21/10/2026
OPS DIDIK BIL. 3/2026: JSPT PERLIS PERKASA KESEDARAN KESELAMATAN JALAN RAYA DALAM KALANGAN PELAJAR IKM BESERI
Beseri, 21 Oktober 2026
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perlis terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran serta membudayakan amalan keselamatan jalan raya dalam kalangan generasi muda menerusi penganjuran Program Ops Didik Bil. 3/2026 yang berlangsung di Dewan Utama Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri, Perlis, hari ini.
Program yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Padang Besar dengan kerjasama JSPT IPK Perlis ini telah menghimpunkan seramai 300 orang pelajar dan 10 orang tenaga pengajar, sekali gus memperlihatkan komitmen pihak institusi dalam menyokong usaha pendidikan dan advokasi keselamatan jalan raya.
Penganjuran program ini memberi penekanan terhadap kepentingan pematuhan undang-undang lalu lintas, pencegahan kemalangan serta bahaya penglibatan golongan muda dalam kegiatan samseng jalanan dan perlumbaan haram, khususnya dalam kalangan pelajar yang menggunakan motosikal sebagai pengangkutan harian.
Program dimulakan dengan sesi ceramah bertajuk Pencegahan Kemalangan Jalan Raya dan Keselamatan Jalan Raya yang disampaikan oleh INSP Mohd Yasir Bin Abu Bakar, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Padang Besar. Ceramah tersebut memberikan pendedahan mengenai faktor penyebab kemalangan, kepentingan pematuhan peraturan jalan raya serta amalan penunggangan motosikal secara berhemah dan selamat.
Turut menjayakan program ialah Encik Muhamad Hanif Bin Zakaria, Pegawai Pengurusan Hilang Upaya, Unit Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan, PERKESO Negeri Perlis, yang menyampaikan penerangan berkaitan kepentingan perlindungan keselamatan sosial, pencegahan kemalangan serta kesan kecederaan terhadap kehidupan dan masa depan golongan muda.
Sementara itu, INSP Muzamil Bin Zamri turut menyampaikan ceramah bertajuk Samseng Jalanan dan Lumba Haram, dengan memberikan penekanan terhadap risiko penunggangan berbahaya, implikasi perundangan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta kesan buruk kegiatan perlumbaan haram yang boleh mengakibatkan kecederaan serius dan kehilangan nyawa.
Selain pengisian ceramah, program turut diserikan dengan pelbagai aktiviti advokasi secara langsung, antaranya pameran aset kenderaan JSPT, pameran keselamatan jalan raya, kaunter semakan saman trafik, kaunter penerangan PERKESO serta pemeriksaan motosikal pelajar di kawasan garaj IKM Beseri.
Sepanjang pelaksanaan program, sebanyak 120 buah motosikal telah diperiksa, manakala 80 semakan saman trafik berjaya dilaksanakan. Pemeriksaan ini turut disertai dengan khidmat nasihat dan penerangan kepada pelajar mengenai kepentingan memastikan motosikal berada dalam keadaan selamat serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Program yang melibatkan kekuatan seramai 13 orang pegawai dan anggota JSPT ini turut menyediakan ruang interaksi secara langsung antara pihak polis dengan warga institusi, sekali gus mengeratkan hubungan kerjasama dalam usaha membentuk pengguna jalan raya yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.
Sebagai tanda penghargaan, pihak JSPT Kontinjen Perlis turut menyampaikan cenderahati kepada wakil pengurusan IKM Beseri dan PERKESO Negeri Perlis atas kerjasama serta sokongan dalam menjayakan program berkenaan.
JSPT Kontinjen Perlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan IKM Beseri, PERKESO Negeri Perlis serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang pelaksanaan program.
Penganjuran Ops Didik ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JSPT Kontinjen Perlis dalam memperkukuh pendekatan pendidikan, advokasi dan pencegahan awal bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya serta membendung penglibatan golongan muda dalam kegiatan samseng jalanan.
Diharapkan program seumpama ini dapat terus dilaksanakan secara berkesinambungan di institusi pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berpengetahuan mengenai undang-undang jalan raya, malah mempunyai kesedaran tinggi terhadap keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
Polis Perlis
Pertubuhan Keselamatan Sosial