05/10/2026
MAJLIS PERASMIAN HUB TRANSFORMASI SISA ORGANIK
KOK KLANG, PERLIS | 4 OKTOBER 2026 β Satu inisiatif berimpak tinggi dalam usaha menggalakkan amalan pertanian lestari telah dilaksanakan oleh Cendawan Hub Resources menerusi penubuhan Hub Transformasi Sisa Organik.
Penghasilan bongkah cendawan menggunakan kenaf di negeri Perlis kini mencecah sekitar 20,000 bongkah sebulan. Sehubungan itu, usaha memanfaatkan semula sisa bongkah terpakai melalui penghasilan kompos organik dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam mengurangkan pembaziran, di samping memberi nilai tambah kepada sisa pertanian.
Inisiatif ini dilaksanakan dengan mendapat peruntukan, khidmat nasihat serta kepakaran daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP).
Hub Transformasi Sisa Organik ini mengetengahkan konsep ekonomi kitaran (Circular Economy) dengan mentransformasikan sisa media tanaman cendawan kepada kompos organik yang boleh dimanfaatkan semula dalam sektor pertanian.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Encik Padeli bin Mohamed, Pengurus Wilayah Utara, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) pada 4 Oktober 2026 bertempat di Kok Klang, Perlis. Turut hadir Prof. Dr Zaiton binti Samdin Timb.Pengarah Bahagian INTROP.
Penghargaan turut dirakamkan kepada Profesor Madya Mohd Zulkhairi bin Mohd Yusoff, selaku Ketua Projek serta seluruh pasukan yang telah memberikan komitmen dan kepakaran dalam menjayakan inisiatif ini.
Diharapkan Hub Transformasi Sisa Organik ini dapat terus dikembangkan sebagai satu model ekonomi kitaran yang berdaya maju, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat, meningkatkan nilai ekonomi sisa pertanian serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.