22/10/2026
PERHIMPUNAN BULANAN KETUA POLIS DAERAH GOMBAK BULAN OKTOBER TAHUN 2026
Gombak, 22 Oktober 2026 (Khamis) - YDH ACP Ibrahim bin Husin, Ketua Polis Daerah Gombak telah menghadiri Perhimpunan Bulanan IPD Gombak Bulan Oktober Tahun 2026 anjuran Cawangan Khas bertempat di Dataran Kawad IPD Gombak.
YDH Ketua Polis Daerah Gombak menegaskan kepentingan pemantauan berkala serta perbincangan bersama pegawai dan anggota di bawah seliaan masing-masing bagi memastikan setiap penugasan dilaksanakan dengan jelas dan berkesan. Beliau turut mengingatkan seluruh warga kerja agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab demi memelihara imej, integriti serta profesionalisme pasukan.
YDH Ketua Polis Daerah Gombak merakamkan ucapan tahniah kepada G-Wave Band IPD Gombak atas kejayaan merangkul gelaran johan dalam pertandingan Battle of the Band Kontinjen Selangor Tahun 2026. Sekali gus membuktikan bakat, kreativiti dan semangat berpasukan warga IPD Gombak di luar bidang kepolisan.
Dalam majlis tersebut, YDH Ketua Polis Daerah Gombak telah menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 18 penerima terdiri daripada Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam yang menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang. Turut disampaikan Sijil Penghargaan kepada Dato' Raymond Ho, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Ternak Group Of Companies dan Datuk Manibalan Kutty Ragavan, Pengarah Urusan Kyowa Kanko Kaihatsu (M) Bhd yang telah mencurahkan jasa dan bakti kepada IPD Gombak.
Hadir sama, YDH Supt. Abang Kaderi bin Abang Wasli, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Polis Balai, Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam.