskan secara rasmi oleh ibu pejabat mereka di Korea Selatan. Keputusan penamatan operasi ini diambil berikutan cabaran ekonomi global, merangkumi peningkatan harga bahan mentah serta persaingan harga yang amat sengit daripada pengeluar antarabangsa, khususnya China.
Penamatan operasi ini melibatkan seramai 383 orang pekerja. Kerajaan Negeri komited untuk menghulurkan segala bentuk sokongan serta bantuan demi memastikan kebajikan dan masa depan anak-anak tempatan yang terlibat dalam penamatan operasi ini kekal terjaga.
Kerajaan Negeri melalui Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC) telah meminta data lengkap para pekerja terjejas daripada pihak syarikat. Maklumat ini akan dipadankan (job matching) dengan pengkalan data keperluan tenaga kerja industri mengikut kelayakan dan kepakaran masing-masing.
Pada masa yang sama, pihak PERKESO kini sedang melaksanakan sesi temuduga berfokus secara terus di tapak operasi bagi membantu para pekerja mendapatkan tawaran pekerjaan baharu dengan kadar segera.
Alhamdulillah, pihak CJ Bio memberi komitmen penuh dan mematuhi peruntukan Akta Kerja dari segi penamatan perkhidmatan, termasuk pemberian pampasan yang setimpal mengikut syarat yang ditetapkan.
Insyaa Allah, Agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan akan terus mendampingi pihak pengurusan CJ Bio bagi memastikan keseluruhan proses transisi dan penamatan ini berjalan dengan lancar dan berhemah.
Bagi memastikan ekosistem industri di Kerteh kekal berdaya saing, pihak MIDA kini sedang aktif mengenal pasti pelabur baharu yang bersesuaian untuk mengambil alih atau menggantikan pengoperasian di tapak berkenaan.
Kerajaan Negeri turut bersedia membantu memudah cara pelepasan tanah pajakan tersebut secara tersusun dan harmoni demi kepentingan pembangunan ekonomi negeri.
Moga segala ikhtiar dan langkah intervensi ini dipermudahkan, sekali gus memelihara punca pendapatan serta kebajikan seluruh warga pekerja yang terlibat.
𝗬𝗕 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗡𝘂𝗿𝗸𝗵𝘂𝘇𝗮𝗶𝗻𝗶 𝗯𝗶𝗻 𝗔𝗯 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian & Teknologi Hijau Terengganu