22/09/2026
PROGRAM DEBAT ANTIRASUAH PERINGKAT IPG PERLIS: SEMARAKKAN MESEJ AMAR IPG PERLIS PERANGI RASUAH
KANGAR, 22 September 2026 – Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis telah berjaya menganjurkan Program Debat Antirasuah: Keep Malaysia Clean (KMC) dengan kolaborasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis.
Program yang berlangsung selama dua hari pada 27 Ogos dan 1 September 2026 ini bertujuan menyemai jati diri dan nilai integriti yang tinggi dalam kalangan mahasiswa melalui wacana perdebatan. Pendekatan debat dipilih sebagai medium yang berimpak tinggi dalam membentuk sahsiah, disiplin, serta semangat berpasukan, di samping menerapkan nilai-nilai murni secara interaktif dan praktikal. Selain itu, usaha ini sejajar dengan aspirasi Keep Malaysia Clean (KMC) yang memberi penekanan terhadap kebersihan nilai, pemikiran, dan akhlak daripada sebarang gejala negatif.
Kemuncak program pada hari ini menyaksikan sesi taklimat yang telah disampaikan oleh PPs Muhd Naim bin Zakaria, di samping majlis perasmian penutup sebagai acara utama, diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para peserta. Taklimat yang telah disampaikan oleh pegawia SPRM Perlis menyentuh berkenaan konsep Keep Malaysia Clean (KMC) sebagai kerangka nilai dan amalan holistik yang menekankan keberanian menolak rasuah, ketelusan dalam membuat keputusan serta tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan. Selain itu, penceramah turut memberi penekanan terhadap isu penerimaan hadiah dan pengurusan tatakelola perolehan yang baik sebagai panduan kepada para pelajar yang hadir.
Majlis penutup program ini telah dihadiri dan disempurnakan oleh Pengarah SPRM Perlis, PKPj Mohd Nor Adha bin Ab Gani. Beliau dalam ucapannya menegaskan debat bukan sekadar berlawan siapa yang lebih petah bercakap, sebaliknya ianya adalah medium latihan yang melatih peserta mempertahankan prinsip serta berani untuk menyanggah terhadap perkara yang tidak benar. Tambahnya lagi, frasa yang tular di media sosial “Guru, hentikan guru” membawa makna yang lebih serius terhadap bakal guru dalam menghentikan kitaran rasuah di alam pekerjaan kelak.
Hadir sama dalam majlis penutup ialah Yang Berusaha Dr. Hajah Azizah binti Sarkowi, Timbalan Pengarah IPG Perlis, En. Mohd Fahmi bin Hijazi (Timbalan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar IPG Perlis), En. Roosfauzi bin Ramley (penyelaras AMAR IPG Perlis) dan PsK Mohamad Razif bin Ab Rased, Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Perlis.